Petang tadi acara 4 x 400m lelaki bawah 18 telah menutup tirai Kejohanan Olahraga MSSM 2022 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Pasukan Sabah cemerlang mengungguli acara terbabit apabila berjaya mencipta kejutan di saat akhir memintas atlet Johor yang pada mulanya mendahului larian.
Seiring kemenangan tersebut, atlet Sabah sekaligus berjaya mencipta rekod memperoleh 15 pingat emas, 16 perak dan 10 gangsa sekaligus meletakkan Negeri Di Bawah Bayu itu sebagai juara keseluruhan pendahulu carta pingat Kejohanan Olahraga MSSM edisi ke-62.
Pengiran Aidil Auf bersama jurulatih, Jumain Taepe
Seorang atlet muda yang mencuri tumpuan ramai ialah Pengiran Aidil Auf yang berasal dari Sandakan, Sabah. Dia yang baru berusia 17 tahun digelar Raja Pecut MSSM 2022 dek kerana berjaya memenangi acara 100-m lelaki bawah 18 dengan catatan masa 10.73 saat. Selain itu, dia turut menjuarai acara 200-m, 4 x 100m dan 4 x 400m.
Ads
Dengan rekod empat emas dalam genggaman, bintang sukan berbakat besar ini mencipta rekod baharu dunia olahraga MSSM apabila menyapu bersih acara yang disertainya. Dalam temubual bersama pihak media, Pengiran Aidil Auf berkongsi perasaannya sebagai atlet pecut cemerlang.
“Saya rasa sangat gembira, kerana saya menjanjikan empat emas, Alhamdulillah saya berjaya mendapat emas emas dan memecah rekod MSSM bagi acara 4 x 100-m,” ujarnya memanjat kesyukuran dengan kejayaan yang diperoleh.
Catatan masa yang menjadikannya Raja Pecut MSSM 2022
Apabila ditanya bilakah dia mula menjinak-jinakkan diri dalam acara pecut, dia menjawab, “Sebelum ini saya mengambil acara 400-m, saya beralih ke acara pecut baru setahun yang lalu.”
Kecemerlangan yang diperolehi tidak lengkap tanpa sokongan orang penting bagi dirinya. Dia mengucapkan terima kasih kepada kedua orang tuanya, jurulatih dan sahabatnya yang tidak putus-putus memberikan sokongan sepanjang dia menceburi dunia olahraga.
Ads
Tahniah REMAJA ucapkan kepada Pengiran Aidil Auf dan tahniah Sabah! Semoga terus cemerlang.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Angka 177 nyata ditunggu-tunggu oleh seluruh rakyat Malaysia yang menonton siarang langsung acara pembukaan Sukan Olimpik ke-32 pada malam ini.
Angka tersebut mewakili giliran delagasi atlet dan pegawai dari Malaysia untuk berarak masuk ke dalam Stadium Olimpik Tokyo.
Dalam suasana acara yang lebih ringkas berbanding edisi Olimpik terdahulu yang menjadikan acara pembukaan sebagai momen utama penganjuran mereka, semua yang terlibat pada malam ini berada dalam keadaan berjaga-jaga dengan menjaga penjarakan sosial serta memakai pelitup muka sepanjang masa.
Bercakap mengenai perarakan masuk delegasi Malaysia, mereka nyata telah membuat kejutan kepada semua orang dengan pemilihan persalinan serba segak dan cantik.
Selalunya pada kejohanan sukan sebesar Sukan Olimpik, Malaysia seringkali memilih persalinan berwarna jingga-hitam bagi mewakili semangat harimau Malaya.
Bagaimanapun pada malam ini, skuad Malaysia yang diketuai pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying telah menyarungkan persalinan yang diilhamkan daripada Laksamana Hang Tuah.
Ia juga mewakili keempat-empat warna pada Jalur Gemilang. Bagi atlet lelaki, masing-masing segak dengan sampin, bengkong dan tanjak. Manakala bagi wanita, mereka melengkapi saudara lelaki mereka dengan baju kurung putih berkain sarong corak serta kot labuh berwarna merah. Turut menghiasi persalinan mereka ialah aksesori dokoh berwarna emas dan pelitup muka khas dengan paten sama serta bendera Malaysia kecil.
We saw you Dhabitah Sabri! Hehe..
Menariknya, persalinan pada malam ini telah direka serta disiapkan khas oleh Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Perubahan stail persalinan skuad Malaysia kali ini telah menerima respon yang amat positif dalam kalangan warganet yang menonton siaran langsung sebentar tadi.
