Kemeriahan ribuan penyokong yang membanjiri Dataran Merdeka bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina bertukar menjadi topik hangat di media sosial apabila kawasan ikonik itu ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah.
Seawal pagi Ahad, orang ramai hadir dengan semangat untuk meraikan pesta bola sepak terbesar dunia. Sorakan, laungan dan suasana meriah jelas menggamatkan Dataran Merdeka sepanjang perlawanan berlangsung.
Namun, sebaik sahaja aksi final berakhir, gambar dan video memaparkan keadaan padang bersejarah itu yang dipenuhi botol minuman, bekas makanan, plastik, tisu serta pelbagai jenis sisa mula tular di pelbagai platform media sosial.
Kemeriahan Final Bertukar Kekecewaan

Insiden tersebut mengundang rasa kecewa ramai, termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keadaan itu.
Menerusi hantaran di Facebook, DBKL memaklumkan pihaknya akan menjalankan kerja pembersihan di kawasan berkenaan, namun mengingatkan bahawa menjaga kebersihan ruang awam adalah tanggungjawab bersama dan bukannya hanya terletak di bahu petugas pembersihan.
Menurut DBKL, Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, malah merupakan simbol sejarah dan maruah negara yang perlu dihormati oleh setiap pengunjung.
“Dataran Merdeka ialah lambang maruah dan sejarah negara, manakala cara orang ramai meninggalkan kawasan itu mencerminkan tahap penghargaan terhadapnya.”
DBKL turut menegaskan bahawa orang ramai bebas meraikan sesuatu acara dengan penuh semangat, namun kebebasan itu tidak bermaksud mereka bebas mengotorkan ruang milik bersama.
“Kuala Lumpur ialah rumah kita. Jagalah seperti kita menjaga rumah sendiri.”
Tidak lama selepas kenyataan itu dimuat naik, ruangan komen di Facebook, Instagram dan TikTok dibanjiri pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa malu serta kecewa terhadap sikap segelintir individu yang meninggalkan sampah selepas acara tamat.

“Dah 2026, Masih Mentaliti Low Class”
Antara komen yang paling banyak dikongsikan ialah, “Mentaliti sampah dari rakyat kelas ketiga,” selain komen seperti “Dah 2026, masih dengan mentaliti low class,” dan “This is Malaysia… aduh malunya Malaysia ku.”
Ada juga yang mempersoalkan bagaimana sebuah acara bertaraf antarabangsa yang menghimpunkan ribuan orang masih boleh berakhir dengan keadaan yang mencemarkan imej ibu negara.
Pada masa sama, ramai berpendapat isu ini bukan lagi berpunca daripada kekurangan tong sampah atau kemudahan awam, sebaliknya melibatkan sikap serta kesedaran sivik setiap individu.
Segelintir netizen turut membandingkan situasi itu dengan budaya penyokong di beberapa negara seperti Jepun yang terkenal dengan amalan mengutip dan membawa pulang sampah sendiri selepas tamat sesuatu perlawanan atau acara besar.
Isu Bukan Tong Sampah, Tetapi Sikap
Bagi mereka, kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal atau keupayaan menganjurkan acara bertaraf dunia, tetapi turut dinilai menerusi disiplin dan tanggungjawab rakyat dalam menjaga kebersihan ruang awam.
Insiden di Dataran Merdeka ini sekali lagi membuka perbincangan mengenai pentingnya memupuk budaya sivik dalam kalangan masyarakat. Meraikan kemenangan atau menikmati sesuatu acara sememangnya tidak menjadi masalah, namun sikap bertanggungjawab selepas acara berakhir juga sama penting.
Anda mungkin berminat dengan
Akhirnya, persoalan yang timbul dalam kalangan netizen bukan lagi mengenai siapa yang menang atau kalah di pentas Piala Dunia, tetapi mengapa masih ada segelintir masyarakat yang memilih untuk meninggalkan sampah di tempat awam tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain.
Mungkin sudah tiba masanya budaya “bukan sampah aku” ditinggalkan. Kerana sebuah bandar yang bersih bukan bergantung kepada jumlah petugas pembersihan, tetapi kepada sikap rakyat yang menggunakannya.
Sumber : Metro
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Jaguh pelari menara negara, Soh Wai Ching meraih kejuaraan dunia sulungnya selepas berjaya menawan Menara Taipei 101 di Taiwan menerusi saingan The Towerrunning World Championships.
Atlet berusia 30 tahun itu melakukan catatan masa 11:35.61s saat pada larian pertama dan 7:1.01s pada larian kedua untuk meraih gelaran pada saingan edisi ke-3 itu, yang berlangsung pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Pecah Rekod Di China, Soh Wai Ching Tawan Menara Setinggi 81 Tingkat!

