Terbaru, bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat (AF4), Amirul Azwan Mohd Ghazali, dilaporkan telah menghembuskan nafas terakhir pada Isnin di Kuching, Sarawak. Khabar duka itu sekaligus menggemparkan rakan-rakan seperjuangan serta para peminat yang masih mengingati perjalanan seni Allahyarham ketika menyertai program realiti popular tersebut.
Berita itu disahkan sendiri oleh pengacara terkenal tanah air, Datuk Aznil Hj Nawawi, menerusi sebuah perkongsian di Instagram Story. Beliau berkongsi rasa sebak apabila menerima khabar menyedihkan tersebut sambil mengenang kembali hubungan mereka sejak tamatnya Akademi Fantasia.
“Allahu, satu lagi berita sedih Pak Nil terima. Dikhabarkan Bintang AF4 Amirul atau Amighul hari ini pergi menghadap Illahi,” tulisnya.
“Selepas AF kami memang tak pernah bertemu sebab Amighul berada di Sarawak. Sesekali dia ada bertanya khabar di sosial media. Hari ini Amighul sudah tiada. Takziah diucapkan pada keluarga beliau. Al-Fatihah,” ujarnya.
Ads
Selain Pak Nil, rakan seperjuangan Allahyarham di AF4, Dr. Syamsul Hirdy Muhid atau Diddy Hirdy turut mengesahkan berita berkenaan. Menurutnya, walaupun mereka sudah lama tidak berhubung, beliau dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh salah seorang kakitangannya.
“Kami sudah lama tidak berhubung. Bagaimanapun, saya dimaklumkan mengenai pemergian arwah oleh salah seorang kakitangan saya yang juga sepupu kepada isterinya”
“Allahyarham berada di sebuah hospital di Kuching, Sarawak. Saya difahamkan arwah tidak mempunyai sejarah penyakit, jadi proses bedah siasat dijalankan pukul 2 petang,” jelasnya.
Ads
Difahamkan, pemergian Amirul juga meninggalkan duka mendalam buat isterinya yang kini sedang hamil trimester ketiga. Pasangan itu baru sahaja mendirikan rumah tangga pada tahun 2023, dan bakal menyambut cahaya mata.
Ads
Sementara itu, di media sosial, berita pemergian bintang AF4 itu turut mengundang doa dan ucapan takziah daripada para peminat serta rakan artis yang pernah mengenali sosok peramah dan berbakat ini.
Semoga roh Allahyarham Amirul Azwan Mohd Ghazali ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan keluarganya diberi kekuatan menghadapi ujian berat ini. Takziah kami ucapkan.
Sumber: Sinar Harian
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tidak dinafikan negara jiran kita, Indonesia adalah antara yang sering menghasilkan filem-filem seram yang berjaya membuatkan penonton tidak senang duduk di dalam pawagam mahu pun di hadapan kaca televisyen.
Ada juga yang membuatkan kita hingga takut nak ke toilet dan tidur bersendirian. Babak-babak suspen yang dipaparkan memang menjadi!
Bagi korang yang suka dan tercari-cari filem seram Indonesia apa yang nak ditonton, berikut kamu senaraikan antara 14 filem seram terbaik dari Indonesia.
1. Pengabdi Setan
Ia berkisarkan tentang sebuah keluarga di mana si ibu telah mengalami sakit yang aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia. Si bapa kemudian telah mendapat kerja di luar kota dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah.
Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah. Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.
2. Kuntilanak
Sekumpulan kanak-kanak meneroka sebuah rumah terbiar untuk cuba memenangi rancangan realiti yang mahu membuktikan kewujudan kuntilanak yang sering menculik anak kecil.
3. Makmum
Diadaptasi dari filem pendek yang berkisar mengenai entiti menakutkan yang mengganggu seorang wanita ketika sedang menunaikan solat.
