Kanser Usus (Colon Cancer) adalah antara 10 kanser yang paling kerap berlaku di Malaysia. Malah lelaki juga lebih terdedah kepada penyakit ini berbanding golongan wanita kerana ia berkait rapat dengan gaya hidup individu.
REMAJA menemuramah Pakar Bedah Kolorektal, Dr. Loo Geng Loon dari Sunway Medical Centre Velocity berkaitan kanser kolorektal atau disebut juga kanser usus, kanser kolon atau kanser rectum.
Apa itu kanser kolorektal?
Kanser kolorektal (juga dikenali sebagai kanser usus, kanser kolon atau kanser rektum) adalah pertumbuhan kanser yang bermula daripada kolon atau rektum. Kebanyakan kanser kolorektal adalah adenokarsinoma, iaitu sejenis kanser yang bermula dalam sel-sel kelenjar badan yang menghasilkan lendir. Kanser kolorektal biasanya bermula sebagai ketumbuhan kecil (polip) yang terdapat pada lapisan dalam kolon dan rektum.
Adakah kanser kolorektal merupakan kanser yang biasa di Malaysia?
Di Malaysia, kanser kolorektal (CRC) adalah kanser yang paling biasa dalam kalangan lelaki dan yang kedua dalam kalangan wanita. Kebiasaannya, seperti yang dilaporkan dalam Pendaftaran Kanser Kebangsaan Malaysia (2007-2011) mencapai 13.2%. Kadar insiden umur standard bagi lelaki dan wanita daripada laporan yang sama dianggarkan masing-masing adalah 14.6 dan 11.1 bagi setiap 100,000 populasi.
Apakah faktor risiko utama? Adakah makan berlebihan dan makanan ringan boleh menjadi faktor risiko juga?
Faktor risiko utama sering meliputi amalan gaya hidup yang tidak sihat seperti merokok, pengambilan alkohol yang tinggi, daging merah (daging lembu, kambing dan babi) dan daging yang diproses (sosej, burger). Berkenaan dengan makan berlebihan, tabiat tersebut mungkin menyebabkan seseorang mengalami lebihan berat badan dan seterusnya mendorong pada masalah obesiti yang merupakan faktor risiko CRC. Selain itu, memandangkan makanan ringan adalah makanan yang diproses, pengambilan berlebihan makanan yang diproses akan meningkatkan risiko kanser termasuklah kanser kolon.
Ads
Bukan itu sahaja, kurang bersenam dan tidak aktif secara fizikal juga merupakan faktor penyumbang, di samping penyakit lain seperti kencing manis (Diabetes Mellitus) serta obesiti yang boleh memberi impak. Sejarah keluarga yang menghidap CRC, terutamanya yang melibatkan saudara tingkat pertama (ibu bapa, adik-beradik dan anak). Risiko meningkat jika saudara tingkat pertama berusia di bawah 50 tahun semasa diagnosis pertama.
Apakah tanda-tanda gejala?
Malangnya, tiada simptom dan tanda yang jelas ketika kanser berada pada peringkat awal – hal ini merupakan salah satu punca utama mengapa pesakit biasanya didiagnosis hanya setelah berada pada peringkat akhir. Di Malaysia, lebih daripada 60% pesakit CRC dikesan pada peringkat akhir CRC (tahap 3 dan 4).
Tanda gejala yang biasa termasuklah perubahan corak pembuangan air besar, najis berdarah, sakit perut, penurunan berat badan, anemia dan usus tersumbat.
Adakah terdapat peningkatan pada jumlah golongan muda (berumur di bawah 45 tahun) yang menghidap penyakit ini? Mengapa?
Ads
Di AS, kadar insiden bagi golongan berusia 55 tahun ke atas menurun 3.6% setiap tahun tetapi meningkat 2% setiap tahun bagi mereka yang berumur di bawah 55. Insiden CRC dalam kalangan mereka yang berumur 50 tahun ke atas pula menurun sebanyak 32% antara tahun 2000 dan 2013 yang mana sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan saringan. Manakala, kadar bagi mereka yang berusia 40-an meningkat 22%, menurut American Cancer Society. Mereka juga mendapati bahawa umur median bagi pesakit CRC adalah 72 pada 1989 tetapi telah menurun kepada 66 pada 2016.
Obesiti boleh menjadi faktor penyumbang, justeru itu amalan pemakan mempunyai pengaruh yang besar. Pada masa kini, lebih banyak kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti hubungan antara pengambilan antibiotik dan kesannya terhadap mikroorganisma dalam usus kerana perkara tersebut adalah penting untuk mengawal kesihatan usus kita.
