Isu bahasa setelah sekian lama menjadi perdebatan dalam kalangan pemimpin dan masyarakat di Malaysia. Baru-baru ini sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri Melaka dilangsungkan, tular sebentar kes seorang calon wakil rakyat yang bertanding yang didapati tidak dapat memahami soalan yang diberikan oleh pihak media hanya kerana ia ditanya dalam Bahasa Melayu.
Negara bukannya sehari dua baru ingin mengajak rakyat untuk memperkasakan bahasa kebangsaan iaitu Bahasa Melayu. Malah, pelbagai kempen pernah dianjurkan saban tahun agar rakyat sedar kepentingan bertutur dalam satu bahasa kebangsaan terhadap perkembangan sosial dan memupuk semangat nasionalisme yang seharusnya ada dalam diri setiap daripada kita.
Justeru, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam agar masyarakat kembali memperkasakan bahasa kebangsaan kita terutamanya di tempat kerja seharusnya dipandang serius oleh semua kakitangan terlibat.
Kredit Foto : Facebook Hasni Mohammad
Ketika berucap pada Perasmian Malam Kemuncak Pertandingan Akhir Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2021 di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia semalam, beliau telah menegur agensi kerajaan, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang diakui semakin menjauhi penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi pertuturan dalam urusan kerja seharian.
Katanya, Bahasa Melayu seakan diletakkan sebagai bahasa kedua terpenting dalam persidangan, mesyuarat, nama projek, jenama produk dan nama syarikat selepas Bahasa Inggeris.
Ads
“Peranan kita sebagai rakyat Malaysia adalah untuk memastikan Bahasa Melayu terus berkembang yang ketika ini sudah menjadi trend untuk tidak menggunakan Bahasa Melayu dalam program swasta, malah GLC dan agensi-agensi kerajaan.
“Mesyarat agensi dan GLC juga menggunakan Bahasa Inggeris.
“Saya berharap setiap persidangan, mesyuarat dan lain-lain mestilah menggunakan Bahasa Melayu selepas ini. Siapa lagi boleh mengangkat Bahasa Melayu melainkan kita sendiri?” ulas beliau sebelum menambah,
Ads
“Dan tetap ampuh mencorak ritma yang tersendiri dan mekar di persada tamadun manusia di celah kepesatan penggunaan Bahasa Inggeris.”
Perdana Menteri semasa menyerahkan piala kejohanan kepada johan Kategori Antarabangsa PABM, Nargiza Ortikova dari Uzbekistan. Kredit Foto : Utusan
Betul cakap PM kita, kalau bukan kita yang bangga dengan bahasa kebangsaan sendiri, siapa lagi? Tidak salah untuk menguasai bahasa lain seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin yang diakui merupakan bahasa komunikasi global pada zaman ini.
Namun janganlah sesekali kita meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu atau lebih parah lagi, malu untuk menggunakannya serta merendah-rendahkan penggunaannya semasa di khalayak ramai.
Ads
Sementara itu, Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Bahasa Melayu kini menduduki tangga ke-10 bahasa paling popular penggunaannya di dunia.
“Pada masa ini terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih diguna pakai, tetapi hanya 20 bahasa sahaja yang dikategori dan diberi taraf bahasa rasmi termasuk Bahasa Melayu.”
*
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Kata kerja ganda ialah kata kerja yang terbentuk daripada kata yang diulang atau digandakan sebahagian atau keseluruhannya. Kata kerja ganda dapat dibahagikan kepada tiga iaitu penggandaan penuh, penggandaan separadan penggandaan berentak. Kata kerja ganda mempunyai maksud tersendiri berdasarkan kata yang digandakan itu, seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah:
Maksud kata kerja ganda
Contoh
Perbuatan saling berbalas
bersalam-salaman, berkasih-kasihan
Sering atau berkali-kali
menggaru-garu, melambai-lambai, kumat-kamit
Perbuatan yang berlarutan
mengata-ngata, tergila-gila, berangan-angan
Perbuatan bersungguh-sungguh
bertungkus-lumus, memporak-poranda
Perbuatan untuk bersantai
duduk-duduk, bersiar-siar, berehat-rehat
Contoh ayat yang menggunakan kata kerja ganda:
Pak Mat menggaru-garukan kepalanya yang tidak gatal itu.
Kami sekeluarga keluar makan-makan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Haziq baring-baring di atas tikar mengkuang di serambi rumahnya.
Mata Shamimi terkebil-kebil melihat artis yang sangat diminatinya itu berada di depan mata.
Amir dan adik-adiknya mandi-manda sepuas hati di sungai di belakang rumah nenek mereka.
Setiap kereta yang lalu-lalang di Jalan Bintang tentu akan terpandang rumah banglo yang menyeramkan itu.
Jenny bertungkus-lumus menyiapkan kertas kerja yang akan dihantar kepada pensyarahnya esok.
Dalam ayat (1), (4) dan (6) di atas menunjukkan pelaku melalukan sesuatu perbuatan itu secara berulang-ulang. Pak Mat melakukan perbuatan menggaru tersebut secara berulang-ulang kali. Manakala dalam ayat (2), (3) dan (5) pula menunjukkan perbuatan lebih santai. Ayat (7) pula menunjukkan satu perbuatan yang bersungguh-sungguh.
Justeru, bagi mengelakkan kekeliruan berkaitan penggunaan kata ganda ini, kita perlu memahami maksudnya terlebih dahulu sebelum menggunakannya sama ada melalui ucapan mahupun penulisan.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Noor Zila binti Md. Yusuf
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Bangkit seawal jam 5.30 pagi untuk menunaikan solat sunat tahajud setiap hari antara kunci kejayaan remaja ini dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023.
Peroleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00, usaha tersebut membolehkan pemilik nama Muhamad Rafiuddin Mohamad Hisham, yang juga merupakan Orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan merangkul Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2023 bagi Kategori Calon Berkeperluan Khas (CBK).
Menurut bekas pelajar Tingkatan Enam Institusi St John, Kuala Lumpur itu, dia juga sering mengadakan perbincangan bersama guru-guru sekiranya ada soalan yang tidak faham.
“Saya akan bangun selewat-lewatnya pada 5.30 pagi dan saya akan sempatkan juga buat solat sunat tahajud dua rakaat, itu wajib setiap hari.
“Selain itu, kalau ada tip-tip daripada guru, itu saya akan ambil perhatian dan selalu buat sesi perbincangan dengan guru jika saya tidak puas hati dengan soalan-soalan tertentu.
“Kerana di Tingkatan Enam, kita pun kena suarakan pendapat kita, bila buat begitu kita akan lebih faham dengan tajuk itu,” katanya.
Kongsi pelajar cemerlang berusia 20 tahun itu juga, dia mula hilang penglihatannya sejak berumur tiga tahun akibat kanser limfoma.
Bagaimanapun, dia memaklumkan penglihatannya mula pulih selepas menjalani beberapa rawatan termasuk latihan kemoterapi.
“Dalam setahun setengah saya buat rawatan (kemoterapi), dan sekarang saya sudah okey. Sekarang saya sudah tidak buat, tetapi masih ada berjumpa dengan doktor,” ujarnya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Sinar Harian
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dalam penulisan karangan atau esei, kita kerap menggunakan kata sendi nama “dalam” dan “di dalam”. Adakah penggunaan kedua-dua kata sendi itu boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya?. Semestinya tidak. Hal ini kerana konteks penggunaan kata sendi nama “di dalam” dan “dalam” adalah berbeza.
Kata sendi nama “di dalam” digunakan di hadapan frasa nama yang mempunyai ruang manakala kata sendi nama “dalam” pula digunakan di hadapan frasa nama yang tidak mempunyai ruang.
Kata sendi nama “di dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:
1. Adik menyimpan semua hadiah pemberian ibu di dalam kotak biru. (Kotak biru ada ruang)
2. Semua orang di dalam bilik mesyuarat itu memandang ke arah Johny. (Bilik mesyuarat ada ruang)
3. Emak merebus sebungkus spageti di dalam periuk. (Periuk ada ruang)
Kata sendi nama “dalam” digunakan dengan betul dalam ayat yang berikut:
1. Semua orang diam membisu dalam mesyuarat itu. (Mesyuarat tidak ada ruang)
2. Ayah seolah-olah sudah dapat membaca perkara yang berlegar-legar dalam fikiran kakak.
(Fikiran tidak ada ruang)
3. Azri melibatkan diri secara aktif dalam perbincangan itu. (Perbincangan tidak ada ruang)
Berdasarkan penerangan di atas, jelas ternyata bahawa “di dalam” dan “dalam” digunakan dalam konteks yang berbeza serta tidak boleh ditukar ganti sewenang-wenangnya.
Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja dan Dewan Bahasa & Pustaka. Artikel ini ditulis oleh Dr. Rabahyah binti Tahir
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!