
Ketika dunia bergelut dengan penularan pandemik Covid-19, mungkin terdapat hikmah tersembunyi untuk alam sekitar.

Sejak kegiatan manusia banyak terhenti, terdapat pelbagai berita yang menunjukkan peningkatan kualiti alam sekitar.Kebanyakan negara di seluruh dunia melaporkan perairan atau sungai mulai kelihatan bersih manakala hidupan di dalamnya mula kelihatan.
Malaysia tidak terkecuali apabila viral di media sosial apabila ramai pengguna Twitter yang berkongsi gambar Sungai Melaka yang semakin jernih hingga jelas kelihatan ikan berenang-renangan dari dasarnya setelah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama lebih sebulan sejak 18 Mac lepas.



Sungai Melaka yang sememangnya terkenal dengan aktiviti pelancongan seperti Melaka River Cruise sebelum ini pernah berdepan dengan tahap pencemaran yang teruk hingga menyebabkan air sungai berwarna gelap, busuk dan terdapat banyak bangkai ikan ditemui terapung.
Sungai Melaka dah kembali jernih. Tahniah orang Melaka. Teruskan duduk rumah sampai bila-bila. pic.twitter.com/YXk8pzoxqN
— FJ#STAYATHOME (@FLjasmy) April 23, 2020
Namun kini sejak penularan pandemik COVID-19 hingga memaksa aktiviti pelancongan dihentikan dan rakyat duduk di rumah — nampaknya memberikan satu perubahan positif terhadap Sungai Melaka yang dilihat semakin ‘sihat’, meskipun ada juga yang mendakwa situasi air jernih itu sudah bermula sejak sebelum PKP lagi.
Diharap semoga kejernihan Sungai Melaka ini akan berkekalan meskipun selepas tamatnya tempoh PKP nanti. Jangan buang sampah merata-rata dan marilah kita jaga kebersihan sungai bersama-sama!
Ya, mungkin bumi memerlukan masa ‘rehat’ dan sekurang-kurangnya ini adalah berita positif yang kita terima.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
‘Road to Oscars’ Filem Prebet Sapu Terpilih Wakili Malaysia Ke Pentas Dunia

Penganjuran sesebuah majlis anugerah adalah bertujuan memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tempatan yang selama ini giat berkarya, baik untuk kepuasan diri mahupun masyarakat.

Satu lagi kejayaan besar yang diraih oleh industri filem tempatan apabila filem ‘Prebet Sapu’ karya pengarah muda Muzammer Rahman dan dibintangi oleh Amerul Affendi serta Mei Fen Lim dipilih mewakili Malaysia ke Anugerah Akademi (Oscars) ke-94 yang dijangka berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Jika di Hollywood, anugerah berprestij seperti Oscar, mempunyai objektif tersendiri dan setiap darinya mewakili satu cabang seni. Jadi pemilihan yang dibuat oleh Finas adalah berdasarkan pengarahan,penceritaan, sinematografi, lakon layar, lakonan, adunan bunyi, skor muzik, penataan seni dan suntingan filem. Ia melalui proses teliti yang dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Filem Finas terdiri daripada para penggiat industri filem tempatan bertaraf profesional dan berpengalaman.
Prebet Sapu mengisahkan kehidupan anak muda yang mencari makan di Kuala Lumpur sebagai pemandu prebet. Ia turut oleh Bront Palarae, Sharifah Amani, Nam Ron, Nadiya Nisaa, Chew Kin Wah, Jay Iswazir, Anas Ridzuan, Roslan Madun dan ramai lagi.

Prebet Sapu sebelum ini telah mengembara mengelilingi dunia ke beberapa festival filem antaranya Udine Far East Film Festival, Itali; Jogja-Netpac Asian Film Festival (JAFF) Indonesia; Toronto Reel Asian Film Festival, Kanada; Asian Film Festival Barcelona; Sepanyol dan Innovative International Film Festival di India.
Memang layak la filem ini wakili negara kita, moga filem ‘Prebet Sapu’ ini mampu mencipta sejarah seperti filem Parasite. Siapa sangka filem Korea yang berjudul Parasite mampu mencipta sejarah tersendiri di dalam anugerah paling berprestij di dunia, Oscar.
Antara filem kita yang pernah dihantar ialah Puteri Gunung Ledang, Bunohan, Lelaki Harapan Dunia dan Redha
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Selain Mat Kilau, 5 Pahlawan Tanah Melayu Ini Mungkin Ramai Dah Lupa!