Adakah lelaki lebih cenderung kepada penyakit ini berbanding wanita?
Di AS, risiko seumur hidup dalam menghidap CRC adalah sekitar 4.4% bagi lelaki dan 4.1% bagi wanita.
Apakah kadar kelangsungan hidup dan pemulihan bagi golongan muda sekiranya kanser ini dikesan lebih awal?
Ads
Kadar kelangsungan hidup relatif selama 5 tahun bagi pesakit CRC yang didiagnosis antara 2007 hingga 2017 beserta rawatan lanjut pada 2016 di Malaysia adalah 75.8% untuk mereka yang berada pada tahap 1, 72.5% untuk mereka pada tahap 2, 55.6% untuk mereka pada tahap 3 dan 17.3% pada tahap 4.
Berdasarkan statistik ini, adalah penting untuk membuat diagnosis awal supaya pesakit dapat menerima rawatan yang bersesuaian bagi menambah baik prospek jangka panjang mereka.
Adakah mudah untuk melakukan pemeriksaan bagi penyakit ini?
Bagi pesakit yang tidak mempunyai simptom, mereka boleh memilih melakukan pemeriksaan untuk mengesan sebarang tanda penyakit.
Terdapat dua jenis ujian yang boleh dilakukan: ujian berasaskan najis seperti Fecal Immunochemical Test (FIT) atau pemeriksaan visual seperti kolonoskopi.
FIT mengesan darah tersembunyi dalam najis dan mesti dilakukan setiap tahun untuk mengenal pasti sebarang tanda abnormal. Kebanyakan klinik dapat membekalkan kit ujian untuk dibawa pulang ke rumah bagi melakukan ujian, beserta arahan terperinci mengenai cara untuk mengumpul sampel najis. Sekiranya ujian tersebut positif, kolonoskopi perlu dilakukan untuk penilaian selanjutnya. Selain kanser dan polip, darah dalam najis juga boleh disebabkan oleh ulser, buasir dan kolitis.
Kolonoskopi menggunakan kamera video kecil di hujung tiub yang dimasukkan melalui dubur untuk memeriksa rektum dan kolon bagi mengenal pasti tanda abnormal. Sebarang pertumbuhan kecil (polip) dapat dibuang jika perlu dan biopsi dilakukan pada sel untuk mengesahkan diagnosis.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sentul, Bogor Indonesia semalam telahpun menyaksikan kejayaan wakil Brazil, Isabella Menin diangkat sebagai Miss Grand International 2022.
Dalam acara gilang-gemilang tersebut, model serta usahawan berusia 26 itu telahpun mengenepikan saingan 67 lagi wakil negara lain termasuklah wakil Malaysia, Charissa Chong untuk memiliki mahkota keemasan daripada juara tahun lalu, Nguyen Thuy Thuc Tien dari Vietnam.
Melengkapkan kedudukan Top 5 ialah Engfa Waraha dari Thailand (naib juara), Andina Julie dari Indonesia (pemenang tempat ketiga), Luiseth Materan dari Venezuela (pemenang tempat keempat) dan Mariana Beckova dari Czech Republic (pemenang tempat kelima).
Turut cemerlang hingga mencapai kedudukan Top 10 ialah wakil dari Kemboja, Puerto Rico, Sepanyol, Colombia dan Mauritius yang layak atas tiket undian ‘Miss Popular Vote’.
Isabella Menin bukan sekadar dikurniakan kecantikan dan kepetahan bercakap dakam bahasa Sepanyol, Inggeris, Perancis dan Itali.
Malah gadis kelahiran Marilia, Brazil yang memiliki darah kacukan Brazil-Itali ini juga bijak orangnya. Pada usia semuda ini, Isabella sudahpun bergelar graduan sarjana muda dalam jurusan Ekonomi dari Westminster Business Scool, London dan telah melengkapkan pengajian sarjananya dalam jurusan kewangan dari institusi berprestij, University College London atau UCL.
Sejak awal pertandingan lagi yang bermula di kepulauan Bali, Isabella sudahpun menunjukkan konsistensinya sebagai salah seorang peserta ‘front runner’ bagi mengejar gelaran Miss Grand International. Dia hadir berbekalkan pengalaman mengasaskan organisasi bernama Beyond Project yang melancarkan misi menyokong persatuan bagi golongan kurang upaya di Brazil.
