“Mengapa sekarang…?”
Begitulah persoalan pertama yang terpacul dari bibir saat kami menemui pelakon meningkat naik, Nurel Baharin di set penggambaran wajah hadapan digital Remaja bagi edisi Ogos 2026.
Nurel yang juga merupakan juara pencarian Dewi Remaja 2023 baru meniti usia muda 24 tahun. Dari perspektif lingkaran kerjaya pula, langkahnya masih hijau dalam industri seni tanah air dan merupakan antara nama segar yang baru ingin dikenali menerusi naskah-naskah menghiburkan.
Lalu, keputusan Nurel untuk mengakhiri zaman bujang pada tanggal 25 Julai lalu muncul sebagai satu kejutan manis buat ramai pihak. Istimewanya kali ini, Remaja meraikan Nurel Baharin dan hikayat cintanya bersama jejaka pilihan, Esmeer Mansor.
konsep, penataan gaya & teks FZ AIMMAN perletakan grafik & arahan seni AZNIZA AZIZ dibantu oleh FATH ABU BAKAR & ZOE@ZULAIKHA fotografi NIZA SUHAIMI pembantu foto ATIQAH MD AKHAIR suntingan foto HEZRY ROKMAN penerbit & suntingan video SURIA NUR AMIRA videografi IKRAM MASDI pembantu foto AIMAN AZLI solekan AYANG KAMELL dandanan ALIF AIMAN persalinan busana WEI HAO YONG aksesori barang kemas HABIB JEWELS

LOVE STORY
Penggambaran kali ini berlangsung hanya beberapa jam sebelum Nurel ‘terbang’ pulang ke kampung halaman di Kuching, Sarawak bagi menyelesaikan persiapan peringkat akhir sebelum melangsungkan hari bahagianya. Segala perancangan terpaksa diatur pada detik-detik genting sebegitu demi menghormati proses penyediaan yang dilakukan oleh Nurel sekeluarga bagi memastikan segalanya berjalan lancar sewaktu majlis berlangsung di Kelab Golf Sarawak; hanya beberapa hari kemudian.
“Ya, kami hanya adakan majlis di Kuching sahaja. Saya faham ada yang akan bertanya jika kami akan melakukan acara bertandang di Kuala Lumpur. Budget allocation memadai itu ada secara jujurnya. Cuma kami merasakan lebih baik untuk kami fikirkan mengenai persedian kehidupan selepas mendirikan rumah tangga secara sah. Kami ingin fokus kepada fasa bergelar suami isteri.”

“Untuk kenalan rapat dan rakan-rakan seindustri yang kami jemput, Alhamdulillah, mereka dapat luangkan masa untuk kami di Kuching. Majlis yang dirancang… bagi saya sama sahaja seperti majlis pasangan lain. Aturannya sama, konsepnya sama. Cuma apa yang menjadikannya istimewa untuk kami adalah kehadiran insan-insan yang rapat pada hari berkenaan,” ujar Nurel pada pagi itu sambil wajahnya dioleh oleh jurusolek, Ayang Kamell manakala rambut pula digayakan serba moden minimal oleh Alif Aiman.
Berbalik kepada persoalan, “Mengapa sekarang?” yang saya ajukan tadi, Nurel tergelak besar – and we expected her to do so – dan berfikir panjang sambil tersenyum.

Tidak mudah untuk seorang gadis semudanya membuka hati dan bersedia melangkah ke fasa yang lebih serius; apatah lagi membawa jejaka pilihan itu ke dalam dunia hiburan yang telah menjadi ‘taman permainannya’ selama lebih tiga tahun ini.
“You pun tahu, saya tak pernah merancang. Saya sejenis yang akan langgar sahaja. Jadi apabila bercakap mengenai soal perasaan ini, saya tak pun terfikir terlalu mendalam ke arah itu.
“Tiada sasaran usia untuk menamatkan zaman bujang. Tak mencari dan tak juga menolak. Sekiranya ada jejaka yang sesuai untuk saya kenali, saya akan terbuka untuk membuka sedikit ruang hati. Cuma dalam mana-mana perhubungan, saya akan bertanya terlebih dahulu dengan Umi dan adik-beradik yang semuanya berada di Kuching.”