4. Ruqyah: The Exorcism
Pada pertengahan tahun 2012, Mahisa (Evan Sanders) ingin menolong seorang pelakon bernama Asha (Celine Evangelista) yang merasa diganggu oleh makhluk halus. Merasa terlalu banyak kejadian aneh yang dilihatnya, ia yakin bahawa Asha tengah dirasuki makhluk ghaib. Selepas berunding dengan seorang ustadz kenamaan, ia mencuba melakukan ruqyah untuk membersihkan Asha.
Namun ternyata apa yang merasuki Asha tidak mudah untuk dilepaskan, walaupun menyerang Mahisa. Apa yang merasuki Asha memang diperuntukkan menjadi “pemikat” agar disukai banyak orang. Mahisa pun tertarik kepada Asha.
Khabarnya filem ini adalah daripada kisah benar yang berlaku terhadap salah seorang selebriti di Indonesia. Wallahualam.
5. Suzzana Bernapas Dalam Kubur
Suzzanna dan Satria tinggal di rumah bersama tiga pembantu. Satu hari, apabila Satria bekerja di luar kawasan, empat pekerjanya melihat ini sebagai peluang untuk merompak rumahnya. Mereka mendapat peluang apabila rumah itu ditinggalkan kosong selepas Suzanna dan pembantunya keluar.
Malangnya, ketika rompakan berlaku, Suzzanna pulang ke rumah seorang diri. Mereka kemudian telah membunuhnya dan menanam mayatnya di belakang rumah. Bagaimanapun, keesokan harinya, Suzzanna kembali ke rumah itu seperti tiada apa yang berlaku pada malam sebelumnya.
6. Santet: Black Magic
Selepas tinggal bertahun di Amerika, Rendy pulang ke kampung halamannya di Indonesia bersama isteri dan dua anak mereka. Dia perlu menjaga ibunya yang sedang sakit dan tinggal berseorangan selepas bapanya membunuh diri.
Ibunya secara tiba-tiba mula menyerang isteri dan anaknya, dan apabila ibunya muntah darah, kaca dan paku di hadapan mereka, Rendy membawa ibunya ke hospital walaupun tahu tiada perubatan moden yang dapat membantu. Rendy mula menyedari ibunya terkena sihir hitam iaitu santau.
7. Sebelum Iblis Menjemput: Ayat 2
Dua tahun selepas berjaya menyelamatkan diri daripada kuasa jahat yang menghancurkan keluarganya, Alfie dan adiknya Nara cuba meneruskan kehidupan seperti biasa. Biarpun cuba melupakan masa lampaunya, namun dia masih dihantui gambaran-gambaran menakutkan. Alfie menyedari akan bahaya yang bakal dihadapi bersama rakan-rakannya apabila muncul satu entiti jahat yang ingin membunuh mereka.
8. Pocong The Origin
Sebelum seorang pembunuh kejam bernama Ananta dihukum bunuh oleh kerajaan negerinya, dia memberitahu anak perempuannya Sasthi bahawa dia perlu dikebumikan di kampung asalnya.
Selepas kematiannya, Sasthi dan seorang pengawal penjara, Yama, pergi ke kampung halaman Ananta membawa mayat ayahnya. Sepanjang perjalanan, mereka menghadapi pelbagai gangguan aneh, membuatkan mereka mengalami kepayahan memindahkan mayat itu, lebih-lebih lagi mereka perlu melakukannya sebelum bulan purnama.
Ini kerana Ananta dipercayai mengamalkan ilmu hitam di mana jika pengamalnya tidak dikebumikan di kampung asal selepas kematian, mereka akan dihidupkan semula dan bulan purnama menjadikan mereka lebih kuat.
9. Perempuan Tanah Jahanam
Maya, seorang gadis muda yang terselamat dari percubaan membunuh di bandar, berpindah ke kampung halamannya selepas mendapat tahu dia mewarisi sebuah rumah di sana.
Dia pulang ke kampung itu bersama rakannya Dini, tanpa menyedari orang-orang kampung sedang mencarinya untuk membunuhnya demi menghentikan sumpahan yang mengganggu kampung tersebut selama bertahun-tahun. Dia menyedari bahawa dia kini perlu berjuang untuk meneruskan hidup, dalam pada dia merungkai masa silamnya yang rumit dengan lebih dalam.