Terdahulu pada tahun 2013, Isabella pernah memenangi pertandingan antarabangsa Miss Teen International di Costa Rica. Menariknya, minat serta potensi dalam dunia ratu cantik ini diturunkan daripada ibunya sendiri yang pernah bergelar Miss Marilla di lokasi kelahirannya.
Kata ibunya kepada rakan pemberita, Isabella telahpun dihantar untuk bergiat dalam apa-apa jenis pertandingan ratu cantik sejak dia dilahirkan. Baginya, kejayaan ini bertitik tolak daripada impian yang dipasang oleh mereka selama 26 tahun.
Fuh lama tu! Walaupun selama ini mengidamkan peluang untuk bergelar juara ratu cantik, Isabella masih tidak melupakan soal pelajaran dan kerja-kerja kemanusian yang dekat di hatinya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Jika di Semenanjung Malaysia, kita selalu dipersembahkan dengan pertandingan ratu cantik yang pelbagai sama ada yang bersifat moden mahupun yang lebih tradisional dengan berpakaian tradisi.
Di Sabah pula, nama Unduk Ngadau sentiasa diperkatakan lebih-lebih lagi apabila memasuki bulan Mei pada setiap tahun.
Dari luaran, Unduk Ngadau merupakan sebuah pertandingan ratu cantik dan menjadi pengisian utama setiap kali Pesta Kaamatan diraikan pada akhir bulan Mei kerana hadiah lumayan yang ditawarkan. Namun tahukah korang, ia lebih daripada sekadar pertandingan yang mempertaruhkan kecantikan paras rupa serta hadiah menarik sahaja?
Maya Hejnowska (dua dari kiri) yang dinobatkan sebagai ratu Unduk Ngadau 2021.
01
Kali pertama Unduk Ngadau dilangsungkan adalah pada enam dekad yang lalu. Bertempat di Panampang, Sabah, tujuan utama ia diadakan bukan hanya untuk mencari gadis tercantik dalam kalangan tiga rumpun iaitu Murutik, Dusunitik dan Paitanik. Akan tetapi, pertandingan Unduk Ngadau bertujuan untuk meningkatkan imej serta kewibawaan perempuan dalam masyarakat di Sabah.
02
Pertandingan dimulakan dari peringkat daerah dan para pemenang dibawa pula ke peringkat negeri. Acara kemuncak itu akan dilangsungkan pada 30 dan 31 Mei pada setiap tahun bersempena Pesta Kaamatan.
03
Apa yang dicari-cari sebagai ciri-ciri seorang juara Unduk Ngadau?
Pertamanya, dia perlulah memiliki karakter seakan Huminodun. Mengikut kisah turun-temurun, Huminodun bukan saja mempunyai paras rupa yang manis dan anggun, si dia juga perlulah rendah hati dan mempunyai semangat kental kerana sanggup berkorban demi masyarakat.
Sepanjang 2021, Maya Hejnowska banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan seperti menyediakan pek makanan dan melawat ke pusat kesihatan.
04
Semasa pertandingan berlangsung, ada beberapa segmen yang perlu dilalui oleh peserta bagi menguji kewibawaan peserta. Antaranya, mereka perlu menggayakan busana tradisional masing-masing, perlu menjawab soalan-soalan daripada pihak juri, pandai bercakap dalam salah satu daripada 67 etnik dalam tiga rumpun utama yang dinyatakan tadi serta mempunyai pengetahuan luas dalam aspek sejarah, budaya serta adat-resam mereka.
Maya juga membawakan mesej kesedaran seperti menjadi antara yang terawal mendapatkan suntikan vaksinasi Covid-19 dalam persalinan tradisi bagi mengajak masyarakat di Sabah lain untuk turut sama mendapatkan dos vaksin mereka.
05
Setelah menang, apa yang bakal terjadi kepada sang juaranya? Well, gadis tersebut akan terpilih menjadi duta budaya kepada generasi muda dan menjadi ikon mewakili Hominodun.
Untuk Unduk Ngadau edisi 2022 yang berlangsung semalam, seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Sungai-Sungai Belurah telahpun dinobatkan sebagai Ratu Unduk Ngadau sempena sambutan Pesta Kaamatan 2022. Frenirietta Sobitun, 25 yang mewakili daerah Sandakan telahpun membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM120,000.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan epilepsi? Secara umumnya ramai yang mungkin tahu epilesi merupakan penyakit sawan. Sebenarnya, epilesi merupakan sejenis kondisi di mana berlaku gangguan neorologikal yang dikarakteristikkan oleh epilectic seizures atau sawan.
