
Palestin dan Arab Saudi menjadi antara negara di Timur Tengah yang paling awal menyambut kehadiran bulan Ramadan pada hari Rabu (waktu tempatan) pada tahun ini sekaligus berpeluang untuk berbuka puasa sehari lebih awal berbanding negara-negara majoriti umat Islam yang lain.
Memetik laporan antarabangsa, bulan mulia berkenaan disambut meriah dengan menunaikan ibadah solat sunat Tarawih.
Meskipun dilanda pergolakan akibat serangan tentera Israel, ia tidak sesekali merobek semangat penduduk di Palestin untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT.
Masjid Ikonik Di Palestin Dipenuhi Jemaah
Antara lokasi tumpuan penduduk di Gaza adalah di Masjid Besar Omari di Gaza City yang dahulunya rosak teruk akibat serangan tentera rejim.
Masjid yang menjadi simbol warisan Islam di jalur Gaza itu kini hanya dapat digunakan sebahagian setelah penduduk setempat bergotong-royong membaiki struktur yang rosak sebelum tibanya bulan Ramadan.

Bagi penduduk di kawasan sekitar Masjid Besar Omari, mereka mengakui Ramadan tahun ini lebih sukar berbanding tahun-tahun sebelum ini kerana sebahagian besar penduduk masih tidak berani keluar dari rumah untuk menunaikan solat berjemaah.
Begitupun, mereka bersyukur kerana ibadah Tarawih pada malam pertama Ramadan kelmarin berlangsung dengan lancar di Masjid Besar Omari.

Di Tebing Barat pula, Masjid Al-Aqsa yang terletak di Baitulmaqdis turut banjiri puluhan ribu jemaah yang hadir biarpun berdepan sekatan tentera Israel. Isnin lalu, polis Israel mengumumkan cadangan mengeluarkan 10,000 permit kepada penduduk Palestin dari Tebing Barat untuk memasuki Baitulmaqdis.
Masjid Al-Aqsa bukan sekadar lokasi untuk beribadah, malahan bagi mereka di sana ia menjadi simbol identiti ketabahan rakyat Palestin yang terus berjuang demi hak mereka.

Arab Saudi Turut Sambut Ramadan Pada Rabu
Dalam pada itu, Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan negara tersebut menyambut bulan Ramadan juga pada hari Rabu. Bagi memudahkan umat Islam, agensi kerajaan Arab Saudi serta sektor swasta menetapkan waktu bekerja yang diselaraskan mengikut tempoh berpuasa.
Sebagai info, rantau Asia Tenggara termasuklah di negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan Kemboja menetapkan hari Khamis sebagai hari pertama berpuasa setelah mencapai keputusan cerapan anak bulan berdasarkan perhitungan astrologi.
Perbezaan tarikh berpuasa ini adalah perkara biasa dalam penentuan awal Ramadan 2026 kerana setiap negara mempunyai kaedah cerapan dan pengumuman rasmi masing-masing.
Apa pun perbezaan tarikh yang berlaku, kehadiran Ramadan 2026 tetap membawa mesej kesatuan, kesabaran dan pengharapan buat umat Islam di seluruh dunia, khususnya buat rakyat Palestin yang terus tabah dalam menghadapi ujian.
FOTO: AP & AFP
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