TERCIPTANYA KISAH NUREL & ESMEER
Detik awal perkenalan antara dua insan ini cukup sinonim dengan kisah-kisah percintaan yang pernah dilalui oleh mana-mana jelitawan yang bakatnya dicungkil menerusi pencarian Dewi Remaja.
Kehadiran Nurel sebagai salah seorang peserta yang kemudiannya dinobatkan sebagai juara edisi 2023 tersebut merupakan momen Esmeer mengenali kehadirannya dalam hati beliau. Cuma sosok yang dikenalinya pada waktu itu hanyalah gambaran di sebalik layar kaca.
Layangan DM mula menyinggah ke akaun Instagram – how Gen Z of them – dari Esmeer ke Nurel bagi ‘mengetuk’ pintu hati. Sangkaan Nurel, ia hanyalah satu soal balas biasa bersama peminatnya!
“Saya pun reply lah, bila ada sesi meet and greet nanti, datanglah. (Ketawa) Sebelum menerima pelawaannya untuk berjumpa di luar, seperti biasa saya akan mendapatkan restu Umi dahulu. ‘Umi, ada lelaki ni haa ajak keluar.’ Umi pun bertanyakan siapa dan ingin melihat fotonya. Bagi Umi, if anything happens, Umi tahu di mana untuk mencari saya.
“Kata Esmeer, dia sudah lama menghantarkan pesanan ringkas di DM. Cuma saya baru tersedar pada tahun lepas. And to make it more interesting, dia pernah bermimpi bertemu seorang perempuan mirip wajah saya di coffee shop. Dia banyak kali cuba berfikir semula siapakah perempuan itu… dan akhirnya dia menemui saya menerusi Dewi Remaja,” kongsi Nurel.

Untuk melabelnya sebagai love at first sight, pemilik nama penuh Nurelyana binti Baharin ini menyifatkan momen tersebut lebih kepada mengenali hati budi. Tidak terlalu berlebihan, tidak pula terlalu memendam perasaan. Hadir tanpa sebarang ekspesktasi melampau, Nurel dapat merasakan keikhlasan yang terzahir daripada butir-butir kata yang dilafazkan Esmeer sepanjang pertemuan sulung berkenaan.
“Cara dia bertanya kepada saya sangat matang dan sopan. Tidak sekali pun dia bertanyakan jika saya masih single atau sebaliknya. Tidak terlalu pushy dan semuanya berlaku dengan tenang. Setelah beberapa kali kami keluar berkenalan, dia berikan saya satu bentuk keyakinan yang membuatkan saya terfikir, ‘Finally saya berjumpa lelaki seperti ini.’ ”
“Wujudnya dia dalam hidup saya ketika itu membolehkan saya terfikir ke arah mendirikan rumah tangga.”
“Pertemuan dengan orang yang baik juga saya rasakan satu bentuk rezeki daripada Tuhan,” akuinya.

FASA BAHAGIA NUREL BAHARIN
Setahun berlalu selepas detik perkenalan merpati dua sejoli ini tidak langsung terasa.
Jikalau pasangan lain menggunakan frasa settle down bagi menggambarkan perubahan fasa dalam kehidupan mereka usai mendirikan rumah tangga, lain pula dengan Nurel yang merasakan settle down belum lagi wujud dalam kamusnya.
Ya, hatinya sudah dimiliki dan diri sudah bersedia untuk menerima kehadiran seorang arjuna dengan ikatan yang sah dalam hidupnya. Begitupun dengan sokongan Esmeer sendiri, Nurel akan terus bergiat aktif dalam dunia seni lakonan.
“Saya tetap akan bekerja seperti biasa. Dia pun very supportive dan inginkan saya teruskan bekerja. Keputusan mendirikan rumah tangga tidak akan menjejaskan pekerjaan saya sekarang.”
Jika soal kerjaya tidak mendatangkan masalah, bagaimana pula dengan soal penerimaan keluarga Nurel pula terhadap Esmeer?
“Bila berjumpa dia untuk kali pertama, ya, saya rasa tenang. Mudah sahaja untuk menerima kehadiran dia. Awal-awal dulu saya tidak notice tetapi bila difikir semula, saya baru perasan yang proses pengenalan kami itu berjalan dengan lancar. Senang cerita, kami saling memahami dan melengkapi.
“Saya suka bercinta dengan jelas dan nyata…”
“Kali kedua berjumpa pula, kebetulan Umi ada di KL dan saya pula baru selesai dengan penggambaran. Saya pula pelawalah Umi untuk bertemu Esmeer dan Umi juga tiada masalah untuk mengenalinya.” First impression? “Memandangkan saya adalah anak bongsu daripada empat beradik, Umi dan ahli keluarga yang lain akan menyokong sahaja kemahuan saya.
“Bohonglah jika katakan saya tidak pernah bercinta sebelum ini. Setiap kali mengenali yang baru (ketawa) saya akan perkenalkan siapa gerangan lelaki itu kepada Umi. Bila menemui Esmeer, katanya dia terkejut juga dengan taste saya kali ini. (Ketawa) Katanya berlainan betul dengan pasangan saya sebelum ini. Mungkin ada benarnya dan sebab itu, hati saya terbuka untuk menerimanya,” akuinya.