“Saya sangat gembira kerana dapat memenangi kejuaraan dunia ini selepas enam tahun. Kejohanan sebelum ini berlangsung pada 2018.
“Ia kemudian sepatutnya berlangsung pada 2020 tetapi akibat pandemik Covid-19 ia terpaksa ditangguh. Saya telah lama menantikan saat-saat ini dan akhirnya saya berjaya,” katanya bangga.
Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, Ravinder Singh dalam kenyataan berkata Malaysia telah meraih pencapaian signifikan dalam sukan itu selepas Wai Ching dinobatkan sebagai Juara Dunia yang baharu.

“Perjalanan ke puncak menjadi bukti kepada dedikasi dan sikap konsistennya, dalam kemuncak kerjayanya sejak 2020. Selepas empat tahun mengekalkan prestasi cemerlangnya, beliau telah merangkul kejayaan tertinggi sukan ini,” ujarnya.
Sekadar info, Wai Ching melakukan larian setinggi 91 tingkat pada larian pertama dan 59 tingkat pada larian kedua.
Secara keseluruhan, pelari menara nombor satu dunia itu mencatat 18 minit dan 36.62 saat meninggalkan pencabar utama, Ryoji Watanabe di tempat kedua.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
KREDIT FOTO/ARTIKEL: Instagram Wai Ching & Berita RTM
∞
Fesyen secara amnya merupakan satu permainan ‘love-hate’ di antara pemakai dan pemerhati. Dalam landasan fesyen tempatan mahupun antarabangsa, kita tidak boleh menganggap semua orang akan menggemari atau boleh menerima gaya yang kita peragakan.
Dalam dunia fesyen masa kini, kuasa digital tidak boleh diperlekehkan. Apa saja yang diperkenalkan pasti akan menjadi perbualan warga maya dan respon yang diterima daripada mereka boleh berbaur positif mahupun negatif.
REMAJA percaya ramai berpendapat apa jua jenis publisiti – baik yang positif atau negatif – adalah publisiti yang baik untuk mempromosikan sesebuah jenama fesyen ataupun produk kepada orang ramai. Namun tidak semua jenama mempunyai ‘hati kental’ untuk berdepan dengan publisiti negatif; tidak semua jenama fesyen boleh menjadi sekuat jenama fesyen tempatan, Behati.
Baru-baru ini, Behati dan pengasas, Kel Wen kembali menjadi topik kontroversi dalam kalangan warga maya setelah koleksi yang diperagakannya sempena acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2022 telah ditempelak oleh ramai pihak disebabkan penggunaan identiti kebudayaan sehingga timbul isu ‘mencedok budaya’ atau cultural appropriation.

