Sukar untuk dipercayai apabila menerima perkhabaran yang dimaklumkan menerusi laman media sosial Cosry bahawa pemilik dan juga pereka fesyen jenama tersebut, Putra Aziz telah meninggal dunia pada Khamis, 30 Disember 2021, jam 8.30 malam.
Menjengah ke laman Instagramnya, ramai yang mula menyampaikan ucapan takziah.
Memetik informasi yang dimuat naik di laman Facebook Cosry Official, “Dengan penuh dukacita, kami ingin mengumumkan pemergian Putra Aziz dari Cosry jam 8.30pm sebentar tadi. Al-fatihah.” Dalam laporan Awani, menurut sumber yang rapat dengannya, kesihatan Allahyarham mula merosot sejak dua minggu lalu.
Bersama Maya Karin dalam busana rekaannya.
Allahyarham merupakan anak kelahiran Acheh yang memulakan perniagaan fesyen bersama rakan kongsinya, Ariff Quasry pada tahun 2004. Ketika itu mereka memulakannya dengan memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah sebelum permulaan membuka sebuah butik kecil yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor sehinggalah berpindah Bangsar dan Kuala Lumpur yang kemudiannya berkembang pesat sebagai satu jenama pilihan ramai termasuklah golongan VIP dan selebriti terkenal.
PERIBADI MURNI
Sepanjang kariernya di dalam dunia fesyen, antara yang dekat dengan personaliti ini semestinya wartawan yang banyak memberikan liputan dan tidak kurang ‘meminjam’ busananya untuk digayakan oleh selebriti atau model yang ditampilkan di dalam akhbar atau majalah
Ads
Penulis juga salah seorang dari mereka. Mengenali Allahyarham ketika mula-mula bergelar wartawan untuk sebuah majalah berkonsepkan kewanitaan kira-kira 11 tahun lalu, peribadinya cukup menyenangkan.
Biarpun sudah mencipta nama dan dikenali ramai, dia tidak pernah meninggi diri biarpun berhadapan dengan wartawan yang baharu sahaja bertapak di dalam dunia kewartawanan. Begitulah dia dari tahun ke tahun, tetap abang Putra (panggilan penulis kepada Allahyarham) yang dikenali dari hari pertama kami bertemu.
Rekaan busana untuk bridesmaid perkahwinan Mawar Rashid dan Raff Yaakob.
PILIHAN POPULAR
Ramai selebriti dan personaliti popular memilih Allahyarham bagi mencipta busana buat mereka. Sekadar menyebut beberapa nama antara selebriti yang menyarungkan busannya seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Erra Fazira, Izara Aishah dan juga Elfira Loy.
Elfira mengayakan Cosry di hari bahagianya.
Allahyarham terkenal dalam menghasilkan busana perkahwinan yang cukup indah dan eksklusif. Siapa sahaja yang boleh melupakan gaun kahwin inspirasi Mariposa yang digayakan Anzalna Nasir pada majlis resepsinya. Bukan sahaja media tempatan, bahkan gaun tersebut menjadi tumpuan media antarabangsa.
Selebriti popular Indonesia, Bunga Citra Lestari juga menggayakan busana kebaya rekaan Allahyarham saat majlis perkahwinannya. Terbaharu, personaliti popular yang kini menetap di London, Dr Amalina Che Bakri turut memilih untuk mengenakan persalinan kurung nikah rekaan Allahyarham untuk majlis perkahwinannya yang diadakan di sana, April lalu.
Ads
Satu momen membanggakan bagi minda kreatif di sebalik jenama Cosry ini pastinya saat jenama itu dipilih untuk menghasilkan dan mreka busana buat atlet kebangsaan ketika majlis pembukaan Sukan SEA 2017 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Busana yang direka berasaskan rona Jalur Gemilang itu mendapat pujian ramai.
Semoga roh Allahyarham ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Pastinya nama Putra Aziz akan terpahat dalam kenangan mereka yang pernah berurusan dengannya.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kredit foto: Instagram Cosry Official, Putra Aziz, Harian Metro
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Kes sekumpulan remaja yang membakar sekolah Tahfiz baru-baru ini membuka mata masyarakat kepada bahaya pengaruh dadah dan masalah sosial di negara ini. Sedang isu ini hangat diperkatakan, polis Butterworth pula telah menyerbu sebuah parti dadah private dan menahan 26 individu yang hampir kesemuanya remaja berusia 15-19 tahun.
