Jaguh Muay Thai negara, Miki Ghazali menepati ramalan apabila berjaya menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia dalam acara featherweight 57 kilogram pada temasya Sukan SEA.
Aksi cemerlang itu dipamerkan Miki atau pemilik nama sebenar Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar selepas menewaskan wakil tuan rumah, Sirilun Suphakon, dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, pada Rabu.
Walaupun beliau baru berusia 16 tahun, Miki tidak gentar berdepan lawan yang tujuh tahun lebih berpengalaman, malah aksi di atas gelanggang jelas memperlihatkan kematangan serta ketenangannya sepanjang pertarungan.
“Alhamdulilah hari ini berjalan dengan lancar. Alhamdulilah rezeki pergi kepada Miki,” katanya.
“Tadi dalam gelanggang pun Miki berfikir, siapa je yang umur 16 dah dapat emas untuk SEA Games,” jelasnya berseloroh.
Ads
Dalam pada itu, petarung muda negara itu memenangi dua pusingan awal dengan keputusan 10-9 sebelum tewas tipis 9-10 pada pusingan ketiga, namun kelebihan mata keseluruhan memastikan kemenangan berpihak kepadanya.
Keputusan 29-28 itu mengesahkan Miki sebagai pemenang pingat emas, sekaligus mengangkat namanya sebagai antara bakat muda paling menyerlah dalam arena Muay Thai negara.
Ads
Sejurus keputusan diumumkan, Miki yang ditemani abangnya, Johan Jojo Ghazali, tidak dapat menahan sebak apabila kelihatan bercucuran air mata di tengah gelanggang.
Sementara itu, kejayaan ini turut mencatat sejarah peribadi buat Miki apabila beliau menjadi atlet Muay Thai ketiga negara yang berjaya meraih pingat emas pada edisi Sukan SEA kali ini.
Untuk rekod, dua lagi pingat emas kem Muay Thai negara sebelum ini disumbangkan oleh Angie Yan dalam acara Wai Kru wanita serta Wassof Rumijam yang mengungguli acara bantamweight 54 kilogram.
Sumber artikel: Astro Awani & Astro Arena
Sumber foto: Awangku Afiq (TVS) & Rentap Muay Thai
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Usia yang masih muda bukan penghalang untuk mencipta pencapaian luar biasa. Itulah yang dibuktikan oleh seorang pelajar Maahad Tarbiah Mardhiah Panchor (MTM), Kota Bharu, Kelantan, Ahmad Fikri Abdul Hisham, apabila berjaya menamatkan Syahadah Hafazan al-Quran kategori 30 juzuk hanya dalam tempoh sehari.
Lebih mengagumkan, remaja berusia 16 tahun itu bukan sahaja menamatkan hafazan dengan lancar, malah meraih pangkat Mumtaz tanpa sebarang kesalahan, sekali gus mencetuskan rasa kagum dalam kalangan masyarakat.
Kehebatan Ahmad Fikri pantas mencuri perhatian warga maya apabila berita tersebut tular di pelbagai platform media sosial. Rata-rata netizen meluahkan rasa teruja, terharu dan bangga, menyifatkan pencapaian itu sebagai sesuatu yang luar jangka bagi anak muda seusianya.
Di sebalik kejayaan luar biasa itu, terselit kisah didikan keluarga yang berteraskan ilmu dan nilai agama. Ahmad Fikri merupakan anak kelahiran Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, hasil didikan pasangan pendidik iaitu Abdul Hisham Daud, 54, seorang guru agama dan Rohaizah Mat Naing, 49, guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA).
Tinjauan Remaja di media sosial mendapati ribuan komen positif membanjiri ruangan komen, dengan ramai menyifatkan Ahmad Fikri wajar diangkat sebagai ikon anak Kelantan serta contoh terbaik generasi muda yang membesar dengan al-Quran sebagai teras kehidupan.
Antara komen yang mencuri perhatian ialah daripada Urus Setia Penerangan dan Komunikasi Negeri Kelantan yang menyifatkan kejayaan tersebut sebagai hasil komitmen berterusan ibu bapa, guru serta Yayasan Islam Kelantan (YIK) dalam melahirkan generasi huffaz yang cemerlang.
“Tahniah diucapkan kepada Ahmad Fikri Abdul Hisham. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada ibu bapa, para guru serta YIK atas usaha berterusan melahirkan generasi huffaz yang unggul. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada seluruh warga Kelantan,” katanya.
Sesungguhnya, kisah Ahmad Fikri membuktikan bahawa apabila ilmu, disiplin dan keikhlasan disatukan, usia bukan ukuran untuk mencapai kejayaan luar biasa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tujuh tahun mengusahakan perniagaan berasaskan Kurta baju Melayu, jenama Bulan Bintang kini boleh dianggap sebagai antara jenama pilihan pembeli setiap kali tibanya musim perayaan Aidilfitri dan Aidiladha.