Di antara poin yang ‘mencucuk’ sensitiviti warga maya sewaktu pertunjukan fesyen Behati tempoh hari adalah penggunaan Songkok oleh Kel Wen yang memakai celana pendek tanpa baju dan kot labuh.
Setelah menerima tempias negatif oleh warga maya, Kel Wen berpendapat pemakaian songkok olehnya di KLFW hanyalah simbolik kepada penerimaannya terhadap budaya serta agama Islam dalam masyarakat majmuk di Malaysia; mengikut gaya hidupnya.
“Apabila saya membaca komen-komen anda, secara seriusnya, saya tiada niat untuk memperlekehkan mana-mana agama. (Agama) Islam ialah agama yang cantik dan (apabila saya) membesar bersama masyarakat Muslim di Malaysia, (saya) secara semulajadi mudah mendapat pengaruh dalam karya seni serta stail saya.
“Pesanan ini adalah untuk haters yang tidak melakukan kajian mereka. Anda tidak perlu menerima (gaya dan idea saya) kerana stail ini masih belum biasa dalam fesyen lelaki tempatan.
“Tetapi tolong jaga mulut anda jika mahu dikenali sebagai contoh ‘bersederhana’. Untuk menjadi sederhana bukanlah disebabkan pemakaian tetapi pertuturan,” selar Kel Wen.
Tambahnya lagi, koleksi PERANAKAN yang dipersembahkan di KLFW baru-baru ini menceritakan tentang keindahan perkahwinan campur di antara bangsa berbeza dan busana terakhir yang diperagakan oleh usahawan kontroversi, Dato’ Sri Vida adalah intepretasinya terhadap fesyen campuran budaya.

Empunya badan sudah bersuara, apa pula pendapat korang terhadap pemakaian aksesori tradisional atas tiket untuk berfesyen?
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞
Nama Soh Wai Ching sekali lagi mengharumkan negara di persada dunia apabila beliau berjaya memecah rekod dunia bagi kategori jarak simulasi pendakian terjauh menggunakan mesin tangga dalam masa satu jam. Lebih membanggakan, pelari menara negara ini turut mencipta empat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records menerusi percubaan yang sama.
Dalam satu hantaran di Facebook, Soh berkongsi detik bersejarah itu yang menyaksikan beliau mencatat jarak 1.788 kilometer dalam tempoh 60 minit — bersamaan dengan empat kali ketinggian Menara Berkembar PETRONAS (KLCC). Rekod ini sekaligus memadam rekod lama milik atlet United Kingdom, David Mahoney yang mencatat 1.748 kilometer.
Cabaran Mental dan Fizikal Yang Ekstrem
“Sukar tetapi saya berjaya mengharunginya! Terima kasih atas semua sorakan!” tulis Soh dalam perkongsiannya.
Menurutnya, sesi simulasi ini jauh lebih mencabar daripada pertandingan mendaki sebenar kerana tiada gangguan luar. Ia menguji ketahanan minda dan fizikal kerana pendakian dilakukan secara berterusan tanpa henti selama satu jam. “Mencabar minda, tanpa henti selama satu jam. Memang sukar. Masih tidak percaya bahawa saya berjaya mengharunginya,” katanya penuh semangat.
Empat Rekod Malaysia Serentak
Selain mencipta rekod dunia, Soh turut mencatat empat pencapaian dalam Malaysia Book of Records, iaitu:
-
Fastest Time to Climb the Height of PETRONAS Twin Towers on a Stair Climb Machine (451.9m)
-
Fastest Time to Climb the Height of Merdeka 118 on a Stair Climb Machine (678.9m)
-
Fastest Vertical Kilometer Climb on a Stair Machine
-
Longest Vertical Climb Distance on a Stair Machine in One Hour
Pencapaian ini menjadikan Soh bukan sahaja atlet larian menara terbaik negara, malah antara yang terunggul di dunia dalam kategori ini.

Jarak Yang Setanding Bangunan Ikonik Dunia
Untuk memberi gambaran yang lebih jelas, jarak 1.788 km yang didaki Soh dalam masa satu jam bersamaan dengan:
-
4 kali Menara Berkembar PETRONAS
-
4 kali Menara Empire State, New York
-
2 kali Menara Burj Khalifa, Dubai
-
2.5 kali Menara Merdeka 118
Angka ini membuktikan betapa luar biasanya pencapaian Soh, dan mengangkat standard baharu dalam sukan larian menara.
Dari Malaysia ke Dunia
Di usia 30 tahun, Soh Wai Ching kini bukan sahaja ikon sukan ekstrem negara, malah juga sumber inspirasi buat remaja Malaysia. Beliau membuktikan bahawa dengan latihan konsisten, fokus dan mentaliti kental, tiada impian yang mustahil walaupun impian itu setinggi 1,788 meter!
BACA LAGI : Pelajar UiTM Cipta Sejarah, Raih No. 3 Dunia Peperiksaan ACCA
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
∞