
Remaja 16 tahun anak Orang Asli pertama hafiz 30 juzuk al-Quran mencipta sejarah membanggakan apabila berjaya menamatkan hafazan di bawah program Ulul Albab. Kejayaan ini bukan sahaja mengangkat martabat masyarakat Orang Asli, malah turut menjadi inspirasi buat seluruh rakyat Malaysia.
Muhammad Izzuddin Hasmadi, pelajar Tingkatan Empat di SMK Agama Tok Bachok, Kelantan, muncul sebagai remaja luar biasa apabila menerima Anugerah Ibnu Qayyim selepas empat tahun berusaha menghafaz kitab suci al-Quran. Lebih membanggakan, beliau merupakan anak Orang Asli suku kaum Temiar dari Pos Balar, Gua Musang, yang berdepan pelbagai cabaran untuk sampai ke tahap ini.
Perjalanan Penuh Pengorbanan
Bagi Izzuddin, cabaran sebenar bukan hanya pada menghafaz ayat-ayat suci, tetapi juga mengekalkan istiqamah agar hafazan kekal sepanjang hayat. Antara usaha yang dilakukannya termasuk menjaga pemakanan dengan mengelakkan makanan masam dan segera, serta meluangkan lebih banyak waktu malam untuk menghafal.

Lebih hebat, untuk ke sekolah sahaja, Izzuddin perlu menempuh perjalanan lebih lima jam dari Pos Balar ke Gua Musang, sebelum menyambung lagi empat jam ke Bachok. Namun, kesukaran ini dijadikan motivasi untuk terus berjaya.
Minat Sejak Usia 11 Tahun
Menurutnya, minat terhadap al-Quran bermula sejak berusia 11 tahun ketika belajar di SK Balar selepas menyertai tilawah. Sejak itu, cintanya terhadap al-Quran semakin mendalam hasil dorongan guru-guru serta sokongan keluarga.
“Alhamdulillah, berkat bimbingan guru, doa ibu bapa dan usaha berterusan, saya berjaya sampai ke tahap ini,” katanya pada Majlis Khatam Hafazan al-Quran Perdana SMK Agama Tok Bachok baru-baru ini.
Sokongan Keluarga Jadi Kekuatan
Izzuddin adalah anak keenam daripada sembilan beradik. Ayahnya, Hasmadi Ghazali, 47, yang juga guru pendidikan Islam, menzahirkan rasa syukur dan bangga atas kejayaan anaknya. Menurut beliau, pencapaian ini adalah hasil doa ibu, bapa, guru-guru dan saudara-mara yang sentiasa menyokong perjalanan anaknya.
“Harapan kami agar dia terus istiqamah dan menjadi pembakar semangat kepada anak Orang Asli lain untuk berjaya dalam bidang agama dan kehidupan,” katanya.
Beberapa abangnya kini berkhidmat dalam pelbagai bidang termasuk Jakim, tentera dan polis, manakala ada yang masih menuntut di universiti dan sekolah.
Inspirasi Buat Generasi Remaja
Kejayaan Izzuddin membuktikan bahawa usia muda bukan penghalang untuk mencapai sesuatu yang luar biasa. Dalam era moden yang penuh cabaran, kisahnya memberi semangat kepada remaja bahawa dengan disiplin, usaha dan doa, kejayaan pasti dalam genggaman.
Lebih penting, pencapaiannya membuka mata masyarakat terhadap potensi besar anak-anak Orang Asli yang mampu mencipta sejarah dan mengangkat nama negara.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!

















