
Baru-baru ini, jaguh angkat berat Perak, Qistina Qharisya Muzani mencuri perhatian selepas berjaya membawa pulang pingat emas dalam acara kelas bawah 48 kilogram (kg) wanita pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, semalam, selain mencipta dua rekod baharu temasya.
Difahamkan, atlet yang kini berusia 21 tahun itu merekodkan angkatan 72kg dalam ‘snatch’ dan 82kg bagi ‘clean and jerk’ untuk mengumpul keseluruhan 154kg, sekaligus mengatasi pencabar dari Terengganu dan Pahang.
Memandangkan kategori bawah 48kg diperkenalkan buat kali pertama pada edisi kali ini bagi menggantikan kelas bawah 49kg, catatan keseluruhan Qistina turut menjadi rekod baharu SUKMA.
Sementara itu, pingat perak menjadi milik Nur Arrissya Nadia Mohamadnor Wardi dari Terengganu dengan jumlah angkatan 144kg, hasil 63kg dalam snatch dan 81kg clean and jerk, manakala wakil Pahang, Nur Dania Nasyiha Abdullah meraih gangsa selepas mengumpul 130kg.
Kejayaan tersebut cukup bermakna buat Qistina yang tampil dalam SUKMA terakhirnya selepas kariernya hampir terhenti susulan kemalangan motosikal pada September tahun lalu yang mengakibatkan tulang scaphoid tangan kanannya patah serta mengalami kecederaan ligamen.
“Kemalangan itu berlaku pada September tahun lalu. Tulang scaphoid saya patah dan ligamen hampir putus. Saya sepatutnya menjalani pembedahan tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkannya,” katanya.
“Saya terus berlatih walaupun menahan kesakitan dan terpaksa mengambil ubat tahan sakit. Saya bersyukur dapat memenangi emas hari ini, lebih-lebih lagi ini adalah SUKMA terakhir saya kerana faktor had umur. Saya mahu melakukannya untuk pasukan dan keluarga,” ujarnya lagi.
Lebih mencabar lagi, doktor sebelum ini memaklumkan Qistina mungkin tidak lagi mampu meneruskan karier dalam sukan angkat berat, malah menasihatinya supaya berhenti. Namun, atlet kelahiran Perak itu memilih untuk meneruskan latihan dan menangguhkan pembedahan demi mengejar peluang beraksi di SUKMA terakhirnya. Keputusan tersebut bukan tanpa pengorbanan apabila beliau terpaksa berlatih dalam keadaan menahan kesakitan serta bergantung kepada ubat tahan sakit.
Dalam masa sama, Qistina turut berdepan cabaran untuk menyesuaikan diri dengan kategori baharu bawah 48kg, termasuk usaha menaikkan berat badan melalui makanan tambahan dan minuman penambah jisim bagi memastikan prestasinya kekal kompetitif.
BACA: Aniq Kasdan Buktikan Kelas Tersendiri, Hadiahkan Emas Pertama Malaysia Di Glasgow 2026! Tahniah!
Sebelum ini, Qistina pernah meraih emas dalam kategori bawah 45kg pada SUKMA Sarawak 2024, namun kategori tersebut telah dihentikan. Justeru, kejayaan di Selangor ini menjadi penutup manis perjalanan SUKMA buat dirinya selepas melalui pelbagai cabaran termasuk kecederaan serius serta usaha untuk menyesuaikan diri dengan kategori baharu sebelum ini.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.