DEFINISI CINTA BERUBAH SEIRING KEMATANGAN
Cinta wujud dalam bermacam-macam medium. Cinta mudah menjelma, juga mudah terluka dan dilepaskan begitu sahaja.
Anda mungkin berminat dengan
Buat Nurel pula, cinta memerlukan daya hubungan yang tidak bertepuk sebelah tangan. Saling melengkapi kehendak masing-masing dan perlu ditimbal balas.
Sebagai ratu berzodiak Libra (manakala Esmeer pula berzodiak Cancer), Nurel mempunyai keperibadian yang mengetahui jelas mengenai keinginannya. “Are you controlling when it comes to love,” aju kami.
“I know what I want. Dan bila ‘si dia’ berada di hadapan saya, saya mudah untuk recognize that this may just be the true love yang saya cari-cari selama ini. Saya suka bercinta dengan jelas dan nyata.”

“Esmeer pula orangnya tegas dengan pendirian dan tidak suka bermain tarik tali. Jadi cara kami mengemudi perhubungan ini boleh dikatakan lancar memandangkan saya tahu apa yang saya nak dan dia pula tidak teragak-agak dalam percaturannya.
“Dia memahami tanggungjawab dan apa yang perlu digalas sebagai seorang bakal suami. Lagipun, dia merupakan seorang open book person pada pengamatan saya dan dia sudah bersiap sedia untuk berdepan perubahan fasa ini. Cinta tetap terasa, cuma peranan kami berdua dalam perhubungan itu sudah berubah,” katanya.
Bercakap mengenai nilai kematangan yang Nurel alami pula apabila melangkah ke dunia rumah tangga, dia beranggapan tidak banyak yang berubah melainkan dia kini lebih selesa untuk berbincang secara tertutup dengan suaminya itu sekiranya berdepan apa-apa masalah.
“Kalau nak tahu, saya sebenarnya mempunyai ramai kawan yang berusia lebih dari 30 tahun dan rata-rata sudah pun berkahwin. Of course bila ada peluang, saya akan cuba mengorek apa-apa ilmu sebelum saya bergelar seorang isteri.”

“Tapi bila cincin sudahpun tersarung di jari, saya masih kekalkan hubungan rapat saya dengan kenalan lain… cuma saya dan Esmeer mempunyai pandangan yang sama untuk menyelesaikan isu peribadi secara transparent tanpa melibatkan pengaruh orang luar.
“Saya ni orangnya tak boleh duduk diam bila dilanda masalah. Sebolehnya saya inginkan kami untuk berbincang di mana salahnya pada pihak saya dan dia. Sebagai pasangan, saya yakin kami boleh memikirkan solusi terhadap apa-apa permasalahan tapi dengan cara berborak.”
“It is good to have past experience sebenarnya. Ia mengajar kita untuk tidak lagi mengulangi kesilapan lampau. You will learn about relationship AND about yourself.”
“Mungkin dulu saya merupakan seorang yang panas baran bila perlu menyelesaikan isu perhubungan dengan bekas kekasih tetapi kini tidak lagi. Bila bertemu seseorang yang mudah berkomunikasi, panas baran itu serta-merta toned down kerana komunikasi itu mengalir secara dua hala,” simpul Nurel.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Setelah beberapa barangan mewah milik Datuk Seri Vida termasuk tiga kenderaan mewah dilelong baru-baru ini dengan jumlah bidaan mencecah RM1 juta, anaknya Cik B berkongsi bahawa mereka sekeluarga terus positif untuk meneruskan kehidupan secara positif.
Cik B atau nama penuhnya, Nur Edlynn Zamileen Muhammad Amin, berkongsi foto-foto kenangan sewaktu mereka sekeluarga menyambut hari kelahiran Vida menerusi hantaran di media sosial dan menitipkan kapsyen yang meruntun hati.