Untuk pengetahuan, lebih 200 negara telah berarak masuk ke dalam stadium. Akan tetapi, tidak semua atlet dan pegawai boleh mewakili negara mereka. Jumlah tersebut terpaksa dikecilkan sebagai langkah berjaga-jaga mengelakkan jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan semua pihak yang terlibat.
Perkahwinan pasangan selebriti popular dari Indonesia, Alyssa Daguise dan Al Ghazali, bukan sahaja menjadi bualan hangat kerana keindahan majlisnya yang elegan, tetapi juga kerana satu perkara lain yang cukup luar biasa—hadiah eksklusif yang diterima oleh para bridesmaid!
Kalau kebiasaannya hadiah pengapit hanya berupa cenderahati kecil atau barangan kenangan, lain pula ceritanya untuk majlis Alyssa. Para bridesmaid menerima satu kejutan yang benar-benar mewah: satu set penuh Dyson Airwrap, alat penggayaan rambut berteknologi tinggi yang menjadi idaman ramai remaja dan wanita muda hari ini.
Hadiah yang Buat Ramai Ternganga
Setiap kotak hadiah bukan sahaja mengandungi Dyson Airwrap (yang harganya boleh mencecah RM2,700 di Malaysia), tetapi juga dilengkapi dengan barangan penjagaan diri seperti produk penjagaan kulit mewah, minyak wangi berjenama, serta kad ucapan peribadi yang ditulis sendiri oleh Alyssa.
Menerusi satu video yang dimuat naik pengguna TikTok @unbranded_stroe, Alyssa tampil anggun dalam gaun kuning sambil mengagihkan kotak hadiah mewah kepada rakan-rakan rapatnya.
Kotak berwarna putih dihias riben coklat itu bukan sekadar kelihatan mewah, malah isinya dianggarkan bernilai lebih RM4,000 setiap satu.
Kesemua hadiah ini disusun rapi dalam kotak yang telah diperibadikan dengan nama setiap bridesmaid—memberikan sentuhan eksklusif dan istimewa. Tidak hairanlah apabila video unboxing hadiah ini mula tular di media sosial, ramai yang meluahkan rasa kagum dan teruja.
Netizen Teruja, Ramai ‘Apply’ Nak Jadi Bridesmaid
Menerusi ruangan komen di TikTok dan Instagram, rata-rata netizen meluahkan rasa kagum terhadap kemurahan hati Alyssa yang begitu menghargai pengiring pengantinnya dengan hadiah bernilai tinggi.
Malah ada juga berseloroh ingin menjadi bridesmaid Alyssa jika ada majlis kedua nanti. Ada juga yang mengakui mereka sanggup membantu sepanjang hari majlis asalkan dapat hadiah seumpama itu.
Sebagai info, Alyssa Daguise dan Al Ghazali sah bergelar suami isteri pada 16 Jun lalu.
Bukan sebarangan pelakon baharu boleh mendabik dada dengan pengiktirafan anugerah hiburan tempatan serta antarabangsa hanya dalam tempoh lima tahun pertama penglibatan.
Well, Nadhir Nasar bukanlah ‘sebarangan’.
Nadhir Nasar.
Dalam beberapa tahun usai menjuarai pencarian Hero Remaja 2020, Nadhir telahpun diiktiraf oleh Asian Academy Creative Award bagi kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi drama bersiri Nusyuz Berkiblat Cinta.
Hasil lakonan mantapnya sebagai Erfhan; seorang suami yang mendera isterinya, Safiana (lakonan Shaza Bae) secara emosi, fizikal dan seksual; penonton mudah menjiwai perasaan benci terhadap watak lakonan Nadhir itu apabila melihat penderitaan seorang isteri diperlakukan sebegitu rupa.
Jelas Nadhir, bukan anugerah yang dikejar-kejar olehnya. Sebaliknya, apabila dapat menjayakan watak yang mencabar baginya, itu adalah kepuasan yang lebih tidak terhingga.
Kelebihan yang dimiliki oleh Nadhir Nasar sebagai selebriti yang diminati ramai peminat tanpa mengira usia sebenarnya berbalik kepada kredibiliti yang dibawakan olehnya dalam setiap naskah.
Nadhir berjaya mengekalkan minat orang ramai disebabkan keberaniaan untuk mencuba pelbagai jenis genre drama, filem dan telefilem dari semasa ke semasa.
Sebagai contoh, di saat peminat masih mengingati impak ‘kebencian’ terhadap Erfhan (Nusyuz Berkiblat Cinta), Nadhir beralih arah dengan melakonkan watak Jamie bagi drama bersiri My Famous Ex-Boyfriend yang sesuai ditonton seisi keluarga yang menggemari genre komedi romantik pula.
