
Baru-baru ini, bintang K-Pop terkenal, Suga BTS atau nama sebenarnya Min Yoongi meraih perhatian apabila beliau terlibat sebagai penulis bersama dalam penerbitan sebuah manual terapi berasaskan muzik yang dikenali sebagai “MIND Program”. Inisiatif ini dilihat sebagai satu langkah signifikan dalam menggabungkan elemen seni dan kesihatan mental, khususnya dalam membantu individu dengan gangguan spektrum autisme.
Menurut Severance Hospital di Seoul, program MIND yang membawa maksud Music, Interaction, Network and Diversity dibangunkan sebagai pendekatan alternatif untuk menyokong kanak-kanak dan remaja yang berdepan cabaran autisme melalui aktiviti muzik yang lebih tersusun dan interaktif.
Berbeza dengan pendekatan konvensional yang banyak bergantung kepada kefahaman bahasa serta keupayaan kognitif, program ini memberi fokus kepada pembangunan kemahiran sosial melalui pengalaman praktikal. Peserta didedahkan kepada aktiviti seperti memilih instrumen muzik serta terlibat dalam persembahan secara berkumpulan.
BACA: SUGA BTS Sentuh Hati Masyarakat, Sumbang 5 Bilion Won Bina Pusat Rawatan Autisme Di Seoul
Dalam pada itu, pendekatan ini difahamkan bukan sahaja membantu meningkatkan keyakinan diri, malah membuka ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara lebih natural tanpa tekanan komunikasi secara verbal yang kompleks.
Selain itu, program ini disusun dalam 12 sesi yang dirangka secara progresif, bermula daripada interaksi asas sebelum berkembang kepada aspek kesedaran emosi, komunikasi dan seterusnya penghasilan muzik secara kolaboratif antara peserta.
Penglibatan penyanyi rap yang kini berusia 33 tahun dalam projek ini juga diketahui oleh ramai pihak bermula sejak tahun 2024 selepas Suga bekerjasama dengan pakar psikiatri, Cheon Keun-ah. Selain menyumbang idea pada peringkat awal pembangunan, beliau juga turut terlibat secara langsung sebagai tenaga pengajar sukarelawan dalam fasa percubaan program tersebut.
Malah, sumbangan besar beliau sebanyak 5 bilion Korea Won (sekitar RM17 juta) turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Pusat Rawatan Min Yoongi di Severance Hospital pada September lalu, yang kini menjadi lokasi utama pelaksanaan program berkenaan.
Dalam perkembangan sama, Cheon Keun-ah menyifatkan sumbangan Suga BTS sebagai antara faktor utama yang merealisasikan MIND Program dan berharap manual ini dapat dimanfaatkan oleh pengamal klinikal serta pakar di seluruh dunia dalam usaha memperluaskan pendekatan terapi berasaskan muzik.
BACA: “Saya Juga Makan Selepas Matahari Terbenam” Suga BTS Akui Faham Tentang Puasa Ramadan
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.