Individu yang bertanggungjawab membina jenama tersebut sehingga ke tahap ini tidak lain tidak bukan ialah Azzim Zahid Azmi. Pada usia 25 tahun, ‘otak bisnes’ yang dimiliki olehnya telah memberikan pelbagai bentuk motivasi kepada remaja sebaya mahupun yang lebih muda untuk memulakan langkah pertama dalam dunia perniagaan.
Menjengah dengan lebih dekat kisah kejayaan pengasas tersebut, REMAJA senaraikan lima fakta menarik yang boleh sama-sama kita jadikan sebagai inspirasi untuk mengejar impian. Tiada apa yang mustahil guys.
01
Perniagaan Bulan Bintang bermula sewaktu Azzim ingin mengerjakan ibadah Umrah bersama ibunya dan dia mencari baju ‘paling Islamik’ yang selesa dipakai di tanah suci. Azzim menyasarkan untuk mencari Kurta, namun sukar untuknya mendapatkan Kurta dengan rekaan minimal dan ‘kosong’. Azzim akhirnya berjaya mendapatkan apa yang dihendaki dan bernasib baik kerana Kurta tersebut dikhabarkan sudah habis terjual.
Sekembali daripada ibadah Umrah dan menamatkan persekolahan, Azzim terfikir ada pasaran luas untuknya memperkenalkan rekaan Kurta minimal sebegini.
Azzim membeli beberapa gulung kain dan dia menaip, “Kilang Jahit Pukal” atau tanda pagar “#JahitPukalMurah” di kotak carian Instagram untuk mencari siapakah yang boleh merealisasikan rekaan Kurtanya itu. Selepas menemui pekerja warga Bangladesh yang boleh menjahit, dia menyiapkan 200 ke 300 helai Kurta. Bermula dengan jumlah sedikit, ia mula melipat kali ganda memasuki angka ribuan helai.
Pempengaruh, Luqman Podolski merupakan model pertama untuk kempen Bulan Bintang pada tahun 2016.
03
Ternyata pengalaman mengajar seseorang individu. Pada tahun pertama memulakan perniagaan Bulan Bintang, Azzim yang dahulunya hanya berpengalaman menjual baju T nyata belum lagi memahami selok-belok perniagaan musim perayaan. Sewaktu Ramadan, memang ramai yang menyerbu gerainya dan Azzim gigih menambah stok. Namun sesudah tamat Raya, dengan permintaan yang telah berkurangan; Azzim tersedar koleksinya itu ‘bermusim’. Dengan sejumlah stok tidak terjual, dia mengambil keputusan menghabiskan dua tahun berikutnya untuk fokus kepada pengajian di peringkat degree dahulu.
Hanya pada tiga tahun pengajian, Azzim menemui motivasi untuk menghidupkan semula Bulan Bintang. Kali ini, dia mencuba pasaran baju Melayu pula. Kali ini kehendak rekaannya juga berbeza dengan apa yang ditawarkan oleh pasaran. Di kala ramai peniaga memperkenalkan Baju Melayu ‘slim fit’ yang melekap pada badan, Azzim inginkan baju Melayu yang sedikit longgar, tanpa logo terpampang pada baju dan paling utama, cantik. ‘Tailored-fit’ gelarnya. Sebelum Ramadan berakhir, stoknya itu habis terjual. Sekali lagi, firasat perniagaan Azzim mengena.
Pelakon, Syukri Yahya setia bersama bulan Bintang setiap kali tibanya musim Aidilfitri. Foto : Facebook Azzim Zahid
Daripada 3000 helai yang disediakan pada 2019, ia meningkat kepada 10,000 stok pada tahun 2020. Azzim memperkenalkan konsep ‘Next Day Delivery’ oleh Bulan Bintang di Lembah Klang untuk menyelesaikan isu penghantaran pada musim pandemik. Janji Bulan Bintang, “Order Hari Ini, Esok Sampai,” dan ia merupakan strategi yang membantu meletakkan jenama tersebut di hadapan jenama-jenama lain.
Nadhir Nasar menjadi model terbaru yang menyertai ‘keluarga’ Bulan Bintang untuk kempen Raya 2022.
05
Azzim tidak lagi menoleh ke belakang. Pada tahun lalu, jenama itu telah menyediakan puluhan ribu stok baju Melayu di samping memperkenalkan semula koleksi Kurta asalnya dengan rekaan serta kualiti yang lebih baik.
Sambil menyifatkan remaja di luar sana harus memulakan langkah perniagaan pada usia muda, Azzim merasakan ramai remaja yang stuck pada ‘fasa angan-angan’ kerana gerun melihat usahawan senior yang sudah jauh ke hadapan. Baginya, seseorang harus melihat pada keupayaan masing-masing dan ingat, mana-mana usahawan perlu bermula dari bawah.
Azzim baru-baru ini bertemu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul untuk menyerahkan Baju Melayu keluaran Bulan Bintang di Putrajaya. Foto : Facebook Azzim Zahid
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Untuk menjadi pelajar di institusi terkemuka yang berada di bawah lembayung Universiti Harvard ini bukanlah mudah. Bukan calang-calang individu yang mampu melepasi tahap kelayakan ketat yang ditetapkan. Tergolong dalam golongan ‘ivy league university’ menjadi impian pelajar cemerlang seluruh dunia untuk meneruskan pengajian di sini.
Tahun ini menyaksikan kadar kemasukan terendah dalam sejarah kolej tersebut sejak penubuhannya 385 tahun yang lalu. Hanya 3.43 peratus sahaja pelajar yang terpilih untuk menjadi ‘class of 2025’. Dari 57,435 permohonan hanya 1,968 yang terpilih. Class of 2025 ini menyaksikan kemasukan yang dinamik dan majmuk yang mana 52.9 peratus pengambilan merupakan pelajar wanita dan 14.5 peratus pelajar berasal dari luar Amerika Syarikat.
Dua pelajar bertuah dari Malaysia yang terpilih ialah Muhammad Hamdi Ahmad Hakimi merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Alam Shah dan Jarell Cheong Tze Wen merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Seri Bintang Utara. Kedua-duanya merupakan pelajar di bawah sistem persekolahan kebangsaan. Jarell meneruskan pengajian di peringkat A-levels di Kolej Sunway dan Hamdi pula meneruskan pengajian di peringkat A-levels di Kolej Tuanku Jaafar sebagai penerima biasiswa Kijang Bank Negara.
Gambar sekadar hiasan. Sumber: Facebook Harvard College Alumni
Menurut Nadiah Wan yang merupakan alumni kolej tersebut dan juga menemuduga kemasukan, “Selain cemerlang dalam pelajaran, Jarell mewakili Malaysia dalam pertandingan Tarian, Matematik dan Catur. Hamdi pula merupakan seorang pendebat yang juga guru tuisyen kepala pelajar sekolah rendah dan merupakan seorang yang berfilosofi yang suka melontar pandangan terhadap apa yang terjadi serta isu semasa dunia.”
Seorang lagi penemuduga dan juga alumni Harvard, Nick Khaw berkongsi cerita, “Kisah Hamdi adalah kisah luar biasa yang kami harap dapat memberi inspirasi kepada orang lain. Pengalaman hidupnya yang mencabar, termasuk bekerja beberapa pekerjaan untuk menolong keluarganya memenuhi keperluan dan bersekolah di sekolah asrama untuk mengurangkan beban keluarganya, membawanya memerhatikan dan memikirkan secara mendalam tentang keadaan dunia di sekelilingnya, merenungkan kebaikan yang terbatas / berfikir dan gemar membaca naskah dari Noam Chomsky hinggalah Za’aba.
Daripada meratapi nasibnya, dia menyalurkan tenaganya ke beberapa bidang termasuk belajar bertutur dalam bahasa Inggeris dengan mengambil bahagian dalam pertandingan debat pada usia 14 tahun. Dia juga mendidik generasi berikutnya, mencurahkan masa dan usahanya untuk membimbing pelajar di sekolah luar bandar dan mengajar mereka berdebat. Dengan kelebihan dan peluang yang ditawarkan oleh Harvard College, kami sangat gembira melihat bagaimana seseorang seperti Hamdi dapat berkembang dan memanfaatkan sepenuhnya kemampuannya.”
Jarell pula merupakan individu unik yang cemerlang dalam pelbagai platform. Dia mewakili Malaysia dalam acara SEA Games Dancesport dan juga bertanding melwakili Malaysia dalam Sukan Olimpik Matematik Asia Pasifik dan pertandingan catur antarabangsa. Dia merupakan pelajar yang berbakat, memperoleh semua A * dalam ujian antarabangsa Cambridge.
“Apa yang menarik tentang Jarell adalah bahawa walaupun terdapat sekatan yang pernah kita jalani di bawah perintah kawalan pergerakan Covid-19, dia telah menemukan cara untuk meneruskan minatnya. Pada tahun lalu, dia mula mengajar kelas tarian kepada individu berusia 7 hingga 14 tahun melalui Zoom. Dia juga mengejar minatnya dalam Matematik secara bebas, melebihi apa yang diajar ketika A-levels untuk meneroka matematik berasaskan bukti. Ini menunjukkan dedikasi dan rasa ingin tahu intelektual yang melampaui kurikulum berasaskan sekolah khas”, Ujar Wan Nadiah.
Selamat berjaya kepada kedua-dua remaja ini. Semoga menjadi insan cemerlang yang bakal memimpin dan membangunkan negara dan anak bangsa suatu hari nanti.