Dan… siapa boleh lupakan penangan drama bersiri Projek: Anchor SPM yang memperkenalkan Nadhir kepada sebilangan besar peminat remajanya. Drama yang mencedok kisah kehidupan pelajar sekolah menengah ini membuatkan ramai jatuh cinta terhadapnya serta karakter Hilmi.
Selang beberapa tahun, sekali lagi Nadhir tidak gentar untuk mempelbagaikan jenis watak. Kali ini, dia menjayakan pula karakter seorang guru menerusi drama bersiri Kelas Tahanan Cikgu Hiiragi; sebuah adaptasi daripada drama Jepun yang cukup popular dewasa ini.
Daripada pelajar sekolah ke cikgu psiko dan kemudian menjadi suami kaki dera sebelum seterusnya menjadi duda yang digelar ‘Suami Dari Neraka’. Luas sungguh perjalanan karier Nadhir dalam tempoh empat hingga lima tahun pertamanya ini!
Cikgu Dalam Industri Lakonan
Rata-rata peminat Nadhir Nasar sudahpun mengetahui mengenai fascination beliau terhadap pelakon berkaliber, Beto Kusyairy.
Menganggap Beto sebagai idola serta ‘cikgu’ dalam aliran lakonan, perasaan itu bangkit menerusi nilai-nilai autentik yang dibawakan Beto menerusi lakonannya selama ini tanpa mengira watak apa jua yang dimainkan olehnya – sesuatu yang cuba dilakonan oleh Nadhir sendiri.
Selepas melakonkan telefilem sulungnya bersama Beto Kusyairy, Nadhir sekali lagi berpeluang berada dalam satu set bersama Beto. Kali ini, ia menerusi drama Astro Ceria berjudul Super Wira yang bergenre ‘lebih ringan’ tetapi masih sarat dengan mesej berguna; bersesuaian dengan penonton kanak-kanak.
Diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar, Super Wira merupakan siri adiwira berunsur tradisional Melayu pertama seakannya dihasilkan di Malaysia. Berbeza dengan hiburan adiwira Barat yang sering kita tonton, Super Wira mengangkat seni pertahanan diri tradisional seperti silat sebagai sebahagian daripada gaya pertarungan dalam babak yang dipertontonkan.
Sekaligus, ia sedikit sebanyak mengubah landskap produksi perfileman Malaysia yang tidak mengulang pakai plot sama.
Hormati Generasi Sebelumnya
Bercakap mengenai sutradara yang digemari lagi dihormati oleh Nadhir, jejaka berusia 28 tahun ini sememangnya tidak pernah puas untuk mengkaji naskah-naskah tempatan yang memberi impak kepadanya.
Bukan sahaja gemar mengulang kaji lakonan anak-anak seni handalan yang terlebih dahulu makan garam sebelumnya seperti Beto Kusyairy, Que Haidar dan Jalil Hamid. Nadhir juga cuba mendalami genre drama serta filem yang mencabar minda serta emosi.
Antaranya seperti drama bersiri Scammer 1 dan Scammer 2 arahan Norhanisham Muhammaf. Dibintangi oleh Kamal Adli, Siti Saleha dan Fasha Sandha, drama tersebut mengisahkan kegiatan money laundering dalam kalangan kolar putih akibat desakan kehidupan.
Kongsi Nadhir, dia turut meminati drama bergenre seram thriller, Sembilan arahan Razaisyam Rashid yang dijayakan hasil kolaborasi pelakon dari Malaysia serta Indonesia. Selain itu, dia tidak mengenepikan karya-karya yang lebih santai pada permukaan tetapi padat dengan penyampaian moral seperti Man Laksa, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah – kesemuanya merupakan arahan Allahyarham Mamat Khalid.
Karya-karya deep sebegini menjadi kegemaran Nadhir. Tidak kiralah sama ada karya baharu mahupun lama, setiap daripadanya mempunyai nilai sentimental yang membuatkannya ia berbekas di hati.
Kata orang, jika anda ingin menjadi yang terbaik, belajarlah daripada gerak geri mereka yang terbaik.
Oleh itu, Nadhir tidak kekok untuk mengakui karya-karya yang boleh ditonton semula menerusi Astro Go ini telah banyak memberi tunjuk ajar kepadanya sebagai seorang pelakon disamping menghiburkan jiwa seninya di waktu senggang.
Korang pun boleh menonton semula drama atau program televisyen yang dilakonkan oleh Nadhir atau yang disukai olehnya tadi!
Jom usha kesemua naskah menarik itu secara On Demand dan strim di Astro Go serta sooka; pada bila-bila masa dan di mana sahaja korang berada.
Saksikan temu bual penuh bersama Nadhir Nasar ini di saluran YouTube Astro Malaysia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!