High Ketika Parti Diserbu
Ketika serbuan jam 11 pagi itu dilakukan, semua pengunjung parti kelihatan masih dalam keadaan khayal. Kesemua yang ditahan turut positif ujian ketamine, dan sesetengahnya turut positif methamphetamine. Mereka dikatakan telah membeli ‘pek parti’ yang berisi pil Erimin 5 dan Ketamine untuk pesta satu malam di sebuah unit homestay itu.
Kebanyakan remaja yang ditahan merupakan pelajar sekolah menengah berhampiran, dua ialah pelajar kolej vokasional, manakala yang lain-lain majoritinya tidak bekerja.
Penganjur Remaja 21 Tahun, Guna Sosial Media
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, ACP Nik Ros Azhan Abdul Hamid berkata, polis telah merampas 0.81g pil Erimin 5, 1.5g ketamine, dan 0.39g dadah yang tidak dikenalpasti berserta penyedut minuman dan alatan lain di lokasi berkenaan.
Menurutnya lagi, penganjur parti dadah tersebut merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun yang berkolaborasi dengan seorang mekanik berusia 20 tahun. Mekanik tersebut telah bertemu dengan pengedar dadah bergelar ‘Boss’ di Juru Auto City untuk membeli dadah beberapa jam sebelum parti.
Parti rahsia itu dianjurkan dengan mudah melalui media sosial, dan kumpulan yang menggelar diri mereka Group Goyang Yuk itu dikatakan sudah beberapa kali mengadakan parti serupa.
Kesemua 26 yang ditahan direman selama 4 hari dan disiasat atas kesalahan memiliki dadah terlarang di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pesanan kami dari Team REMAJA, hargailah kehidupan dan masa depan korang.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dengan lebih 1.5 juta pengikut di laman Instagram, Ameera Khan merupakan bintang media sosial yang menjadi pilihan pelbagai jenama fesyen tidak kiralah jenama antarabangsa mahu pun tempatan yang mahu meminjam pesona wajahnya bagi menyerikan kempen.
Terbaharu, adik kepada Neelofa ini telah dipilih untuk menjadi wajah penyeri kempen lebaran 2022 jenama popular tempatan, ALIA B. Jika tahun lalu kakaknya berkolaborasi bersama jenama ini untuk menghasilkan koleksi ALIA B x Naelofar, tahun ini gilirannya pula.
Meninjau ke laman Instagram gadis berusia 21 tahun ini, dia memuat naik gambar kempen yang dihasilkan siap dengan titipan kata, “Dream girl.”
Inilah yang menjadi esen kepada keseluruhan rekaan jenama ini oleh pengarah kreatifnya, Alia Bastamam.
“Dalam 2 tahun hidup dengan wabak itu, saya perlu mencari ketenangan dalam diri saya dan ia terserlah semasa mencipta koleksi ini. Saya jumpa sesuatu untuk menggambarkan harapan dan impian dengan indah; sesuatu untuk dikongsi dengan ALIA B Girls saya. Jadi saya tepat menamakan koleksi itu sebagai “DREAMS” kerana ia dibaluti dengan percintaan yang ringkas di atas awan,” jelasnya mengenai koleksi ini.
Berbicara mengenai pemilihan Ameera sebagai wajah kepada kempen ini, dia menjelaskan yang Ameera dipilih dengan teliti untuk menjadi wajah eksklusif kepada kempen ini. Mewakili epitome gadis ALIA B dengan sempurna, Ameera dilihat jelas menjadi lambang kepada keseluruhan gaya koleksi ini.
Alia menambah lagi, “Saya berharap koleksi terbaru ALIA B yang digelar Dreams ini bergema selari dengan setiap wanita dan gadis. Apa yang saya mahukan adalah setiap dari mereka berasa cantik luar dan dalam dan jangan pernah melupakan menhayati impian.”
Selain Ameera Khan, seorang lagi selebriti popular, Daiyan Trisha turut menghiasi kempen ini.
