
Penyanyi terkenal, Minho daripada kumpulan popular SHINee sekali lagi mencuri perhatian peminat baru-baru ini apabila menyertai pertandingan kecergasan Hyrox yang berlangsung di Osaka pada 1 Februari lalu sekaligus membuktikan komitmennya terhadap gaya hidup aktif, meskipun jadual seninya padat dengan aktiviti persembahan berskala besar.
Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Minho atau nama sebenarnya Choi Minho berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 1 jam 5 minit 6 saat, termasuk jumlah masa larian selama 31 minit 44 saat. Keputusan itu juga meletakkannya di kedudukan kesembilan bagi kategori umur 30 hingga 34 tahun, selain berada di tempat ke-26 untuk ranking keseluruhan dalam campuran lelaki dan wanita.
Walaupun berjaya mencatatkan keputusan memberangsangkan, Minho secara jujur mengakui bahawa prestasinya kali ini masih belum mencapai tahap yang diharapkannya.
“Ah… Hyrox. Saya membuat persiapan seorang diri, namun di penghujung perlumbaan saya gagal. Saya benar-benar kecewa,” katanya.
“Saya tiba-tiba hilang fokus ketika memulakan Lunges, dan ia benar-benar mengecewakan. Namun, begitulah proses seseorang untuk terus berkembang. Berkat sokongan korang, saya berjaya mengharungi semua. Terima kasih. Di masa akan datang, saya akan tampil dengan lebih baik,” tambahnya.
Susulan itu, keikhlasan Minho dalam berkongsi perasaannya nyata mengundang pelbagai reaksi positif daripada peminat di media sosial, di mana ramai yang tetap berbangga dengan pencapaian ‘K-Pop idol’ tersebut dan menyifatkan usaha beliau menyertai pertandingan berintensiti tinggi sebagai satu pencapaian luar biasa.
Tidak terhenti di situ, Minho juga difahamkan tidak berehat lama selepas menamatkan pertandingan tersebut. Pada malam yang sama, beliau terus berlepas ke Fukuoka untuk tampil dalam konsert SMTOWN hari kedua, sekaligus membuktikan tahap ketahanan fizikal yang mengagumkan.
Hal tersebut secara tidak langsung menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat apabila sebuah rakaman ‘fancam’ menunjukkan nombor penyertaan Hyrox masih jelas terlekat di lengannya ketika berada di atas pentas.
Untuk rekod, Minho sememangnya dikenali sebagai antara ahli SHINee yang paling aktif dalam bidang sukan. Selain larian dan latihan gim, beliau juga sering terlibat dalam pelbagai aktiviti fizikal seperti bola sepak, golf dan latihan stamina. Gaya hidup aktif ini bukan sahaja membantu mengekalkan prestasi pentasnya, malah menjadi inspirasi kepada peminat untuk mengamalkan kehidupan yang lebih sihat.
Sumber: Instagram Choi Min Ho SHINee
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.