“Mama Tetap Tersenyum, Tetap Berdiri Teguh…”
Besar kemungkinan, sentimen yang diluahkan oleh Cik B kali ini berkait rapat dengan ujian berat yang terpaksa dihadapi oleh Vida baru-baru ini. Setelah sejumlah 727 barangan peribadi Datuk Seri Vida bernilai hampir RM1 juta dilelong termasuk Toyota Vellfire, Toyota Grand Hi-Ace dan BMW X7; Cik B menerusi satu siaran langsung pada Jumaat lalu mengakui ibunya sedang menanggung tekanan emosi dan kewangan yang besar, namun mereka sekeluarga memilih untuk kekal positif dan memandang ke hadapan.
Cik B menegaskan mereka sekeluarga tidak akan berhenti berjuang. Mereka terus komited membangunkan empayar perniagaan serta memperkukuhkan semangat positif dalam menghadapi cabaran hidup.
Oleh itu, kapsyen ucapan hari lahir Cik B buat Vida yang baru dimuat naik pada hari ini (hari lahir Vida pada 24 Oktober lalu) merupakan salah satu caranya sebagai seorang anak untuk menghargai pengorbanan ibunya membesarkan saya dan adik-beradiknya dengan penuh kasih sayang, kesabaran dan didikan yang terbaik.
“Saya rasa sangat bertuah dapat ibu seperti mama. Mama seorang usahawan yang berjaya, seorang ibu tunggal yang hebat dan seorang wanita yang tidak pernah kenal erti putus asa.
“Saya bangga melihat bagaimana mama sentiasa kuat walaupun banyak ujian datang.
Mama tetap tersenyum, tetap berdiri teguh dan terus berjuang tanpa pernah putus asa. Keteguhan pendirian mama menjadi contoh terbesar dalam hidup saya,” kongsinya.

“Tiada Siapa Boleh Menggantikan Tempat Mama…”
Keberadaan Cik B dalam bidang perniagaan menerusi beberapa produk makanan yang dilancarkan beberapa tahun lepas tentunya diinspirasikan daripada kejayaan Vida sendiri. Namun tiada siapa yang mengetahui cabaran yang terpaksa dihadapi oleh Vida di sebalik kejayaannya terutamanya sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan anak-anaknya.
“Saya membesar melihat mama berjuang bersendirian, jatuh, bangun dan terus melangkah dengan senyuman.
“Daripada mama, saya belajar makna sebenar keberanian. Mama mengajar saya untuk tidak malu menjadi diri sendiri, untuk berani bermimpi besar dan untuk terus menjadi diri sendiri dan membantu walaupun hati sendiri terluka.
“Terima kasih mama kerana menjadi sumber inspirasi, pelindung dan pendorong terbesar dalam hidup saya. Tiada siapa yang boleh menggantikan tempat mama dalam hati ini,” luahnya lagi.
BACA: Datin Shahida Puji Sikap Anak DSV -“Cik B Memang Baik & Berbudi Bahasa”

Punca Sebenar Isu Lelongan Harta Vida
Sebagai konteks mengenai isu harta Vida dilelong baru-baru ini, Cik B telah menjelaskan bahawa isu tersebut tercetus berkenaan berpunca daripada projek pembinaan studio milik Vida yang tergendala sejak 2018, melibatkan kontraktor utama dan subsidiari yang gagal menyiapkan projek walaupun bayaran telah diselesaikan sepenuhnya.
“Mama bayar dekat main-con, tapi main-con tak bayar dekat sub-con. Mama dah bayar habis RM6 juta, bangunan itu pun Mama beli RM19 juta.”
Cik B turut berkongsi bagaimana pada waktu itu beliau masih muda dan tidak memahami kesukaran sebenar yang dilalui ibunya. Kini setelah dewasa, dia lebih memahami pengorbanan ibunya yang sering dipergunakan oleh individu yang mengambil kesempatan.
“Waktu itu Cik B umur 12 tahun, tak tahu apa-apa. Sekarang baru faham. Ramai orang ambil kesempatan dengan Mama. Kawan lah, staf lah, semua nak guna dia. Saya kasihan tengok mama,” kongsinya.
BACA: “Income Sebulan Lebih RM500,000…”, Cik B Ajak Generasi Muda ‘Push’ Diri Kejar Impian


