Noghori Arts School Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Najihah dari Seremban, Negeri Sembilan telah membanggakan negera setelah ia merangkul dua kejuaraan di pertandingan International Folklore and Music Competition Prague ke-43 di Republik Czech.
Menerusi kategori ‘Nyanyian Duo Junior 1’, dua pelajarnya berusia 13 tahun iaitu Jeszel Iskandar Mohd Azhar dan Rayyen Fitri Syafiyudin telah membawakan lagu Mentera Semerah Padi dan berjaya menambat hati panel juri antarabangsa di sana.
Manakala dalam kategori ‘Music Band’ pula, kumpulan dari Noghori Arts School yang dikenali sebagai The Jang’s tampil mempersonakan menerusi lagu medley Gema Tradisi.
Dengan konsep campuran seni kontemporari dan budaya tradisi, lima orang pelajar berusia 13 hingga 16 tahun dari The Jang’s telah menewaskan 40 lagi pasukan lain dari seluruh dunia. Tambah impresif apabila The Jang’s dilaporkan baru sahaja ditubuhkan di bawah Noghori Arts School.
Mantap, bukan?
Ads
Memetik kenyataan Pengetua SMK Tunku Ampuan Najihah iaitu Nor Hayati Abdul Rahman kepada BERNAMA, beliau menzahirkan rasa bangganya dengan kejayaan yang dikecapi dan menghargai usaha pasukan tersebut serta tenaga pengajar terlibat demi mengharumkan nama Malaysia dan Negeri Sembilan, khususnya.
Beliau turut mengharapkan agar lebih banyak penyertaan pelajar akan diterima pada masa akan datang untuk merebut peluang ke pertandingan-pertandingan antarabangsa bagi bidang nyanyian, lakonan teater, seni tari dan seni visual.
Ads
Sambil menganggap tiada apa yang mustahil setelah melihat kejayaan Noghori Arts School yang baru ‘setahun jagung’ ditubuhkan, dua kemenangan ini adalah satu titik permulaan yang baik untuk menginspirasikan pelajar sekolah menengah lain yang berbakat.
Pertandingan International Folklore and Music Competition Prague ke-43 berlangsung dari 11-21 Disember lepas dan turut disertai oleh beberapa lagi pasukan sekolah menengah tempatan dari negeri berlainan menerusi kategori berbeza.
Terdahulu, REMAJA pernah melaporkan kejayaan kumpulan koir Vocal Pizzest Malaysia yang memenangi dua pingat emas di Calella dan Barcelona, baru-baru ini.
Bagi korang yang setia mengikuti aksi skuad badminton Malaysia dalam perlawanan kumpulan D menentang Kanada sebentar tadi, pastinya korang sedar akan peranan besar yang dimainkan oleh pemain bernama Cheam June Wei ini.
Turun sebagai perseorangan kedua negara bagi kejohanan Thomas Cup yang sedang berlangsung di Denmark sekarang, dia berjaya menundukkan lawan dari Kanada, Jason Anthony dengan keputusan 21-14, 21-14; lalu memberikan kemenangan selesa kedua buat Malaysia selepas ‘skipper’ atau pemain perseorangan pertama negara, Lee Zii Jia beraksi cemerlang dalam perlawanan pertama.
Sejak persediaan Sukan Olimpik Tokyo 2020, banyak media memperkatakan mengenai Lee Zii Jia namun tidak banyak yang menyentuh mengenai kemampuan Cheah June Wei.
Pemain berusia 24 tahun ini sebenarnya telah ‘melompat jauh’ dalam arena badminton antarabangsa.
Bayangkan sajalah, dia terpaksa bergelut setelah disahkan positif Covid-19 pada awal 2021. Lantas, episod muram itu memaksa June Wei menggantung raket buat seketika waktu dan berehat.
Namun, dia pantas bangkit untuk kembali memberi saingan di peringkat antarabangsa seperti di kejohanan Thomas Cup ini.
