
Baru-baru ini, wakil pelajar dan pensyarah daripada Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun, Terengganu berjaya meraih perhatian selepas berjaya merangkul gelaran juara keseluruhan kategori 150cc dalam pertandingan Formula Student Malaysia 2026.
Memetik laporan Kosmo, kereta lumba berkenaan dibina sepenuhnya oleh pasukan Formula Racing Automotive Centre of Technology (FRATeC) dalam tempoh kira-kira dua bulan. Lebih membanggakan, mereka turut meraih gelaran Johan Statik dan Johan Dinamik dalam pertandingan yang berlangsung di Litar Dato’ Sagor, Perak.
Menurut pensyarah pembimbing pasukan, Rosli Abdul Aziz, kejayaan tersebut membuktikan pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mampu bersaing dengan pelajar institusi pengajian tinggi lain di peringkat kebangsaan.

Walau bagaimanapun, menghasilkan kereta lumba dalam tempoh singkat bukanlah tugas mudah apabila setiap komponen perlu direka, dipasang dan diuji bagi memenuhi spesifikasi pertandingan. Pada masa sama, ahli pasukan juga perlu membahagikan masa antara tuntutan akademik dan proses pembinaan kenderaan.
Sementara itu, ahli pasukan FRATeC, Mohamad Aiman Danish Ab. Halim (19), berkata pengalaman membina kereta lumba dari peringkat awal memberikannya pendedahan praktikal dalam bidang kejuruteraan. Pelajar semester tiga Jabatan Kejuruteraan Mekanikal PSMZA itu turut berdepan cabaran memastikan setiap komponen berfungsi dengan baik.
Bagi memastikan kereta tersebut bersedia untuk berlumba, pasukan berkenaan menjalankan beberapa ujian dan penambahbaikan sebelum dibawa ke litar. Kerjasama antara ahli pasukan serta bimbingan pensyarah turut membantu mereka menyelesaikan masalah teknikal sepanjang proses pembinaan.

Untuk rekod, Formula Student Malaysia merupakan pertandingan tahunan yang menguji kemahiran pelajar institusi pengajian tinggi dalam mereka bentuk dan membina kereta formula mengikut piawaian ditetapkan. Sebanyak 12 pasukan menyertai pertandingan edisi kali ini, menjadikan persaingan lebih mencabar.
Sementara itu, kejayaan FRATeC bukan sahaja mengharumkan nama PSMZA, malah membuktikan bahawa pelajar TVET mampu menghasilkan inovasi berkualiti melalui ilmu dan kerjasama berpasukan. Pencapaian itu diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai anak muda untuk menceburi bidang kejuruteraan dan automotif.
Sumber: Kosmo Online
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!




Difahamkan, 