Netizen dalam pada itu memuji keberanian Cik B yang mempertahankan ibunya dengan penuh kasih sayang serta mengingatkan bahawa kekayaan sebenar ialah kekuatan jiwa dan kasih keluarga.
Kisah ini menjadi bukti bahawa setiap insan – walaupun terkenal dan berjaya – tetap melalui ujian hidup. Namun semangat dan keberanian seperti yang ditunjukkan oleh Cik B dan Datuk Seri Vida menjadi inspirasi kepada ramai agar tidak mudah mengalah apabila diuji.
FOTO: Instagram // cikb_havoc66
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Dunia digital kini telah menjadikan ‘peta dunia’ semakin kecil. Maksud REMAJA, kita kita berpotensi untuk berkenalan dengan ramai orang dari seluruh dunia dengan hanya menggunakan Internet.
Suatu ketika dahulu, hubungan cinta jarak jauh berlaku di antara dua insan yang terpaksa berpisah dek kerana tuntutan serta komitmen terhadap pelajaran, pendidikan, kerjaya dan juga mengikut keluarga berpindah.
Cuma kini beza skopnya menjadi lebih luas apabila semakin ramai berkenalan dan menemui insan yang mereka sayang menerusi pelbagai platform yang tersedia di Internet seperti Facebook, Twitter, Tinder dan sebagainya.
Jadi apakah cabaran hubungan cinta jarak jauh dahulu dan sekarang sudah berbeza. Mungkin sedikit sebanyak ada bezanya tetapi pada dasarnya ia tetap sama – hubungan dua insan yang berjauhan dan tidak mampu bertemu mata dalam tempoh yang agak lama.
Buat yang sedang menjalani hubungan sebegini kamu pasti cukup faham dengan betapa sukarnya untuk berdepan dengan pelbagai cabaran dan halangan demi menjayakan hubungan ini.
Apakah cabaran utama yang peasangan bercinta jarak jauh alami?
1. KOMUNIKASI

Perkara yang sangat penting dalam apa jua hubungan apatah lagi cinta jarak jauh. Ia merupakan ‘nadi’ utama yang sentiasa membuatkan hubungan terus mekar. Akan tetapi bila berjauhan cara komunikasi menerusi perbualan telefon atau video membataskan komunikasi secara direct yang lebih rasa asli. Jadi kedua-duanya harus pandai untuk bahagikan masa sesuai untuk satu sama lain berhubung.
2. PERBEZAAN MASA

Perkara ini merupakan satu cabaran terutama jika salah seorang berada jauh di luar negara. Jadi cabaran itu wujud untuk kedua-duanya. Kadangkala agak sukar untuk menetapkan masa untuk berhubung antara satu sama lain kerana perbezaan masa. Cara sesuai, bertolak ansur dan carilah sebuah jam yang khusus menunjukkan masa di tempat masing-masing.
3. BEZA MEDIUM KOMUNIKASI

Kamu mungkin lebih selesa dengan bercakap. Tapi si dia lebih cenderung untuk chatting atau video call. Buat permulaan mungkin masing-masing boleh mengalah tetapi lama-kelamaan ia akan buat salah seorang naik fed up. Jangan biarkan perkara remeh ini menjadi pengalang untuk kamu berdua berkomunikasi dengan baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan Jadi Orang Bodoh Kerana Cinta Bertepuk Sebelah Tangan
4. TERLALU BERGANTUNG KEPADA TEKNOLOGI

Ya, pada zaman ini memang mustahil untuk bercinta jarak jauh tanpa menggunakan sebarang teknologi. Malah ia menjadi medium utama untuk kamu mengekalkan hubungan dengan si dia. Namun jika terlalu bergantung kepada teknologi kamu mungkin akan terbiasa. Dan bila bertemu semula kamu mungkin akan berasa kekok.
5. SALAH FAHAM

Bila berbual menerusi telefon atau menaip semasa chatting, emosi tidak akan terluah dengan baik. Semasa bercakap kamu tak dapat melihat reksi atau mimik wajahnya. Manakala jika chatting, ia hanyalah umpama bahasa mendatar dan bergantung kepada pemahaman dan cara dia membacanya.
6. CARA TANGANI MASALAH

Makin jauh makin banyak pula bergaduh. Dan lebih menyakitkan lagi jika kamu berdua jenis keras kepala. Memujuk dalam bentuk panggilan telefon adalah satu perkara menyeksakan terutamanya bagi lelaki.
7. RASA TERSISIH

Kesunyian adalah satu perasan yang boleh membuatkan sesiapa sahaja rasa terseksa. Dan perasaan inilah yang menjadi dugaan besar terutamanya jika muncul insan ketiga. Kemunculan orang baru yang pada mulanya bagi kamu bukanlah ancaman, tiba-tiba menjadi pengisi ruang kesunyian itu.
8. KEPERCAYAAN YANG TERSISIH

Selain komunikasi, kepercayaan juga merupakan ASAS yang paling penting untuk menjayakan hubungan cinta jarak jauh. Agak sukar untuk meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada seseorang tetapi kamu harus yakin dan jika yang kamu lakukan sudah mencukupi, tidak perlu risau. Melainkan si dia sendiri yang membuat onar!
∞
Ketika REMAJA pertama kali bertemu dengan Mierul Aiman semasa sesi ujibakat Hero Remaja 2021, tiada langsung kisah yang mengatakan dirinya pernah bergelar ‘rider’. Dengan ketinggian sekitar 178cm, Mierul pada waktu itu nyata mempunyai aura untuk digilap menjadi pelapis industri seni.
Dengan wujudnya aplikasi perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grabfood, Foodpanda dan bermacam-macam lagi , ramai anak muda kini mula berjinak-jinak menyediakan perkhidmatan ini. Tambahan lagi di musim pandemik Covid-19 yang rata-rata masyarakat memilih untuk duduk dirumah.
Bermula dengan hanya sekadar mencuba, Finalis Hero Remaja 2021, Mierul Aiman atau nama sebenarnya Mohamad Amirul Bin Norazman menjadi ‘rider’ penghantar makanan.

Pelajar Jurusan Kejuruteraan Mekanikal UNISEL ini juga merupakan ‘freelance’ model tidak kekok langsung menyediakan makanan dan seterusnya menghantar makanan tersebut kepada pelanggannya. Pelbagai pengalaman yang ditemuinya sepanjang bergelar ‘rider’ penghantar makanan termasuklah pengalaman berhujan dan berpanas demi mencari rezeki yang halal!
Anak kedua dari lima beradik ini juga sempat berkongsi bagaimana rutin hariannya membuat penghantaran tempahan makanan di sekitar Putrajaya dan sekitarnya. Wahh, siapa sangka Finalis Hero Remaja ini mempunyai bakat memasak yang agak hebat apabila beliau sendiri menyediakan sajian makanan dan pemilik @tikistoast.
Hebat ya Mierul ni!

Walaupun membuat pelbagai kerja dengan minat kesungguhan luar biasa, beliau tidak melupakan pelajarannya dan sentiasa akan mencapai impian dan merealisasikannya.
Tidak kira siapapun kita, selagi mempunyai kudrat kita mesti berusaha keras untuk melangsungkan kehidupan seharian dan mengubah nasib diri kita dan keluarga kerana setiap yang berusaha itu pasti mempunyai hasil kemudian hari, termasuklah usaha berdoa kepada Allah siang dan malam tanpa jemu. InsyaAllah.
Tahniah kami ucapkan buat Mierul kerana terpilih menjadi finalis Hero Remaja 2021. Teruskan mengundi Mierul untuk menjadi Hero Favourite dan jangan lupa, follow Mierul untuk melihat update terbarunya. Ini baru Hero! Good luck Mierul.
∞