Debaran pertandingan memasak antara universiti, JALEN Star Chef 2 nyata memberikan pengalaman cukup bermakna buat para peserta yang mengambil bahagian dalam saringan pertama baru-baru ini.
Menampilkan bakat-bakat muda dalam dunia kulinari, pertandingan anjuran Remaja bersama produk Jalen itu bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat, malah membuka peluang buat pelajar universiti menambah pengalaman serta membina jaringan dalam industri hospitaliti dan makanan.
Antara peserta yang mencuri perhatian ialah tiga pelajar daripada Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan Universiti Teknologi MARA Kampus Dungun iaitu Muhammad Muizzuddin Aqil Mustafa, Muhammad Adam Danish Hairul Azri dan Nur Syafikah Nazurah Muhd Shaqawi.
Pertama Kali Sertai Pertandingan, Aqil Akui Teruja
Menurut Muizzuddin Aqil, penyertaannya dalam pertandingan itu sememangnya memberi pengalaman baharu memandangkan ia merupakan kali pertama dia menyertai pertandingan seumpamanya.
“Untuk kami sebagai peserta sudah semestinya rasa teruja terutama bagi saya yang pertama kali masuk dalam pertandingan sebegini.
“Bagi saya, program seperti ini bagus untuk diadakan dan saya harap agar pihak-pihak Jalen dan Majalah Remaja dapat perbanyakkan lagi program yang seronok dan bermanfaat seperti ini buat para pelajar universiti lain.
“Selain dapat berkenalan dan berkongsi pengalaman dengan para peserta dari IPT lain, kami sebagai tuan rumah (UiTM Dungun) cukup teruja menyambut dengan tangan terbuka buat mereka yang baru menjejakkan kaki ke universiti kami,” katanya.
Ads
Dalam pada itu, Aqil turut berkongsi bahawa pertandingan tersebut memberi peluang kepadanya untuk bertukar ilmu bersama peserta lain selain menerima sokongan kuat daripada pensyarah universiti.
“Selain itu, saya juga sedikit sebanyak dapat bertanya beberapa hal mengenai kulinari kepada para peserta yang menyertai pertandingan ini.
“Dari segi penglibatan pensyarah juga, mereka banyak membantu kami dalam persediaan dari segi idea, persembahan dan persiapan bahan masakan sebelum menjelang pertandingan hari ini,” tambahnya panjang lebar.
Mahu Tebus Kegagalan Musim Pertama
Sementara itu, Syafikah Nazurah pula mengakui penyertaannya pada musim kedua kali ini hadir dengan semangat untuk memperbaiki pencapaian lalu selepas gagal mara pada musim pertama tahun lalu.
Namun begitu, dia tetap optimis dan enggan menjadikan kegagalan sebagai alasan untuk berhenti mencuba.
Ads
“Bagi saya, apa yang membuatkan saya nak sertai lagi bagi musim kedua ini adalah kerana saya tahu kemampuan saya.
“Saya mahu tebus semula kegagalan pada musim pertama pada tahun lepas. Namun, jika saya masih tiada rezeki untuk mara ke pentas finale untuk saringan pertama pada hari ini, tidak mengapa saya tak akan berputus asa,” katanya.
Pengalaman & ‘Connection’ Jadi Memori Berharga
Bagi Adam Danish pula, pengalaman menyertai pertandingan berprestij seperti itu merupakan sesuatu yang cukup bernilai dan sukar diperoleh di tempat lain.
Ads
“Apa yang saya dapat apabila menyertai pertandingan ini adalah sudah tentunya pengalaman yang tak boleh dibeli di mana-mana, dapat berkenalan dan buat ‘connection’ dengan orang industri dan paling penting dapat sijil penyertaan daripada pihak penganjur JALEN Star Chef 2,” tuturnya ringkas.
Untuk info, saringan pertama JALEN Star Chef 2 telah melabuhkan tirai pada 6 Mei lalu dengan penyertaan tiga institusi pengajian tinggi iaitu Universiti Teknologi MARA Dungun, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Kolej Bestari (UCB).