Dan kejadian sawan ini merupakan episod yang tidak berkala dan hampir tidak dapat dijangkakan bilakah ia akan menyerang. Epsiod epliepsi ini boleh memudaratkan kepada penghidapnya dengan kecederaan fizikal. Dari segi asal usul namanya, epelpsi beradal dari perkataan Greek iaitu epilēpsía yang membawa maksud ‘serangan’.
Remaja yakin mungkin ada di antara kamu mempunyai ahli keluarga atau rakan-rakan yang merupakan pesakit epilepsi. Sebagai orang terdekat dengan mereka, korang haruslah mengambil tahu bagaimanakah untuk bertindak-balas apabila mereka diserang sawan secara tiba-tiba.
Percayalah, tindakan pantas dengan cara yang betul bukan sahaja mampu menyelamatkan tetapi boleh memberikan keyakinan buat mereka yang tahu bahawa ada orang yang boleh membantu ketika waktu-waktu genting.
EPILEPSI FIRST AID:
Bertenang dan jangan kalut
Fokus terhadap apa yang penting dan harus korang lakukan. Untuk membantu mereka yang diserang sawan kamu terlebih dahulu harus bersedia dan tenang.
Jauhkan sebarang objek
Jika dia memakai cermin mata, tali leher atau skaf sila ambil dan jauhkan darinya. Perhatikan juga jika terdapat objek memberhaya dan tajam berdekatan yang boleh menimbulkan kecederaan. Jika rakan kamu sedang duduk tariklah dia secara perlahan-lahan ke bawah dan baringkan di atas permukaan rata dengan berhati-hati.
Alas kepalanya
Jika tiada bantal, gunakan kain atau baju untuk melapik bahagian kepalanya. Ia bagi memberi perlindungan kepada bahagian kepalanya.
Cuba baringkannya secara mengiring
Perlahan-lahan alihkan badannya supaya dalam keadaan mengiring. Ini bagi membuka laluan pernafasan dengan baik dan memberikan laluan air liur mengalir keluar dengan lebih baik.
Catat masa
Sila ambil perhatian terhadap tempoh masa serangan sawan bermula. Serangan kebiasaannya akan berakhir dalam tempoh dua ke tiga minit.
Periksa kad perubatan
Jika berlaku kepada orang yang tidak kamu kenali, sila periksa di badannya sama ada mereka ada membawa kad perubatan. Sesetengah pesakit epilepsi memakai gelang maklumat perubatan atau kad yang mengandungi informasi kecemasan ahli keluarga terdekat, jenis ubatan yang diambil dan sebarang alahan ubat.
Buat panggilan kecemasan
Jika kamu tidak mengenali mangsa atau ia merupakan serangan sawan yang pertama atau pesakit tersebut mengandung, mempunyai penyakit darah tinggi dan mengalami kecederaan buat panggilan kecemasan dengan segera. Begitu juga jika serangan sawan berlaku lebih daripada lima minit.
Kawal keadaan
Kejadian serangan epilepsi di kawasan awam pastinya akan mengundang banyak perhatian. Oleh itu, kamu hendaklah mengawal keadaan agar mereka tidan mengerumini mangsa. Pastikan mereka membuka ruang untuk mangsa bernafas dan juga laluan untuk pasukan perubatan masuk.
JANGAN LAKUKAN PERKARA DI BAWAH!
Cuba menahan dengan mengikat atau memeluk mangsa
Ia boleh mencederakan mereka dan juga diri kamu sendiri
Memberikan makanan dan minuman
Walaupun hanya seteguk air ia boleh membuatkan mangsa tercekik
Meletakkan objek dalam mulut mangsa
Tanggapan bahawa pesakit yang mengalami epilepsi akan boleh mengkakibatkan mereka tertelan lidah sendiri. Cubaan meletakkan objek di dalam mulut mereka boleh membahayakan mereka dan diri kamu sendiri
Lakukan CPR
Jangan seskali cuba melakukan CPR atau bantuan pernafasan kecemasan melainkan mangsa tidak bernafas selepas sawan berhenti
Semoga perkongsian Remaja kali ini mampu membantu kamu berdepan dengan situasi kecemasan begini. Satu perkara lagi, jika mangsa merupakan rakan atau ahli keluarga berilah mereka dorongan dan jangan biarkan mereka berasa rendah diri atau rasa bersalah. Dengan mengambil tahu tentang langkah-langkah first aid begini ia sebenarnya sudah cukup untuk menunjukkan kepada mereka bahawa korang ambil peduli.