Remaja bakar rumah kerana mahu telefon baharu, itulah kejadian mengejutkan yang berlaku di Gwangju, Korea Selatan, dan menjadi peringatan besar tentang bagaimana ketagihan gajet serta tekanan media sosial mampu mempengaruhi tingkah laku golongan muda.
Dalam era digital hari ini, telefon bukan sekadar alat komunikasi. Bagi ramai remaja, ia adalah simbol identiti, ruang sosial dan cara untuk merasa “diterima”. Namun apabila keinginan itu berubah menjadi tindakan berbahaya, kita perlu melihat isu ini dengan lebih serius.
Tindakan Berbahaya Kerana Marah & Protes
Menurut laporan The Korea Herald, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun bertindak membakar rumah keluarganya selepas ibu bapanya tidak membenarkannya menukar kepada telefon pintar baharu yang membolehkannya mengakses media sosial.
Sebagai tanda protes, remaja itu menyalakan api pada sehelai selimut kecil menggunakan pemetik api di dalam biliknya. Api kemudiannya merebak, memusnahkan unit kediaman keluarga tersebut. Pasukan bomba mengambil masa lebih 20 minit untuk mengawal kebakaran, manakala 17 penduduk lain terpaksa menerima rawatan akibat terhidu asap tebal.
Pihak Berkuasa Tidak Meneruskan Tangkapan
Walaupun polis pada awalnya mengeluarkan waran tangkap, Mahkamah Daerah Gwangju menolak permohonan itu kerana kes tersebut dikategorikan di bawah Akta Juvana. Ia memberi ruang kepada pendekatan pemulihan berbanding hukuman keras terhadap pesalah kanak-kanak.
Ads
Keputusan ini menekankan bahawa remaja berusia 14 tahun masih berada dalam fasa pembentukan emosi dan memerlukan sokongan psikologi, bukan sekadar hukuman. Kes remaja bakar rumah ini menjadi contoh jelas bagaimana ketidakstabilan emosi boleh membawa kepada tindakan impulsif yang berbahaya.
Apa Yang Boleh Kita Pelajari?
Kes ini bukan sekadar kisah sensasi malah ia adalah refleksi tentang tekanan era digital terhadap remaja. Banyak faktor menyumbang kepada tindakan ekstrem sebegini, dan memahami puncanya adalah langkah penting untuk mencegah tragedi.
1. Ketagihan Media Sosial Makin Membimbangkan
Ramai remaja merasa perlu memiliki telefon baharu semata-mata untuk “kekal relevan” atau mengelak rasa terpinggir apabila kawan-kawan aktif di platform tertentu. Keinginan ini kadangkala berubah menjadi tekanan dalaman yang berat, sehingga mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan apa yang diingini.
Ads
2. Komunikasi Ibu Bapa, Anak Sangat Penting
Perbincangan terbuka tentang penggunaan gajet, keperluan sebenar dan batasan teknologi perlu dilakukan sejak awal, bukan hanya ketika berlaku konflik. Dalam kes remaja bakar rumah ini, ketidakfahaman antara ibu bapa dan anak menjadi salah satu punca tindakan protes ekstrem.
3. Kesihatan Mental Remaja Perlu Diberi Perhatian
Tindakan ekstrem seperti ini menggambarkan tekanan dalaman yang mungkin tidak disedari keluarga. Bantuan profesional kadangkala sangat diperlukan, lebih-lebih lagi jika remaja menunjukkan tanda-tanda keresahan, kemurungan atau kebergantungan melampau terhadap media sosial.
Realiti Tekanan Era Digital
Kita hidup dalam zaman di mana penampilan di media sosial kadang-kadang dianggap lebih penting daripada realiti diri. Hal ini memberi kesan besar kepada remaja yang masih mencari identiti. Mereka mudah merasa rendah diri atau ketinggalan jika tidak memiliki telefon terkini, akses kepada aplikasi tertentu atau keupayaan untuk “mengikuti trend”.
Ads
Kes remaja bakar rumah ini menjadi simbol bagaimana tekanan kecil boleh membesar jika tidak dikendalikan dengan betul. Ia juga menunjukkan bahawa ibu bapa, guru dan masyarakat perlu memahami dunia digital yang menjadi ruang utama generasi muda.
Kesimpulan
Walaupun insiden ini berlaku di luar negara, realitinya ramai remaja di Malaysia juga berdepan tekanan serupa. Artikel ini menjadi peringatan bahawa soal penggunaan gajet bukan lagi isu kecil, ia berkait rapat dengan perkembangan emosi, hubungan keluarga dan kesejahteraan mental remaja.
