Hiburan

Amirul AF4 Meninggal Dunia Pada Usia 37 Tahun, Isteri Kini Sedang Hamil

Share

Terbaru, bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Amirul Azwan Mohd Ghazali, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada Isnin di Kuching, Sarawak. Khabar duka itu sekaligus menggemparkan rakan-rakan seperjuangan serta para peminat yang masih mengingati perjalanan seni Allahyarham ketika menyertai program realiti popular tersebut.

Berita itu disahkan sendiri oleh pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Hj Nawawi, menerusi sebuah perkongsian di Instagram Story. Beliau  berkongsi rasa sebak apabila menerima khabar menyedihkan tersebut sambil mengenang kembali hubungan mereka sejak tamatnya Akademi Fantasia.

“Allahu, satu lagi berita sedih Pak Nil terima. Dikhabarkan Bintang AF4 Amirul atau Amighul hari ini pergi menghadap Illahi,” tulisnya.

“Selepas AF kami memang tak pernah bertemu sebab Amighul berada di Sarawak. Sesekali dia ada bertanya khabar di sosial media. Hari ini Amighul sudah tiada. Takziah diucapkan pada keluarga beliau. Al-Fatihah,” ujarnya.

Selain Pak Nil, rakan seperjuangan Allahyarham di AF4, Dr. Syamsul Hirdy Muhid atau Diddy Hirdy turut mengesahkan berita berkenaan. Menurutnya, walaupun mereka sudah lama tidak berhubung, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh salah seorang kakitangannya.

“Kami sudah lama tidak berhubung. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mengenai pemergian arwah oleh salah seorang kakitangan saya yang juga sepupu kepada isterinya”

“Allahyarham berada di sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Saya difahamkan arwah tidak mempunyai sejarah penyakit, jadi proses bedah siasat dijalankan pukul 2 petang,” jelasnya.

Difahamkan, pemergian Amirul juga meninggalkan duka mendalam buat isterinya yang kini sedang hamil trimester ketiga. Pasangan itu baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun 2023, dan bakal menyambut cahaya mata.

Sementara itu, di media sosial, berita pemergian bintang AF4 itu turut mengundang doa dan ucapan takziah daripada para peminat serta rakan artis yang pernah mengenali sosok peramah dan berbakat ini.

Semoga roh Allahyarham Amirul Azwan Mohd Ghazali ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini. Takziah kami ucapkan.

Sumber: Sinar Harian

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE