
Terbaru, pelakon dan ahli kumpulan 2PM, Ok Taecyeon bakal menamatkan zaman bujangnya tidak lama lagi. Pada 1 November lalu, agensinya, 51K mengumumkan bahawa bintang berusia 37 tahun itu akan berkahwin pada musim bunga dengan kekasihnya yang telah lama dikenalinya.
Menurut laporan media Korea, Ok Taecyeon yang kini aktif dalam dunia lakonan telah menjalinkan hubungan dengan teman wanitanya sejak beberapa tahun lalu. Pasangan ini mula menjadi perhatian para peminat pada tahun 2020 selepas hubungan mereka disahkan kepada umum.
Terdahulu, timbul khabar angin bahawa mereka sudah bertunang apabila Ok Taecyeon dilihat berlutut dan menyerahkan cincin kepada kekasihnya ketika berada di Paris pada awal tahun ini. Namun, perkara itu tidak pernah disahkan oleh mana-mana pihak sehingga pengumuman rasmi dibuat oleh agensi 51K baru-baru ini.
Menerusi sebuah kenyataan rasmi, pihak 51K berkata, “Hello. Ini 51K. Kami ingin berkongsi berita mengenai perkahwinan pelakon Ok Taecyeon. Pelakon Ok Taecyeon telah berjanji untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama pasangan yang telah lama dikenalinya.”
Agensi itu juga memaklumkan majlis perkahwinan akan diadakan secara tertutup di sebuah lokasi di Seoul pada musim bunga akan datang dan hanya akan dihadiri oleh keluarga serta rakan terdekat.
“Memandangkan bakal pasangan beliau bukan seorang selebriti, kami amat berharap agar anda memahami bahawa kami tidak akan mendedahkan butiran lanjut,” jelas agensi itu lagi.
BACA: RM BTS Bakal Sampaikan Ucaptama Di APEC CEO Summit 2025, Bukti Pengaruh Hebat K-Pop Di Dunia
BACA: BTS Bakal Kembali Mac 2026! RM Umum Album Baru & Konsert Jelajah Dunia!
Selain itu, meskipun bakal bergelar suami, Ok Taecyeon tetap berhasrat untuk terus aktif dalam dunia seni. “Walaupun selepas berkahwin nanti, pelakon Ok Taecyeon tetap berhasrat untuk terus menyapa anda semua melalui pelbagai projek dan aktiviti yang baik.”
Pihak agensinya turut menambah, “Kami memohon agar anda semua terus memberikan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada pelakon Ok Taecyeon.”
BACA: RM BTS Sumbang 200 Juta Won Kepada 2 Hospital Sempena Ulang Tahun Kelahiran Ke-31
Susulan pengumuman tersebut, Ok Taecyeon turut memuat naik sepucuk surat tulisan tangan khas buat peminatnya di laman sosial. Dalam surat itu, beliau menulis kata-kata penghargaan istimewa terutama buat peminat yang sentiasa menyokong.
“Hai. Ini Ok Taecyeon 2PM. Saya ingin berkongsi berita ini terlebih dahulu kepada para peminat saya yang sentiasa mengambil berat dan menyokong saya sebelum orang lain, dan itulah sebabnya saya mengambil pena untuk menulis surat ini,” tulisnya.
Dalam surat penuh emosi itu, Ok Taecyeon turut mengimbas perjalanan kerjayanya selama 19 tahun bersama kumpulan 2PM dan berterima kasih kepada peminat yang sentiasa berada di sisinya. Beliau menutup surat itu dengan pesanan kepada peminat agar menjaga kesihatan serta mengucapkan terima kasih atas sokongan tidak berbelah bahagi yang diterima sepanjang kariernya sebagai anak seni.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.