Majalah Remaja menyeru ibu bapa, pendidik dan remaja sendiri untuk lebih peka terhadap isu ini sebelum ia menjadi tragedi. Kes remaja bakar rumah ini sepatutnya menjadi pengajaran besar bahawa keseimbangan emosi dan komunikasi dalam keluarga adalah lebih penting daripada keinginan memiliki teknologi terkini.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan bahawa istilah Muslim Choice bukanlah penanda halal rasmi yang diiktiraf di negara ini. Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan media di Facebook rasmi JAKIM malam tadi dan mendapat perhatian luas dalam kalangan pengguna Muslim, termasuk golongan remaja yang aktif membeli produk makanan, minuman dan gaya hidup.
Menurut Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, penggunaan istilah Muslim Choice yang diperkenalkan oleh Pasukan Pemantau Mesra Muslim (MFW) boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat terhadap status halal sesuatu produk atau premis. Beliau berkata, MFW mendakwa pengiktirafan tersebut bertujuan memberi keyakinan kepada pengguna Muslim terhadap produk yang dikatakan bersih, selamat dan menepati prinsip Islam. Namun, jelas beliau, dakwaan itu tidak mempunyai asas pengiktirafan rasmi daripada pihak berkuasa halal Malaysia.
Gambar Harian Metro
“Hanya JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) yang diberi kuasa mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) serta kebenaran penggunaan logo Halal Malaysia,” katanya.
Langgar Undang-Undang Jika Guna Istilah ‘Halal’ Tanpa Kebenaran
Tambah beliau, penggunaan mana-mana logo, simbol atau istilah yang membawa maksud halal tanpa kebenaran sah adalah menyalahi undang-undang di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011. Perbuatan seperti ini boleh menjejaskan integriti sistem pensijilan halal negara dan mengelirukan pengguna yang mempercayai label seperti Muslim Choice tanpa semakan lanjut.
Dalam kenyataan itu, JAKIM turut memaklumkan bahawa pihaknya pernah mengadakan pertemuan dengan MFW pada 23 Ogos 2024 bagi membincangkan isu ini. Pertemuan tersebut bertujuan menasihatkan MFW agar menghentikan aktiviti pengiktirafan Muslim Choice, namun aduan diterima menunjukkan aktiviti itu masih diteruskan walaupun sudah diberi peringatan.
Remaja Muslim Perlu Lebih Peka dan Bijak Memilih
Sebagai pengguna muda yang sering membeli produk viral atau jenama baharu, remaja Muslim perlu lebih berhati-hati dan peka dengan logo halal yang sah. Label seperti Muslim Choice, “Muslim Friendly” atau “Diperakui Muslim” tidak boleh dianggap sebagai sijil halal rasmi melainkan disahkan oleh pihak berkuasa yang sah.
Langkah mudah elak kekeliruan halal:
Periksa logo halal rasmi Malaysia — lengkap dengan nombor siri dan nama syarikat.
Gunakan portal rasmi JAKIM (halal.gov.my) atau aplikasi Verify Halal untuk semakan status halal.
Elakkan produk yang hanya menggunakan istilah Muslim Choice atau “Muslim Certified” tanpa bukti pensijilan rasmi.
Pilih jenama yang telus dan jelas sumber halalnya.
Halal Bukan Sekadar Logo
JAKIM menasihatkan agar semua pengusaha dan pengguna hanya merujuk kepada logo Halal Malaysia yang sah bagi memastikan keaslian status halal produk atau premis. Langkah ini penting bagi melindungi pengguna Muslim daripada kekeliruan dan penipuan yang mungkin timbul akibat penggunaan istilah seperti Muslim Choice.
Sebagai remaja Muslim moden, kita bukan hanya ingin ikut trend tetapi juga menjadi generasi yang bijak, berprinsip dan menjaga nilai agama dalam setiap pilihan. Jangan mudah terpedaya dengan label yang belum tentu sah. Ingat, halal bukan sekadar logo, tapi jaminan bersih, selamat dan diberkati.
“Kami Anti-Buli” — KPM mewajibkan semua pelajar di seluruh negara melaungkan slogan ini setiap pagi dan petang sebagai usaha membendung gejala buli di sekolah.
