
Terbaru, Nu Ideaktiv Sdn Bhd, syarikat usaha sama antara Astro dan Kumpulan Media Karangkraf, kini menyatukan portfolio jenama medianya di bawah satu identiti, seeNI. Langkah ini difahamkan bukan sekadar peralihan nama, sebaliknya mencerminkan hala tuju baharu syarikat dalam menghubungkan kandungan, komuniti dan peluang komersial menerusi satu ekosistem yang lebih bersepadu.
Menerusi pendekatan tersebut, seeNI mahu memperluas peluang kerjasama dengan pengiklan, agensi dan rakan strategik melalui kandungan berjenama, penajaan serta kempen yang melibatkan bakat kreatif. Usaha ini turut memberi tumpuan kepada pembinaan hubungan yang lebih bermakna dengan khalayak, selain menawarkan penyelesaian yang melangkaui penempatan iklan secara berasingan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim, berkata peralihan identiti itu membawa aspirasi lebih besar dalam menyatukan kekuatan jenama media, bakat dan komuniti.
“Peralihan daripada Nu Ideaktiv kepada seeNI bukan sekadar perubahan identiti jenama. Ia mencerminkan aspirasi kami untuk menghimpunkan jenama media, bakat dan komuniti dalam satu ekosistem yang lebih bersepadu, sekaligus mewujudkan nilai yang lebih besar kepada pengguna dan rakan komersial kami,” katanya.


Berteraskan tiga tunjang utama iaitu Komuniti, Kandungan dan Komersial, seeNI mahu menghubungkan khalayak melalui minat serta pengalaman bersama, di samping menggabungkan kepakaran penceritaan, produksi dan bakat. Pendekatan itu juga bertujuan membantu jenama merancang kempen yang lebih menyeluruh berdasarkan kumpulan sasaran serta matlamat perniagaan masing-masing.
Antara jenama di bawah portfolio seeNI termasuk seeNI Creator Academy, Remaja, Media Hiburan, Borak seeNI, NONA, Roda Panas, Rasa, Mingguan Wanita, Keluarga dan Pa&Ma. Penyatuan ini membuka ruang untuk kekuatan setiap jenama dimanfaatkan merentas pelbagai minat dan peringkat kehidupan khalayak, sekali gus memperluas potensi kerjasama antara platform.


Dalam usaha memperkukuh penawaran tersebut, seeNI turut mengetengahkan ‘seeNI Collective’ yang menghimpunkan kandungan, komuniti, bakat kreatif dan rakan strategik. Antara kerjasama yang diketengahkan termasuk TVS dan Novel Karangkraf dalam penerbitan serta adaptasi kandungan, Komet Productions menerusi seeNI Story Lab untuk memperkasa bakat baharu industri kreatif, selain Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) dan Fashionably Modest Asia (FMA) dalam bidang fesyen serta gaya hidup.
Selain itu, ‘seeNI Talent’ diperkenalkan bagi memadankan bakat yang bersesuaian dengan keperluan kandungan, kempen jenama, acara dan peluang komersial. Pemilihan bakat mengambil kira rekod kerja, kesesuaian khalayak serta kesediaan mereka untuk terlibat, sekaligus membolehkan pelanggan mendapatkan penyelesaian yang lebih tersusun mengikut objektif masing-masing.

Hala tuju baharu ini turut diketengahkan menerusi acara ‘The New World of seeNI’ yang berlangsung di D’Theatre Malaysia, Hextar World at Empire City, pada 29 Oktober. Acara tersebut memperkenalkan barisan kandungan seeNI untuk tahun 2027, barisan bakat serta peluang kerjasama kepada pengiklan, peneraju jenama dan pemain industri.
Berpandukan slogan “More Begins Here”, seeNI berhasrat menjadi destinasi bersepadu yang membolehkan pelanggan meneroka lebih banyak pilihan kandungan dan peluang perniagaan. Melalui penyatuan identiti serta pengukuhan kerjasama merentas platform, syarikat itu menyasarkan pertumbuhan baharu dan pembinaan perniagaan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!













