Kejayaan seorang pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Terendak, Melaka, Muhammad Nor Azzim Nordin menerima Anugerah Pengetua MRSM Terendak baru-baru ini mencuri perhatian warga maya selepas momen penuh emosi bersama kakak-kakaknya tular di media sosial.

Menerusi perkongsian video di TikTok, Siti Norsafia Nordin, 26, memaparkan momen dia bersama dua lagi kakaknya, Siti Nur Atiqah Nordin, 27, dan Siti Norazlina Nordin, 23, hadir meraikan kejayaan adik mereka pada majlis penganugerahan tersebut sehingga menyentuh hati warga maya.

Dalam perkongsian itu, Siti Norsafia meluahkan rasa sebak dan bangga melihat adik bongsunya berjaya menerima pengiktirafan berkenaan selepas melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan, termasuk kehilangan kedua-dua ibu bapa tersayang.

“Adik, akak tak boleh move on lagi. Perjalanan hidup adik terlalu banyak luka, adik hadapi dengan penuh tabah.

“Terima kasih banggakan kakak dan abang dengan sikap kamu yang humble, jadi adik yang baik selalu, hormat orang.

“Akak doakan adik berjaya dunia akhirat. Akak simpan sini, nanti dah kerja berjaya, boleh imbas balik tentang ini,” tulisnya menerusi akaun TikTok @eytisafiaa.

Menurut Siti Norsafia, hanya mereka yang benar-benar mengenali Muhammad Nor Azzim mengetahui segala kepayahan yang pernah dilalui remaja tersebut.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Malah, dia turut menitipkan pesanan agar adiknya terus menjadi insan yang merendah diri, menjaga adab dan sentiasa berbuat baik kepada orang sekeliling biarpun sudah mengecapi kejayaan.

“Akak saksi perjalanan hidup adik. Cukup kita telan, cukup adik lalui. Jadi orang yang selalu menyenangkan. Selalu berbuat baik dengan orang sekeliling,” luahnya.

Sanggup Datang Dari Pahang & Terengganu Demi Raikan Kejayaan Adik

Dalam perkongsian sama, Siti Norsafia turut mendedahkan bahawa Muhammad Nor Azzim pada awalnya tidak mahu kakak-kakaknya menghadiri majlis penganugerahan berkenaan kerana bimbang menyusahkan mereka yang menetap jauh di Pahang dan Terengganu.

Ads

Bagaimanapun, mereka tetap mengambil keputusan untuk hadir bagi memberikan sokongan kepada adik tersayang pada hari istimewa itu.

Apa yang lebih menyentuh hati, Siti Norsafia mengakui sempat terfikir bagaimana perasaan adiknya sekiranya terpaksa naik ke pentas menerima anugerah tanpa kehadiran ahli keluarga.

“Bila di hari kejadian, akak terfikir kalau kami tak datang, takkan adik nak naik pentas tanpa tepukan daripada ahli keluarga.

“Montaj dekat skrin takkan adik nak tengok dengan kawan-kawan. Bukan semua orang faham kisah hidup kamu,” kongsinya.

Ternyata, keputusan mereka untuk hadir menjadi satu kenangan cukup bermakna apabila dapat menyaksikan sendiri kegembiraan luar biasa Muhammad Nor Azzim sebaik melihat kehadiran kakak-kakaknya.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Kehilangan Ibu Bapa, Kakak-Kakak Jadi Penguat Semangat

Di sebalik kejayaan tersebut, Muhammad Nor Azzim sebenarnya menyimpan kisah kehidupan yang cukup menyentuh hati apabila dia dan adik-beradiknya telah kehilangan kedua-dua ibu bapa.

Ads

Menurut laporan SinarPlus, remaja yang berasal dari Kuantan, Pahang itu kehilangan ibu bapanya masing-masing pada 25 Mac 2022 dan 14 Disember 2023.

Bagaimanapun, kehilangan dua insan tersayang itu tidak mematahkan semangat adik bongsu daripada 10 beradik tersebut untuk terus melakar kejayaan dalam bidang pendidikan.

Mengimbas kenangan sewaktu Muhammad Nor Azzim masih kecil, Siti Norsafia turut berkongsi bahawa dia bersama seorang lagi kakaknya sudah terbiasa menguruskan keperluan adik mereka ketika arwah ibu keluar bekerja.

“Kenapa akak dengan Kekka je panggil kamu ‘Adik’? Sebab kamu kecil-kecil dulu, Kak Ty, Kekka yang banyak uruskan kamu masa arwah mak kerja,” katanya.

Hubungan rapat antara mereka menjadikan kejayaan Muhammad Nor Azzim lebih bermakna, apatah lagi kakak-kakaknya dapat menyaksikan sendiri hasil usaha dan ketabahan adik tersayang.

Dalam pada itu, Muhammad Nor Azzim difahamkan turut menyimpan impian untuk bergelar seorang guru suatu hari nanti.

Ads

Justeru, keluarganya berharap remaja tersebut dapat terus mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, termasuk memperoleh keputusan membanggakan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Akak Saksi Perjalanan Hidup Adik…” - Raih Anugerah Pengetua MRSM Terendak, Muhammad Nor Azzim Buat Kakaknya Sebak

Turut Puji Akhlak Pelajar MRSM Terendak

Selain berkongsi kegembiraan adiknya, Siti Norsafia turut menzahirkan penghargaan kepada barisan pendidik MRSM Terendak yang banyak membimbing Muhammad Nor Azzim sepanjang berada di institusi berkenaan.

Dia juga tidak ketinggalan memuji sikap dan budi pekerti para pelajar yang disifatkan sangat menghormati tetamu.

“Semasa saya dekat sini, dari masuk pagar sampai ke dewan, anak-anak MRSM ini punya lah baik budi pekerti. Jumpa sesiapa akan senyum, tunduk hormat.

“Masya-Allah, tak silap langsung pilihan adik saya untuk masuk ke MRSM Terendak ini,” ujarnya.

Sumber : Tiktok Eytisafiaa

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

 

Dapatkan cerita, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di
Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads