
Jaguh Muay Thai negara, Emylia Lynn Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali sebagai Mia Ghazali baru-baru ini meraih perhatian apabila berjaya meraih pingat emas acara Muay Thai wanita kategori 42 hingga 45 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
Difahamkan, atlet kelahiran Sarawak yang kini berusia 15 tahun itu, menewaskan wakil Johor, Damia Husna Azian dengan keputusan 34-33 dalam aksi final yang berlangsung di KSL Esplanade Mall, Klang, pada Ahad.
“Saya sudah berlatih kira-kira dua bulan untuk teknik dan banyak memberi fokus kepada latihan. Semuanya berbaloi dan saya sangat gembira serta berpuas hati dengan keputusan ini,” katanya.
“Saya percaya kepada latihan saya, percaya kepada jurulatih dan percaya kepada Allah. Tidak lupa juga kepada keluarga saya,” ujarnya lagi.



Kemenangan tipis itu hadir selepas Mia mengharungi pertarungan sengit menentang Damia yang enam tahun lebih berusia daripadanya, dengan kedua-dua atlet saling berbalas serangan sehingga ke pusingan terakhir.
Bagaimanapun, Mia berjaya mengekalkan ketenangan ketika berdepan tekanan pada penghujung aksi sebelum mempertahankan kelebihan satu mata tersebut untuk memastikan emas menjadi milik kontinjen Sarawak.



Lebih istimewa, kejayaan itu turut menyambung legasi keluarganya dalam sukan Muay Thai, sekaligus membuktikan bahawa bakat serta kecenderungan terhadap sukan berkenaan terus diwarisi generasi keluarga Ghazali.
Untuk info, saingan Muay Thai SUKMA Selangor 2026 yang berlangsung selama lima hari dari 19 hingga 23 Ogos itu menyaksikan sebanyak 12 kategori dipertandingkan, dengan kemenangan Mia menjadi antara pencapaian penting buat kontinjen Sarawak.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!












