
Terbaru, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan satu bentuk penilaian pembelajaran baharu sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan negara, melibatkan murid Tahun 4 dan pelajar Tingkatan 3 dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Pengumuman tersebut dimaklumkan ketika Datuk Seri Anwar berucap pada Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035, pada Selasa, yang menandakan permulaan fasa baru dalam penilaian pembelajaran di sekolah.
Menurutnya, Pengukuran Pembelajaran bagi murid Tahun 4 akan mula dilaksanakan pada tahun ini dan melibatkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
BACA: Kerajaan Selaras Umur Kemasukan Sekolah Bermula 2027: Prasekolah 5 Tahun, