
Terbaru, jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia dalam acara 400 meter (m) gaya bebas lelaki di Kejohanan Akuatik Asia 2025 yang berlangsung di Ahmedabad, India, pada Isnin.
Memetik laporan Bernama, Hoe Yean menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3 minit 52.69 saat (s) untuk berada di tempat ketiga. Pada masa yang sama, pingat emas dimenangi perenang China, Xu Haibo pula mencatat masa 3:49.29s, manakala pingat perak menjadi milik Nguyen Huy Hoang dari Vietnam dengan masa 3:51.63s dalam saingan di Kompleks Sukan Veer Savarkar.
Dalam pada itu, dua lagi wakil negara, Lim Yin Chuen dan Phee Jinq En, tidak bernasib baik untuk meraih podium dalam acara masing-masing. Yin Chuen menamatkan saingan di tempat ketujuh acara 100m gaya bebas lelaki dengan catatan 51.51s.

Selain itu, dalam acara 100m kuak dada wanita, Jinq En sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat dengan catatan 1:10.68s, sekaligus terlepas peluang menambah koleksi pingat negara.
Sementara itu, bagi acara terjun, penerjun muda negara, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj, turut mencipta kejutan apabila menyumbang pingat gangsa dalam acara 10m platform wanita selepas mengumpul 240.10 mata.
Rakan sepasukannya, Nur Farisya Alia Affendi turut menamatkan saingan di tempat kelima dengan kutipan 205.40 mata. Emas pada acara itu dimenangi penerjun China, Liu Zihan, dengan 370.25 mata, manakala perak turut menjadi milik rakan senegara, Wu Xiahan, yang mengumpul 298.75 mata.

Dalam perkembangan lain, acara 3m papan anjal lelaki, wakil negara Muhammad Syafiq Puteh juga menutup saingan di tempat kelima dengan catatan 355.05 mata.
Emas dalam acara itu diraih wakil China, Tai Xiaohu, yang mengumpul 455.25 mata, manakala perak milik rakan sepasukan Lin Hengnuo dengan 432.45 mata. Gangsa pula menjadi milik Vyacheslav Kachanov dari Uzbekistan selepas mengutip 368.85 mata.
Sumber: Bernama
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!











