Berita

“Pengalaman Yang Tak Boleh Dibeli” -Peserta UiTM Dungun Teruja Sertai JALEN Star Chef 2

Share

Debaran pertandingan memasak antara universiti, JALEN Star Chef 2 nyata memberikan pengalaman cukup bermakna buat para peserta yang mengambil bahagian dalam saringan pertama baru-baru ini.

Menampilkan bakat-bakat muda dalam dunia kulinari, pertandingan anjuran Remaja bersama produk Jalen itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat, malah membuka peluang buat pelajar universiti menambah pengalaman serta membina jaringan dalam industri hospitaliti dan makanan.

Antara peserta yang mencuri perhatian ialah tiga pelajar daripada Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA Kampus Dungun iaitu Muhammad Muizzuddin Aqil Mustafa, Muhammad Adam Danish Hairul Azri dan Nur Syafikah Nazurah Muhd Shaqawi.

Pertama Kali Sertai Pertandingan, Aqil Akui Teruja

Menurut Muizzuddin Aqil, penyertaannya dalam pertandingan itu sememangnya memberi pengalaman baharu memandangkan ia merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan seumpamanya.

“Untuk kami sebagai peserta sudah semestinya rasa teruja terutama bagi saya yang pertama kali masuk dalam pertandingan sebegini.

“Bagi saya, program seperti ini bagus untuk diadakan dan saya harap agar pihak-pihak Jalen dan Majalah Remaja dapat perbanyakkan lagi program yang seronok dan bermanfaat seperti ini buat para pelajar universiti lain.

“Selain dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan para peserta dari IPT lain, kami sebagai tuan rumah (UiTM Dungun) cukup teruja menyambut dengan tangan terbuka buat mereka yang baru menjejakkan kaki ke universiti kami,” katanya.

Dalam pada itu, Aqil turut berkongsi bahawa pertandingan tersebut memberi peluang kepadanya untuk bertukar ilmu bersama peserta lain selain menerima sokongan kuat daripada pensyarah universiti.

“Selain itu, saya juga sedikit sebanyak dapat bertanya beberapa hal mengenai kulinari kepada para peserta yang menyertai pertandingan ini.

“Dari segi penglibatan pensyarah juga, mereka banyak membantu kami dalam persediaan dari segi idea, persembahan dan persiapan bahan masakan sebelum menjelang pertandingan hari ini,” tambahnya panjang lebar.

Mahu Tebus Kegagalan Musim Pertama

Sementara itu, Syafikah Nazurah pula mengakui penyertaannya pada musim kedua kali ini hadir dengan semangat untuk memperbaiki pencapaian lalu selepas gagal mara pada musim pertama tahun lalu.

Namun begitu, dia tetap optimis dan enggan menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti mencuba.

“Bagi saya, apa yang membuatkan saya nak sertai lagi bagi musim kedua ini adalah kerana saya tahu kemampuan saya.

“Saya mahu tebus semula kegagalan pada musim pertama pada tahun lepas. Namun, jika saya masih tiada rezeki untuk mara ke pentas finale untuk saringan pertama pada hari ini, tidak mengapa saya tak akan berputus asa,” katanya.

Pengalaman & ‘Connection’ Jadi Memori Berharga

Bagi Adam Danish pula, pengalaman menyertai pertandingan berprestij seperti itu merupakan sesuatu yang cukup bernilai dan sukar diperoleh di tempat lain.

“Apa yang saya dapat apabila menyertai pertandingan ini adalah sudah tentunya pengalaman yang tak boleh dibeli di mana-mana, dapat berkenalan dan buat ‘connection’ dengan orang industri dan paling penting dapat sijil penyertaan daripada pihak penganjur JALEN Star Chef 2,” tuturnya ringkas.

Tiga IPT Sertai Saringan Pertama

Untuk info, saringan pertama JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 6 Mei lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Dungun, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Kolej Bestari (UCB).

Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.

Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.

Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan JALEN Star Chef 2 yang berlangsung sepanjang Mei ini!

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
Fath