Filem ‘Mat Kilau’ memecahkan rekod sebagai filem epik pertama yang berjaya memperoleh kutipan tertinggi dalam sejarah perfileman tempatan.Telah menarik perhatian ramai penggemar filem tanah air negara khususnya pencinta sejarah kepahlawanan Melayu terdahulu.
ARTIKEL BERKAITAN : Cecah Kutipan RM11 Juta, Filem Mat Kilau Dapat Sambutan Luar Biasa Orang Malaysia

Penyampaian menerusi filem sebegini rata-rata dianggap sangat berjaya menyuntik semangat patriotisme yang ada dalam setiap warganegara terutamanya anak muda dan remaja.
Tapi tahukah korang, selain Mat Kilau, kita ada ramai lagi pahlawan yang mempertaruhkan nyawa demi Tanah Melayu? Haa mungkin korang dah belajar atau ketahui nama-nama mereka ini masa dalam kelas Sejarah dulu, tapi mungkin dah lupa kan…
Berikut Remaja senaraikan 5 pahlawan Tanah Melayu yang telah memperjuangkan kemerdekaan daripada penjajah:
- Dato Maharaja Lela

Sumber : Wikipedia
Pandak Lam Bin Maharaja Lela Maulud adalah nama sebenar buat individu yang memegang gelaran Dato Maharaja Lela ini. Dato Maharaja Lela adalah satu gelaran yang cukup tidak asing dalam lembaran sejarah negeri Perak.
Kisah pembunuhan J.W.W. Birch yang melibatkan Dato Maharaja Lela di Pasir Salak amat popular dalam lembaran teks sejarah negeri Perak. Ramai yang berpendapat bahawa peristiwa itulah merupakan detik bermulanya kebangkitan orang-orang melayu di Tanah Melayu.
Pandak Lam juga telah menerima gelaran yang sama iaitu Dato Maharaja Lela dan beliau punyai peranan yang amat penting dalam menentang kerajaan British di negeri Perak. Pandak Lam adalah antara individu yang terlibat dalam merancang pembunuhan J.W.W. Birch yang merupakan Residen British pertama di negeri Perak. Selain itu, antara mereka lain yang terlibat adalah Dato Sagor dan Ngah Kandin.
Malangnya, beliau telah dihukum gantung sehingga mati pada tarikh 20 Januari 1877 di Taiping bersama-sama dengan Dato Sagor yang terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch.
2. Tok Janggut

Haji Mat Hassan bin Mat Munas atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut ialah seorang ulama dan juga pahlawan Melayu yang sanggup menggadai nyawa demi melawan British.
Menurut Berita Harian, Tok Janggut yang dilahirkan pada 1853 dan berasal dari Kampung Jeram, Pasir Puteh ini adalah antara penentang British pada awal tahun 1900-an di Kelantan ketika berlakunya Perang Dunia Pertama antara 1914 hingga 1918.
Menerusi hasil kajian para sejarawan, Tok Janggut pada awalnya seorang ulama yang telah mendalami ilmu pondok sebelum ke Makkah. Di Makkah, beliau telah mempelajari ilmu agama sebelum Perang Dunia Pertama meletus.
Perjuangan Tok Janggut menentang penjajah bermula apabila pihak British mengambil alih pemerintahan Kelantan daripada Siam selepas Perjanjian Inggeris-Siam 1909 yang mana membawa kepada banyak perubahan seperti pengenalan kepada cukai.
Beliau dikatakan terbunuh semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British ini dan lebih menyayat hati apabila mayat beliau telah digantung beberapa hari untuk dipamerkan kepada umum sebelum ditanam di Seberang Sungai, Pasir Pekan.
3. Yamtuan Antah

Yamtuan Antah ibni Almarhum Yamtuan Radin merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-6. Beliau telah memerintah dari 1869 hingga Oktober 1888 dan telah memperjuangkan Negeri Sembilan daripada dijajah British pada tahun 1976.
Perjuangan beliau ini katanya bermula pada Mac 1872 apabila Datuk Kelana Sungai Ujong, Datuk Laksamana Syed Abdul Rahman membuat perjanjian membenarkan seorang Inggeris, Henry Velge membuka lombong bijih timah di Sungai Ujong (kini Seremban). Bermula dari itu, British mula melebarkan sayapnya di Negeri Sembilan dan kemarahan orang Melayu makin meluap-luap apabila Datuk Kelana Syed Abdul Rahman dan Datuk Muda Linggi pergi ke Singapura untuk membuat perjanjian dengan wakil British, Andrew Clarke yang menawarkan Sungai Ujong di bawah perlindungan penjajah.
Tidak bersetuju dengan tindakan tersebut, Yamtuan Antah tidak mengiktiraf Datuk Kelana sebagai pemerintah Sungai Ujong dan sekaligus mencetuskan pertelingkahan hingga membawa kepada beberapa siri pertempuran dengan British.
Beliau yang terpaksa berundur ke Johor akhirnya dinasihatkan untuk berbaik dengan British. British kemudian melantik beliau menjadi Yamtuan Besar Seri Menanti sebelum beliau kemudian meninggal dunia pada 1888 dan dimakamkan di Seri Menanti.
4. Dato’ Dol Said

Dato’ Abdul Said bin Omar atau dikenali sebagaI Dol Said merupakan penghulu Naning yang ke-9. Perang Naning yang berlaku pada tahun 1831 telah menjadikan beliau seorang pahlawan yang telah mengukir sejarah.
Berasal daripada suku Semelenggang, Dol Said mewarisi Penghulu Anjak sebagai Penghulu Naning pada tahun 1799 ketika berumur 26 tahun. Kemudian pada 1802, Kolonel Taylor telah melantik beliau menjadi Penghulu Naning dengan syarat beliau mesti menggunakan cap mohor syarikat Inggeris.
Sehingga campur tangan Koloner Faquhar pada 1807, Penghulu Naning dibenarkan mentadbir Naning termasuklah dalam urusan hukuman mati. Namun campur tangan kolonel itu menyebabkan kuasa hukuman mati diserahkan kepada kerajaan negeri.
Penentangan Dol Said terhadap Naning bermula dari tahun 1831-1832 disebabkan beberapa perkara seperti ingin mempertahankan kemerdekaan Naning (semasa Belanda menyerahkan Melaka kepada British, British mendakwa Naning sebahagian Melaka namun rakyat Naning menolak dakwaan itu), menentang pembayaran cukai dan perlaksanaan undang-undang British yang telah menggugat pengaruh dan kuasa Dol Said di Naning.
Sepanjang setahun tempoh penentangan, telah berlaku dua peperangan yang mana salah satunya Dol Said berjaya mengalahkan British. Manakala bagi perang kedua pada 1832, Dol Said akhirnya menyerah diri kepada British. Beliau meninggal dunia pada 1849 dan disemadikan di Tanah Perkuburan Taboh Naning.
5. Mat Lela

Mat Lela bin Buang berasal dari Kampung Luit, Maran, Pahang dan merupakan sahabat baik kepada Mat Kilau. Kedua-duanya seperti kita tahu mempunyai ilmu kepahlawanan yang hebat tetapi Mat Lela lebih gemar berahsia dan tidak suka menonjol.
Menurut KuantanLoka, sewaktu zaman penjajahan Jepun 1941, orang-orang kampung telah melarikan diri ke dalam hutan untuk menyelamatkan diri, namun Mat Lela tidak berbuat demikian dan menentang Jepun seorang diri.
Pada ketika itu, tiada rumah mahupun kedai yang berjaya diselongkar Jepun kerana pergerakan mereka sering terhalang. Mereka juga tidak mampu menangkap Mat Lela kerana jasadnya pun tidak dapat dilihat di mana-mana. Dengan itu, ramai askar Jepun berjaya dicederakan dan mereka akhirnya berundur.
Mat Lela dilaporkan telah meninggal dunia pada tahun 1995 pada usia 118 tahun akibat sakit tua. Jasadnya dikebumikan di pusara Kampung Merchong, Nenasi, Pekan.
Besar betul pengorbanan pahlawan-pahlawan ini demi membebaskan Tanah Melayu dari genggaman penjajah. Sebenarnya ramai lagi pahlawan-pahlawan Tanah Melayu yang handal dan berani, ini hanya segelintir sahaja.
**
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
“Tolong Bawa Keluar, Saya Rela Jadi Hamba Tuan” Ungkapan Mangsa Gempa Undang Sebak Netizen

Dunia baru-baru ini sekali lagi dikejutkan dengan bencana gempa bumi dahsyat yang berlaku di negara Turkiye dan Syria sehingga mengakibatkan ribuan mangsa terkorban yang semakin meningka sejak semalam, dalam tragedi tersebut.
Kita sedia maklum Syria antara negara yang sedang dalam situasi perang, pelarian dan pemberontakan sejak sekian lamanya. Bagai jatuh ditimpa tangga, negara berkenaan terutama rakyat, kini terpaksa hadapi pula bencana alam itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Gempa Bumi Di Turkiye & Syria, Seluruh Dunia Tampil Hulur Bantuan

Tular di Twitter semalam menerusi sebuah hantaran video yang dikongsikan oleh seorang wartawan Zuher Almosa, apabila ciapannya menceritakan detik-detik penyelamatan di bawah runtuhan.
Lebih meruntun hati warganet apabila ada seorang kanak-kanak perempuan merayu untuk dikeluarkan dari runtuhan dan merelakan diri untuk dijadikan hamba.

Menerusi video berkenaan, kanak-kanak yang berbaju biru itu cuba menenangkan adik perempuannya yang turut dalam kesempitan di celah runtuhan bangunan, selain mereka dilaporkan terperangkap berikutan bumbung rumah mereka runtuh.
“Tolong bawa saya dan adik keluar dari runtuhan ini tuan. Saya rela untuk menjadi hamba tuan,” katanya dalam video berdurasi 17 saat itu.
Ungkapan kanak-kanak itu benar-benar memberi tamparan kepada dunia bahawasanya kedua-dua mereka mungkin beranggapan runtuhan rumah itu berikutan serangan dan bukannya kerana gempa bumi.

Dalam hantaran sama, adik beradik itu kelihatan penat dan tidak bertenaga susulan terperangkap dipercayai tanpa makanan dan minuman sejak gempa menggegarkan pada Isnin.
Pemerhatian Remaja mendapati, rata-rata pengguna menyifatkan adik beradik itu adalah kanak-kanak yang kuat dan berani selain mendoakan yang baik-baik buat mereka.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: Twitter Zuher Almosa
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!


