
Bunga Isme bangkit lepas dua kali gagal degree dan hampir berhenti menyanyi kerana tekanan belajar. Penyanyi rap wanita ini akhirnya berjaya menamatkan pengajian dan terus kekal dalam industri seni.
Nama Bunga Isme mungkin dikenali sebagai penyanyi yang lantang dengan lirik berani dan penuh makna. Namun di sebalik kejayaan yang diraih, ramai tidak tahu bahawa Bunga pernah melalui fasa paling mencabar dalam hidupnya apabila dua kali gagal dalam pengajian ijazah dan hampir mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian.

“Sebenarnya saya betul-betul down. Saya pernah dua kali gagal untuk dua semester — semester ketiga dan keempat saya gagal satu subjek,” kata Bunga ketika ditemui di majlis pelancaran album sulungnya Seharum Nama di TGV KLCC.
Tekanan Belajar dan Karier Seni Buat Bunga Isme Hampir ‘Give Up’
Bunga atau nama penuhnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran di Universiti Teknologi MARA (UiTM). Namun, menyeimbangkan jadual belajar dengan karier seni bukanlah perkara mudah.
“Waktu itu saya ulang-alik dari Damansara ke Seremban setiap hari. Kadang tak ada kereta, kena naik tren. Bangun pukul 5 pagi, balik pukul 11 malam. Saya penat sangat, sampai terfikir nak berhenti menyanyi.”
Fasa itu menjadi titik paling rendah buatnya. Tekanan akademik dan keletihan fizikal mendorongnya untuk mempertimbangkan keputusan yang besar dalam hidup.

Sokongan Keluarga Jadi Kekuatan
Walau hampir mengalah, Bunga tidak keseorangan. Keluarga dan rakan-rakan menjadi tulang belakang untuknya kembali bangkit dan teruskan perjuangan.
“Mereka tahu saya pernah susah senang dalam muzik. Mereka ingatkan saya kenapa pilih jalan ni. Jadi saya teruskan, usaha sehabis baik dan bertawakal.”
Akhirnya, segala jerih perih tersebut berbaloi apabila Bunga berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah pada November lalu, satu pencapaian yang membanggakan buat dirinya dan peminat.
Bunga Isme Bukti Anak Seni Juga Boleh Cemerlang Dalam Akademik
Kisah Bunga Isme bangkit selepas gagal bukan sekadar inspirasi, malah satu realiti yang dihadapi ramai remaja hari ini. Dalam era tekanan sosial dan akademik yang tinggi, keberanian untuk bangkit selepas jatuh adalah kekuatan sebenar.
Dengan semangat kental dan kesungguhan, Bunga membuktikan bahawa gagal bukan pengakhiran sebaliknya menjadi permulaan untuk kejayaan yang lebih besar.
BACA LAGI : Tak Kenal Erti Putus Asa, Bunga Isme Berjaya Genggam Ijazah Walaupun Sibuk Dengan Kerjaya Seni
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