Jika pada edisi Thomas Cup 2018 di Bangkok, June Wei telah memainkan peranan sebagai ‘personal sparring partner’ atau rakan latihan peribadi kepada bekas juara dunia badminton, Datuk Lee Chong Wei.
Dalam masa tiga tahun saja, peranan itu telah berubah dan kini dia memegang tanggungjawab sebagai salah seorang hero negara yang melakukan debut di Aarhus, Denmark.
Tentunya, pengalaman bersama Lee Chong Wei itu merupakan peluang keemasan untuknya ‘menangkap’ skil terbaik dan cara mengatasi tekanan semasa di atas gelanggang. Kesemua itu cuba diaplikasikan dalam perlawanan pada pagi tadi. Dan kami percaya, ini baru satu permulaan berpotensi bagi June Wei.
Bayangkan sajalah, biarpun Malaysia kecundang di tangan Indonesia pada peringkat suku akhir Thomas Cup 2018, Chong Wei telah memenangi kesemua perlawanan beliau. Talk about learning from the best!
Di atas kertas, June Wei mungkin masih hijau dalam arena ini. Namun ingat, Lee Chong Wei dahulu pun mula memenangi kejohanan besarnya pada usia 24 tahun di Sukan Komanwel 2006 (pingat emas) dan Kejohanan Asia 2006 (pingat emas). Tidak mustahil, dia juga mampu menyaingi prestasi idolanya itu tidak lama lagi.
Apapun, all the best kepada skuad muda badminton negara di Thomas Cup! Teruskan momentum seperti kejayaan 5-0 ke atas Kanada awal pagi tadi.
P.S: Ini yang naik semangat nak angkat raket ni, hehe..
Biarpun kehidupan ramai juruterbang telah terjejas apabila negara diancam musim pandemik sepanjang dua tahun lepas, masih ramai remaja yang mengekalkan cita-cita mereka sebagai juruterbang dan ingin melanjutkan pengajian ke akademi penerbangan satu hari nanti.
Begitupun, tidak kurang juga yang selalu berteka-teki mengenai cara terbaik untuk mereka menyertai industri penerbangan ini. Di manakah akademi terbaik bagi pengajian tertiari mereka, syarikat manakah yang harus mereka idamkan sebaik sahaja bergelar graduan dan pelbagai lagi pertanyaan yang berlegar di minda bakal juruterbang ini.
Peluang yang diperolehi REMAJA untuk bertanyakan mengenai pengalaman membina kerjaya daripada seorang juruterbang berjaya baru-baru ini tidak kami lepaskan. Jom selami serba sedikit bagaimana juruterbang Emirates kelahiran Kuala Lumpur, Tien Rern memulakan langkah dalam bidang ini sebagai inspirasi untuk korang semua.
Juruterbang Emirates Airlines, Tien Rern, 34 dari Kuala Lumpur, Malaysia.
Bagaimanakah impian menjadi juruterbang ini bermula? Siapakah yang memberikan inspirasi kepada anda?
Tien Rern (TR): Impian ini bermula sejak ibu saya membelikan buku dan ensiklopedia yang mempunyai maklumat serta gambar berkenaan kapal terbang. Saya menganggap diri ini amat bertuah kerana berpeluang melancong bersama keluarga sejak usia kecil lagi.
Dalam suatu penerbangan ke luar negara, keluarga saya berjaya menyampaikan hasrat saya untuk menjadi seorang juruterbang kepada kapten pesawat itu dan saya dijemput untuk melawat dek penerbangan itu (lawatan ke dek penerbangan adalah dibenarkan sebelum tahun 2001).
Secara kebetulan, penerbangan pulang ke tanah air juga dipandu oleh juruterbang yang sama. Oleh itu, sekali lagi saya diberi peluang melawat ke dek penerbangan. Sejak itu, saya bertekad untuk merealisasikan impian saya untuk menjadi seorang juruterbang.
Bagaimanakah pengalaman anda menyertai Akademi Penerbangan dan seterusnya memulakan latihan di syarikat penerbangan terkemuka, Emirates?
(TR): Saya menyertai akademi penerbangan di Pulau Langkawi dan pengalaman tersebut amat istimewa buat diri saya. Saya baru berusia 17 tahun dan mencapai umur minima untuk memulakan latihan menjadi seorang juruterbang. Saya mula memandu kapal terbang sebelum memperolehi lesen memandu kereta lagi!
Selepas tamat latihan di akademi penerbangan, saya dihantar terus untuk menyambung latihan sebagai juruterbang kapal terbang Boeing 737. Semasa di akademi penerbangan, kami diajar teori penerbangan asas di dalam kapal terbang kecil tetapi pengalaman untuk menerbangkan sebuah kapal terbang jet Boeing 737 adalah amat berlainan dan sukar sekali.
Nasib baik pada masa itu terdapat ramai juruterbang pelatih dan rakan-rakan senior yang sudi berkongsi pengetahuan serta pengalaman. Segala latihan saya perolehi pada masa itu telah menjadi asas kerjaya penerbangan komersial saya.
Semasa memulakan latihan penerbangan bersama Emirates, saya sudahpun mempunyai pengalaman memandu kapal terbang Boeing 777 dan agak fasih dengan bahagian teknikal serta pengendalian kapal terbang itu. Oleh demikian, saya mengambil peluang memberikan lebih perhatian untuk belajar berkenaan dengan prosedur dan operasi serta destinasi pihak penerbangan Emirates yang amat luas sekali.
Tien Rern sewaktu melawat bumi Athens di Eropah dan menunggang kuda di Harare, Zimbabwe.
Pada pendapat anda, bagaimanakah pandemik COVID-19 memberi kesan kepada juruterbang seperti anda. Dan bagaimanakah diri anda kini pada era endemik?
(TR): Pada tahun 2020, wabak Covid-19 hampir menutup kesemua perjalanan udara. Meskipun pihak Emirates antara yang terpantas dalam memulakan semula operasi penerbangan, aktiviti penerbangan pada zaman wabak Covid-19 memang penuh dengan sekatan.
Banyak sempadan negara telah ditutup dan ini bermakna kami tidak dapat singgah untuk berehat setelah tiba di destinasi. Kami terpaksa menerbangkan juruterbang tambahan untuk penerbangan pulang. Untuk memastikan kami tidak terdedah kepada wabak itu, kami terpaksa pula menjalani ujian PCR selepas setiap penerbangan selain perlu mengikuti tempoh kuarantin ketat selepas setiap penerbangan untuk memastikan kami tidak membawa pulang wabak kepada keluarga ataupun komuniti.
Syukurlah sekarang keadaan sudah beransur pulih seperti sedia kala. Kapal terbang juga semakin penuh dengan penumpang dan kami dibenarkan semula untuk singgah sambil berehat di destinasi.
Majoriti pembaca REMAJA ingin mendengar antara kelebihan yang diterima juruterbang di syarikat Emirates, hehe! Boleh kongsikan lebih mengenainya?
(TR): Untuk mana-mana juruterbang yang berhasrat untuk memandu kapal terbang ‘widebody’ ke pelbagai destinasi baru, anda perlulah menyertai Emirates Airlines.
Sebagai seorang juruterbang Emirates, anda akan berpusat di Dubai dan diberi pilihan untuk tinggal di vila atau rumah yang disediakan oleh pihak syarikat; ataupun membeli sebuah kediaman di UAE dengan mengunakan elaun perumahan yang disediakan. Elaun pendidikan juga diberikan kepada keluarga yang mempunyai kanak-kanak yang masih berada di sekolah.
Jika anda gemar untuk melancong seperti saya, Emirates mempunyai sistem tiket kakitangan yang cekap dimana pembelian tiket untuk terbang ke mana-mana destinasi Emirates dapat diperolehi dengan mudah.
Kami juga diberi satu tiket percuma pada setiap tahun untuk pulang ke tanah air dan juga peluang membeli tiket-tiket diskaun bagi pihak keluarga serta kawan-kawan sekiranya pesawat itu masih mempunyai tempat kosong.
Tien Rern juga menikmati kehidupan menetap di Dubai UAE dan masih berpeluang pulang ke Malaysia sekurang-kurangnya sekali setahun. Di sini, dia berada di lokasi pelancongan terkenal Dubai Creek (kiri) dan di kota New York, Amerika Syarikat.
Wow best-nya! Sekiranya anda mempunyai satu nasihat kepada remaja yang ingin berlatih menjadi seorang juruterbang, apakah ia?
(TR): Ikut sahaja impian anda dan jangan berputus asa.
Pada permulaan, anda pasti akan menikmati pengalaman terbang dengan bebas di ruang udara. Meskipun ia akan mengambil sedikit masa untuk memperolehi waktu penerbangan serta pengalaman mencukupi untuk menyertai syarikat penerbangan komersial tetapi ingatlah, suatu hari nanti anda akan melihat keluar dari tingkap dek penerbangan pada aras ketinggian 37000 kaki dan mengingati detik-detik perjalanan yang amat menarik untuk menjadi seorang juruterbang.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Dengan itu untuk merasmikan pelantikan ini, esok akan berlangsungnya Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di Istana Negara pada jam 2.30 petang.
*
Melihatkan kepada sosok figura ini yang lebih santai, relaks dan bersifat diplomatik dalam menangani apa-apa perihal negara, tidak hairanlah Dato’ Seri Ismail Sabri bersifat sedemikian rupa memandangkan beliau merupakan graduan jurusan undang-undang satu ketika dahulu.
Cara percakapannya teratur, malah setiap soalan yang dikemukakan wartawan juga dijawab dengan tertib.
Dato’ Seri Ismail Sabri terlebih dahulu mendapat pendidikan awal dari Sekolah Kebangsaan Bangau dan Sekolah Menengah Air Putih Kuantan serta Sekolah Menengah Teknik Kuantan di Pahang.
Keinginan beliau yang dahagakan ilmu dan ingin berjaya telah menempatkannya dalam pengajian Tingkatan Enam di Jaya Akademik sebelum meneruskan pengajian di Universiti Malaya pada tahun 1980.
Di sana, beliau memilih jurusan undang-undang bermula tahun 1980 hinggalah berjaya menamatkannya. Malah, beliau pernah menghasilkan laporan tesis berjudul ‘Layanan Terhadap Tahanan Politik Di Malaysia’.
Interesting..
Ismail Sabri semasa berada di alma mater, Universiti Malaya baru-baru ini untuk meninjau pengurusan para pelajar semasa dibenarkan pulang.
Kesempatan berkhidmat sebagai seorang peguam pada tahun 1985 digunakan beliau sebagai pengalaman berguna sebelum beralih angin menyertai bidang politik.
Disebabkan kelebihan pendidikan dan pekerjaan profesional, beliau menjadi di antara ahli termuda yang menceburi politik tanpa sebarang ‘kekecohan’. Jarang sekali kita mendengar Dato’ Seri Ismail Sabri dicemari kontroversi politik mahupun isu besar yang menganggu gugat kesejahteraan parti politik yang diwakilinya ataupun negara, secara amnya.
Pelatikan sebagai Perdana Menteri kesembilan ini juga sebenarnya boleh dijangka oleh orang ramai sejak Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan Isnin lalu.
Ini disebabkan penglibatan menyeluruh Dato’ Seri Ismail Sabri dalam menangani kemelut wabak COVID-19. Bukan calang-calang figura mampu mengemudi jawatan Menteri Kanan Keselamatan yang terpaksa berdepan dengan ‘expectation’ melangit daripada rakyat pada setiap hari. Lantas, pengalaman beliau memimpin dalam musim pandemik sejak tahun lalu menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri paling bersedia bagi waktu ini.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!