Pertandingan JALEN Star Chef kembali untuk musim kedua tahun ini dengan kerjasama antara Remaja dan produk Jalen bagi mencari lebih ramai bakat baharu dalam dunia kulinari dalam kalangan pelajar universiti.
Saringan pertandingan akan diadakan di tiga lokasi iaitu UiTM Dungun, UiTM Permatang Pauh dan UiTM Puncak Alam.
Persoalannya, adakah anda bintang yang dicari? Nantikan kemeriahan JALEN Star Chef 2 yang berlangsung sepanjang Mei ini!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, program Remaja On Road yang berlangsung di UiTM Puncak Alam sekali lagi menjadi platform REMAJA mendekati mahasiswa menerusi pengisian bermanfaat dan relevan dengan realiti generasi muda masa kini. Antara segmen yang mencuri tumpuan adalah sesi Remaja Youth Talk berjudul ‘Beyond The Plate: Mental Health, Work Culture & Career Path In Culinary’ bersama cef selebriti terkenal, Mohd Fikree Najib Aznan atau lebih dikenali sebagai Chef Fikree.
Dalam sesi perkongsian ini membuka perbincangan jujur mengenai dunia kulinari yang sering digambarkan sebagai sengit dan mempunyai tekanan tinggi, khususnya buat generasi muda yang berhasrat membina kerjaya dalam industri perkhidmatan makanan. Chef Fikree tampil berkongsi pengalaman sebenar serta perspektif profesional hasil penglibatan beliau dalam industri ini.
Beliau juga mengulas tanggapan bahawa dapur merupakan persekitaran kerja yang toksik, Chef Fikree menjelaskan bahawa persepsi tersebut banyak dipengaruhi oleh paparan televisyen program masakan antarabangsa.
“Original dapur itu seperti yang kita dapat lihat dalam program masakan zaman sekarang. Nampak ada yang bergaduh dan kena marah, dan semua itu sebenarnya datang dari luar negara,” katanya.
Jelas Chef Fikree, dapur di Malaysia secara asasnya lebih berfokus kepada proses memasak dan menyajikan makanan kepada pelanggan, namun struktur kerja ala Barat diterapkan bagi memastikan kualiti terjaga.
“Sebab itu cara kerja sebegitu nampak sengit dan ada tekanan, tetapi tujuannya supaya dari awal sampai akhir semuanya tersusun dan pelanggan puas hati,” ujarnya tegas.
Pada masa yang sama, menyentuh soal persekitaran kerja toksik, Chef Fikree berpandangan isu tersebut bukan sekadar tentang dimarahi, sebaliknya melibatkan persaingan dan gaya kepimpinan.
“Kalau seorang bos asyik marah tanpa beri kemajuan pada diri kita, itu sangat toksik. Bos yang baik adalah mereka yang mahu naikkan kita ke arah yang lebih membina,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan tanggapan salah generasi muda yang sering melihat persaingan sebagai sesuatu yang menakutkan, terutamanya dengan kehadiran pempengaruh dan pencipta kandungan makanan yang hadir daripada pelbagai latar belakang. Menurut Chef Fikree, mereka yang berada dalam industri kulinari perlu tampil ke hadapan dan berkongsi ilmu yang tepat serta bertanggungjawab.
Di samping itu, beliau juga menyuarakan kebimbangan terhadap trend peniruan resipi secara tidak beretika yang boleh memberi kesan negatif kepada penonton.
“Apa yang kita takutkan adalah apabila ia memberi kesan kepada mereka yang baru belajar memasak atau penonton luar negara, sehingga boleh menghilangkan keaslian cara masakan tradisi kita,” jelasnya.
Sebagai nasihat kepada generasi muda, Chef Fikree menekankan kepentingan menuntut ilmu serta membina ketahanan mental dalam bidang kulinari. Beliau menyarankan agar generasi muda sentiasa memperkukuh pengetahuan melalui pembacaan, memiliki hati yang kental, meletakkan minat dan semangat dalam kerjaya yang diceburi serta bertanggungjawab menyebarkan ilmu dan amalan yang betul sahaja.