+++ Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Ramai yang memandang sinis bila individu bertubuh besar menyatakan hasrat ingin menurunkan berat badan. Bagi mereka, individu ini hanya hangat-hangat tahi ayam sebab dah sebati dengan ‘makanan’, mana mungkin mampu tahan nafsu makan.
Oleh itu, seorang pengguna Facebook iaitu saudara Mohd Noor Saari Putranor baru-baru ini telah berkongsi tip diet yang dia praktikkan sehingga mencapai berat yang diingini.
Bagi Mohd Noor Bin Saari atau lebih dikenali dengan nama panggilan Noah , dia memilih untuk melakukan diet secara sihat dan bukannya mengambil jalan mudah dengan menggunakan ubat-ubatan untuk kurus. Lelaki ini pernah mencecah berat sehingga 98 kg pada Ramadan tahun lepas dan sememangnya setiap kali menjelang bulan puasa dia akan cuak umpama kucing mendengar guruh kerana dia tahu beratnya akan naik kaw-kaw.
Sekarang, berat Noah sudah pun 76kg, ternyata dengan usaha yang dilakukan tanpa mengira penat dan erti putus ada dia kini memakai baju saiz M. Walapun sibuk di pejabat dengan tugasnya sebagai Pembantu Juruukur Bahan Kanan di Perbadanan Putrajaya dan menjadi suami serta ayah kepada 7 orang cahaya mata.
Lihat saja progress yang ditunjukkan daripada gambar before dan after, memang boleh jadi inspirasi buat korang yang nak menurunkan berat badan juga.
Diet Tak Ambil Gula
“Diet yang saya amalkan adalah potong terus pengambilan gula iaitu tidak mengambil langsung gula…. tak kira apa jenis gula sekalipun.. samada gula putih..merah..melaka dan lain2..”,ujar lelaki ini.
Menu Yang Diamalkan
Sarapan Pagi : telur ayam kampung 2 biji dan kurma 2 biji boleh tahan sehingga tengah hari
Tengah hari : ikan dan sayuran
Malam: oat dan buah buahan
Saya tidak mengambil nasi dah hampir 3 bulan lebih.. kini berat turun hampir 20kg
Senaman Jangan Dilupa
“Pada mulanya saya berlari dalam jarak 3km. Kemudian tambah jarak sedikit demi sedikit. Kini saya sudah boleh lari sehingga 10km. Tapi setiap hari saya akan buat sit up dan push up. Sekurang-kurangnya 30 kali waktu pagi, tengahari dan malam sehingga cukup 100kali”.
Tip Motivasi
Kini Noah gembira bukan hanya kerana dirinya semakin kelihatan muda remaja. Namun keluarganya juga kini peka terhadap kesihatan tubuh badan. Dia juga berterima kasih pada keluarga kerana sentiasa memberinya sokongan untuk menurunkan berat badan dan amalkan gaya hidup yang sihat.
“Saya selalu ingatkan diri sendiri bahawa saya ada anak-anak yang ramai dan wajib kekal sihat supaya dapat menjaga mereka dengan baik. Bagaimana hidup dalam keluarga besar.
Mungkin jika arwah mak masih hidup, dia pasti akan senyum dan bangga melihat perubahan saya sekarang. Sebab dulu dia selalu perli, risau dan ingatkan saya yang perut sudah semakin galak membesar. Takut sangat katanya. Isteri yang tercinta juga sangat sporting dan banyak memberikan sokongan serta inspirasi. Dialah wanita yang melahirkan anak-anak saya yang seramai 7 orang itu. Bila sudah turun berat badan, anak-anak juga semakin peka dengan kesihatan dan sudah tak berani nak minta makan fast food sebab mereka tahu abahnya dah tak makan”.
Nasihatnya kepada individu yang bertubuh besar, kita boleh turunkan berat badan sedikit demi sedikit kalau kita betul-betul nak. Jadi, jangan putus asa dan jangan berhenti. Moga perkongsian Noah dan boleh dijadikan inspirasi buat korang yang dalam perancangan untuk kurangkan berat badan tu.
Muhammad Mikail Ghazali mencuri tumpuan di Sukan SEA Thailand 2025 apabila meraih pingat emas Muay Thai dan memikat hati peminat tuan rumah dengan aksi berkelas dunia.