10. Sakral: Keramat
Keluarga Melina diganggu satu entiti misteri dan lebih mengejutkan, orang-orang di sekelilingnya mula mati seorang demi seorang. Apabila suaminya, Daniel, cuba membongkar rahsia di sebalik gangguan aneh dan kematian itu, dia mendapati semuanya berkait dengan kematian salah seorang anak kembar mereka beberapa tahun lalu.
Melina tidak pernah melupakan kematian itu, sementara kembar yang hidup, Flora, telah membesar menjadi seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang muram dan bermisteri. Semakin Daniel cuba merungkai misteri itu, semakin banyak bahaya yang dihadapi keluarganya.
11. Jaga Pocong
Lakonan mantap daripada Acha Septriasa yang memegang watak sebagai Mila, seorang jururawat yang bekerja di hospital dan terpaksa ditugaskan di rumah seorang pesakit wanita tua bernama Sulastri. Walaupun mendapat firasat yang tidak baik, Mila berusaha untuk menafikannya dan akhirnya, dia mendapati bahawa pesakit yang diuruskannya itu sudah meninggal dunia.
12. Si Manis Jembatan Ancol
Sebuah ‘reboot’ kepada filem yang sama judul pada tahun 1990-an. Ia berkisar mengenai seorang wanita bernama Maryam yang tersepit dalam perkahwinan yang tidak bahagia bersama Roy. Dia mula berasa selesa berkawan rapat dengan Yudha, seorang pelukis yang baru dikenalinya.
Namun persahabatan ini menyebabkan suaminya telah menuduhnya mempunyai hubungan sulit dan dia kemudiannya mati dalam keadaan tragis. Sejak kematiannya, kelibat roh Maryam, yang memakai selendang merah, mula muncul di tempat awam, menakutkan orang awam yang terserempak dengannya.
13. Danur
Ketika ulang tahun kelapannya, seorang budak perempuan bernama Risa telah membuat permintaan untuk mempunyai rakan supaya dia tidak berasa sunyi lagi. Bagaimanapun ibunya, Elly, mula mengesyaki sesuatu apabila anak perempuannya sering bergelak dan bermain seorang diri.
Dengan bantuan rakan Elly, Risa dipaksa untuk meninggalkan rumah neneknya. Sembilan tahun kemudian Risa perlu pulang semula ke rumah neneknya dengan adiknya Riri. Ketika ini kejadian pelik dan menakutkan mula berlaku dan secara tiba-tiba Riri hilang. Risa kini perlu menyelamatkan adiknya daripada enititi jahat yang merancang membawa Riri ke dunia lain.
14. Aku Tahu Kapan Kamu Mati
Siena mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk melihat petanda seseorang akan mati selepas dia mengalami insiden ‘mati suri’, iaitu mati hidup semula. Walau bagaimanapun, rakan-rakannya, Flo, Neni dan Vina, tidak mempercayai akan kebolehannya itu.
Dia menjadi semakin takut apabila orang-orang di sekelilingnya mati seorang demi seorang, selepas muncul roh-roh yang ingin menjemput mereka. Apabila petanda itu muncul pada lelaki yang disukainya, Brama, serta orang-orang yang rapat dengannya, Siena cuba untuk menyelamatkan mereka, sehinggalah petanda itu muncul pada dirinya sendiri.
Selamat menonton!
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dah jadi satu trend anak muda apabila ada sahaja yang mereka ingin cuba bila melihat sesuatu yang trending di media sosial.
Terbaru, 'tripping jump challenge' sedang hangat diperkatakan apabila khabarnya cabaran ini boleh menyebabkan kematian. Mana tidaknya, dua orang yang menyendeng kaki seorang lain pemain menyebabkan individu itu jatuh terlentang di lantai.
Tanpa beralas apa-apa, bayangkan macam mana individu tersebut boleh jatuh di atas simen. Boleh pecah kepala wey!