Sementara itu, Chef Fikree diakhir bicara turut berkongsi tiga prinsip penting untuk kekal mampan dalam industri kulinari iaitu bersikap positif dan cekal, tidak terlalu terkesan dengan pandangan luar, serta sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan sebagai persediaan jangka panjang dalam membina kerjaya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Musim Istiadat Konvokesyen di beberapa buah institusi kini meriah dilangsungkan bagi menyambut kejayaan para graduan yang telah bertungkus-lumus mengejar kejayaan dalam bidang pendidikan mengikut minat masing-masing.
Tentunya bagi meraikan hari istimewa ini, para graduan enggan ketinggalan mendapatkan busana pakaian baharu untuk diperagakan di bawah jubah konvokesyen.
Namun, bagi graduan bernama Liane Melve Grace yang berasal dari Sabah ini, momen beliau naik ke pentas di Istiadat Konvokesyen ke-100 Universiti Teknologi MARA (UiTM) memberi makna tersendiri apabila gadis itu memilih busana bermotifkan etnik yang dijahit oleh ibunya sendiri.
Graduan UiTM, Liane Melve Grace.
‘Sumandak’ berusia 24 tahun itu berkongsi bahawa bussana yang diinspirasikan daripada etnik bangsa Murut itu dihasilkan oleh ibunya dalam masa tiga hari sahaja. Wow!
“Kebiasaannya, ibu saya akan mengambil masa seminggu untuk siapkan satu helai gaun. Namun, dia siapkan gaun ini hanya dalam tiga hari saja, khas untuk saya pakai pada Istiadat Konvokesyen hari ini,” kata Liane yang juga pernah bergelar finalis pertandingan Unduk Ngadau 2024 mewakili daerah Tenom.
Anak Perantau Yang Bangga Dengan Asal-Usulnya
Bercakap mengenai pengalaman Liane di Semenanjung sewaktu bergelar pelajar, katanya, memang ada perbezaan bahasa dan budaya. Dirinya memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan semua itu, namun dia tidak sesekali melupakan jati diri sebagai seorang gadis kelahiran Sabah.
Sebagai contoh, Liane yang kini sudahpun bekerja masih melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menguruskan kelas belajar Bahasa Murut bersama komuniti setempat. Ia bertujuan untuk menarik minat remaja lain yang ingin mempelajari bahasa Sabah.
“Saya merupakan salah seorang pejuang bangsa Murut di Sabah. Jika ditanya adakah saya berbangga untuk menjadi bangsa Murut atau tidak, saya sebenarnya amat berbangga dengan asal-usul saya.
“Saya tidak kisah andai kata kalau naik kapal terbang perlu bawa ini berat-berat (busana tradisional untuk Istiadat Konvokesyen). Yang penting, saya hendak tunjuk kepada orang luar bahawa saya berasal dari bangsa Murut,” ulasnya lagi.
Tahniah Liane!
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Usia nyata bukan faktor penentu kepada keinginan seseorang untuk mempunyai minda inovatif.
Ia terbukti setelah empat murid daripada Sekolah Kebangsaan Shah Alam (SK Shah Alam) di bawah bimbingan guru mentor, Shahrul Asyraf bin Suhaimi berjaya memenangi hati juri dengan projek inovasi pendidikan yang dinamakan sebagai FonikAR sekaligus muncul johan kategori Inovasi Sekolah Rendah dalam Pertandingan SciFusion Kebangsaan 2025, baru-baru ini.
Bertempat di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kumpulan murid SK Shah Alam itu mencipta FonikAR yang merupakan sebuah aplikasi bahan bantu mengajar berasaskan realiti terimbuh atau lebih dikenali sebagai Augmented Reality (AR).
Menurut mereka, FonikAR memberikan murid pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan tanpa mengira keupayaaa. Ia membolehkan murid mengimbas kad imbas dan melihat huruf dalam bentuk 3D. Malah, ia lengkap dengan contoh perkataan untuk huruf tersebut dan suara bantuan fonik bagi menjadikan aplikasi bahan bantu ini lebih menarik.
Secara tidak langsung, ciptaan SK Shah Alam ini menyahut seruan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk mendigitalkan pendidikan di sekolah dan di rumah dengan pendekatan visual serta auditori agar murid mudah menguasai kemahiran asas 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.
Tidak Sangkap Akan Menang
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Begitulah perasaan yang terungkap apabila pasukan SK Shah Alam menyambut riang kemenangan ini yang tidak dijangkakan oleh mereka dek saingan sengit daripada semua sekolah yang menyertai ertandingan SciFusion Kebangsaan 2025.
Menurut beliau lagi, antara keunikan FonikAR adalah gabungan paparan tulisan sebenar 3D dengan objek serta huruf dalam bentuk 3D, selain sokongan suara bantuan fonik yang membantu murid belajar melalui pendekatan visual dan auditori.
“Kami rasa bersyukur inovasi ini mendapat tempat di hati juri dan dapat diperluaskan lagi seluruh negara,” kata salah seorang muridnya.
Untuk pengetahuan korang, ciptaan FonikAR sebelum ini pernah dibentangkan di peringkat kebangsaan dalam Seminar Buku Teks berkaitan Kurikulum 2027, dan turut dipersembahkan di pentas antarabangsa termasuk di Semarang dan Jakarta, Indonesia serta di Mumbai, India.
FonikAR juga memenangi anugerah Inovasi Terbaik dalam dua pertandingan antarabangsa serta meraih lapan pingat emas di pelbagai pertandingan inovasi di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
SK Shah Alam kini dalam proses tapisan pertama bersama MyIPO bagi mendapatkan perlindungan hak cipta, dan bercadang memperluaskan penggunaan FonikAR di seluruh negara. Haa, mana tahu ia benar-benar akan digunakan oleh murid sebagai medium pembelajaran di sekolah.
Sekadar info, sebanyak 250 peserta fizikal dan 135 peserta dalam talian mengambil bahagian mewakili sekolah dari seluruh negara untuk Pertandingan SciFusion Kebangsaan 2025.
SciFusion: Festival Inovasi & STEM Kebangsaan merupakan penganjuran julung kali oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi bersama Majlis Eksekutif Pelajar Kolej Pendeta Za’ba, UKM.
Bertemakan ‘Innovate to Elevate’, program ini menampilkan pertandingan inovasi, pembentangan fizikal, infografik dan video kreatif dengan pelaksanaan secara hibrid — fizikal dan dalam talian.
“SciFusion direka sebagai platform untuk pelajar sekolah menunjukkan potensi sebenar mereka dalam bidang inovasi dan STEM. Kami harap program ini dapat mencetus semangat ingin tahu, serta keyakinan untuk mereka terus berinovasi dalam dunia sebenar,” kata Pengarah Projek SciFusion 2025, Mohamad Zulfiqar Mohd Shah.
Antara pemenang utama lain ialah:
Kategori Inovasi Sekolah Menengah: Johan – Kolej Permata Insan, Negeri Sembilan (iONO)
Pembentangan Fizikal Sekolah Rendah: Johan – SJKT Ladang Highland, Selangor (Ricinus Healing Stick)
Pembentangan Fizikal Sekolah Menengah: Johan – SM IMTIAZ YT Kemaman (Physio-Finger Device)
Kategori Infografik: Johan – SAM Unwanus Saadah, Selangor (Riang Ria Kimia Raya)
Kategori Video Kreatif: Johan – SMJK Jit Sin, Pulau Pinang (e-Vision)
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram & TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
sooka menawarkan drama viral Malaysia, K-Drama popular, filem dan aksi sukan antarabangsa yang menjadi bualan ramai. Ketahui rancangan paling hangat yang wajib ditonton sekarang.