Langkah ini diumumkan susulan kes tragis melibatkan pelajar Tingkatan Satu di Sabah, Allahyarham Zara Qairina, yang menggemparkan seluruh negara. Peristiwa menyayat hati itu bukan sahaja mencetuskan rasa sedih, malah menimbulkan kesedaran bahawa isu buli perlu ditangani segera dan secara menyeluruh.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr. Mohd. Azam Ahmad, memaklumkan bahawa pelaksanaan laungan “Kami Anti-Buli” akan dilakukan dua kali sehari—sebelum sesi pembelajaran bermula dan selepas tamat waktu sekolah. Menurut beliau, inisiatif ini bukan sekadar ritual harian, tetapi simbol komitmen seluruh warga sekolah untuk saling melindungi dan memastikan persekitaran pembelajaran selamat.
KPM yakin bahawa pengulangan slogan ini setiap hari dapat membentuk kesedaran kolektif pelajar tentang kesan buruk buli. Ia juga menjadi peringatan bahawa sebarang bentuk buli—fizikal, emosi, verbal atau siber—tidak akan diterima dalam budaya sekolah di Malaysia.
Dr. Mohd. Azam Ahmad bersama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Penting untuk difahami, buli bukan hanya berlaku melalui keganasan fizikal. Tindakan mengejek, mengusik secara melampau, atau memalukan rakan di media sosial juga adalah bentuk buli yang boleh meninggalkan kesan psikologi mendalam. Mangsa mungkin membawa trauma tersebut bertahun-tahun lamanya.
Bagi memastikan mesej ini lebih berkesan, KPM turut menggalakkan pihak sekolah menganjurkan program sokongan seperti ceramah motivasi, bengkel empati, kempen kesedaran dan aktiviti berpasukan. Semua ini bertujuan membina sikap saling menghormati, mengawal emosi dan menyelesaikan konflik dengan cara yang sihat.
Sebagai pelajar, peranan kita bukan hanya mengelak daripada membuli, tetapi juga menjadi penyokong kepada rakan yang menjadi mangsa. Jangan sekadar memerhati apabila melihat kejadian buli berlaku. Berdirilah sebagai pembela, kerana perubahan besar bermula dengan keberanian individu untuk mengatakan “Tidak” kepada buli.
Dengan inisiatif “Kami Anti-Buli” ini, KPM berharap mesej penolakan buli akan sebati dalam hati pelajar dan menjadi budaya yang terus hidup di sekolah seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau dalam isu memboikot barangan atau perniagaan yang dikaitkan dengan Israel. Ini termasuk memfitnah, mencaci dan mengugut dalam menunjukkan tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ingin menyeru semua pihak agar tidak mengambil tindakan ekstrem dan melampau sehingga memberikan keaiban kepada mana-mana pihak”
Kredit: Bernama
“Atas asas kesatuan dan ihsan, semua pihak adalah diseru untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin melalui pelbagai pendekatan tersendiri termasuk mendoakan kekuatan dan kesejahteraan kepada Palestin” – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
“Dalam isu Palestin, saya percaya semua pihak memahami bahawa kekejaman yang dilakukan pihak Zionis Israel tidak boleh diterima sama sekali dan tindakan yang dilakukan pihak Zionis Israel amat biadab, melampau serta di luar batas kemanusiaan” – Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar
Beliau memberi peringatan itu ketika mengulas tindakan sesetengah pihak yang mengaib dan mengganggu pelanggan menunggu giliran membeli makanan secara pandu lalu di sebuah restoran makanan segera.
Sekaligus mengenai gerakan #Blockout2024 yang bertujuan untuk memboikot selebriti atau pempegaruh yang tidak menggunakan medium media sosial sebagai ruang untuk bersuara berhubung kekejaman Israel.
Tambah beliau, apa juga tindakan yang diambil dalam kempen solidariti wajar dibuat atas asas kebenaran, ilmu dan akhlak. Selain itu, Datuk Dr Mohd Na’im juga menyeru semua pihak untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam bermasyarakat dan mengelak tindakan yang boleh mengundang keresahan awam.
Sekadar info, gerakan #Blockout2024 adalah kempen yang berasal dari luar negara mendapat perhatian orang ramai bagi memboikot selebriti atau pempegaruh yang bekerjasama mempromosikan produk yang didakwa memberi sumbangan kepada Zionis.
Kredit: alhijrah online
Sementara itu, April lalu tular di media sosial video yang menunjukkan provokasi dan ugutan terhadap pelanggan McDonald’s di Kuantan yang dilakukan beberapa individu. Susulan kejadian itu, polis telah menahan lima orang kerana disyaki mengugut pelangan berkenaan.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Seorang anak muda Kelantan dipilih bagi menghasilkan sebuah lukisan emas Swarovski untuk Putera Mahkota Brunei menggunakan 1,000 kristal Swarovski dan wafer emas 999.