Ada beberapa versi cabaran, pertama mungkin mereka sudah tahu dan perlu mengelak daripada disepak oleh rakan, dan kedua bila mana si mangsa tidak menyedari bahawa dua rakannya ingin menyendeng kakinya dan menyebabkan mangsa tersungkur.
Menurut laporan yang diterima dari Astro Awani, berdasarkan pengamatan yang dilakukan Dr. Shazif Othman melalui video-video tular di media sosial, terdapat beberapa risiko yang boleh berlaku kepada individu yang mencuba cabaran tersebut.
Risiko paling ketara adalah boleh berlaku hentakan di bahagian kepala dan sekali gus boleh menyebabkan anggota terpenting pada manusia, iaitu otak.
Jika terkena impak yang besar, ia boleh menyebabkan kematian otak atau 'brain dead' kerana bila dilihat semula, individu tersebut jatuh secara mengejut. Kesannya, ia juga boleh menyebabkan fizikal kecederaan pada sel-sel tisu di bahagian kaki.
Walaupun jantung masih berdegup, namun kematian otak tidak dapat menyelamatkan keadaan. Disebabkan itu korang tidak dibenarkan sesekali untuk mencuba melakukan cabaran ini.
Selain itu juga, bahagian tengkuk boleh tercedera dan akan melibatkan kecederaan pada tulang serviks yang boleh menyebabkan bukan sahaja maut, malah lumpuh seperti strok.
Risiko lainnya boleh menyebabkan sakit pada belakang yang kronik, cedera otot pada organ dalaman dan berisiko untuk berlaku kecacatan kekal.
Nah, bukan biasa-biasa kesan yang korang akan dapat sekiranya melakukan cabaran ini. Jadi, janganlah berani-berani nak cuba semata-mata nak ikut trend. Nanti akibatnya korang perlu tanggung seumur hidup pula.
Kalau masih hidup kira nasib baiklah. Tapi jika berlaku sebaliknya?
Seperti menerusi sebuah video yang tular di media sosial, kelihatan lelaki tersebut jatuh dan tidak sedarkan diri. Bila ditarik oleh rakan-rakannya, mangsa sudah lemah longlai dan ada yang mengatakan bahawa dia sudah mati.
Ya, tak kiralah ketika korang masih di zaman kanak-kanak ataupun sudah ‘besar panjang’ sekarang, filem Disney tetap akan bertakhta di hati! Gituh..
Siapa sangka, dalam tempoh kurang setahun dari sekarang, kita akan menonton filem pertama Disney yang ditulis oleh seseorang yang berdarah Malaysia.
Pergh bangga!
Filem yang berjudul ‘Raya & The Last Dragon’ ini akan dibintangi oleh Cassandra Steele dan Awkfina (Crazy Rich Asians). Ia diterbitkan oleh Osnat Shurer (Moana) dan yang paling penting, ia ditulis oleh Adele Lim yang berasal dari Malaysia.
Adele yang juga merupakan penulis-bersama untuk filem Crazy Rich Asians tidak dapat menutup keterujaannya apabila Raya & The Last Dragon disahkan bakal menemui penonton di pawagam pada tahun hadapan.
Menurutnya, filem animasi ini diinspirasikan oleh kehidupan masyarakat di Asia Tenggara. Sama seperti filem yang pernah ditulis olehnya sebelum ini, Adele bangga dengan asal-usul dirinya dari Malaysia dan rantau Nusantara.
Lalu, pasti ada elemen dari negara kita yang akan cuba diterapkan olehnya – seperti nama karakter utamanya sendiri iaitu Raya!
Raya & The Last Dragon menceritakan mengenai pahlawan perempuan bernama Raya (Cassandra) yang sedang dalam misi mencari naga terakhir di atas muka bumi bernama Sisu (Awkwafina) demi menyelamatkan dunia miliknya, Kumandra.
Sebelum ini, filem tersebut dijadualkan keluar pada 25 November 2020. Namun atas kekangan wabak pandemik Covid-19, perancangan tersebut perlu ditangguh sehingga ke 12 Mac 2021
Ini juga adalah filem bukan muzikal pertama oleh Walt Disney Animation Studios sejak Moana (2016).
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!