
Putera George umur 12 tahun sudah tahu bakal jadi Raja England, satu tanggungjawab besar yang diwarisi sejak lahir. Walaupun usianya masih muda, pewaris muda ini semakin menunjukkan kematangan dan aura kepimpinan yang menonjol dalam setiap penampilannya.
Putera George, anak sulung kepada Putera William dan Kate Middleton, kini mula menjadi perhatian dunia menjelang fasa remajanya. Sambutan ulang tahun kelahirannya ke-12 pada 22 Julai lalu bukan sekadar meraikan usia, tetapi juga simbol langkah awalnya sebagai pewaris takhta kedua selepas bapanya.
Antara momen penting yang membuktikan kematangan George ialah ketika menghadiri majlis minum petang bersama Raja Charles di Istana Buckingham pada 5 Mei lalu. Mengenakan sut gelap dengan tali leher biru, George dilihat yakin bertanya soalan bernas kepada tetamu veteran Perang Dunia Kedua. Gelagat ini mencerminkan keberanian, keyakinan dan ketenangannya – kualiti yang jelas ada pada seorang pemimpin masa depan.
William dan Kate secara perlahan-lahan memperkenalkan tanggungjawab diraja kepada anak sulung mereka. Dengan cara ini, George membesar dengan kesedaran tentang masa depannya, tetapi pada masa yang sama tetap dibesarkan sebagai seorang kanak-kanak biasa.
Berbeza dengan tradisi diraja sebelum ini, George bersama adiknya Puteri Charlotte dan Putera Louis dibesarkan dalam suasana moden. Mereka bersekolah di Lambrook School, bukan di sekolah asrama eksklusif seperti generasi terdahulu. William dan Kate memilih untuk memberi anak-anak pengalaman hidup yang lebih normal – dihantar ke sekolah, bermain sukan, dan menikmati rutin keluarga seperti anak remaja lain.
Walaupun kerap dilihat di acara rasmi termasuk di Wimbledon dan di balkoni Istana Buckingham, George tetap mempunyai minat seperti kanak-kanak lain. Beliau meminati bola sepak dan sering bersorak di tepi padang bersama bapanya. Aura “normal kid” ini menjadikan George lebih relatable di mata rakyat.
George dijangka menamatkan pengajian di Lambrook tahun depan, dan Eton College – sekolah terkenal yang pernah menjadi alma mater Putera William – kini disebut-sebut sebagai destinasi pendidikan seterusnya. Namun, William dan Kate menegaskan bahawa mereka mahu George menikmati zaman kanak-kanak sepenuhnya sebelum dipikul dengan beban tanggungjawab berat.
Buat masa ini, gelaran rasmi seperti “Prince of Wales” masih belum diberikan kepadanya. Menurut sumber istana, William mahu anaknya memahami takhta sebagai takdir, bukan beban. Dengan Raja Charles masih menjalani rawatan kesihatan, perbincangan tentang masa depan monarki semakin hangat, tetapi Putera George tetap diberi ruang untuk membesar dengan bebas.
Kisah Putera George menjadi bukti bahawa sifat kepimpinan boleh diasah sejak awal dengan pendidikan yang baik, sokongan keluarga, serta pengalaman hidup yang seimbang. Pada usia 12 tahun, beliau bukan sahaja pewaris takhta tetapi juga simbol generasi muda yang mampu memimpin dengan yakin dan penuh inspirasi.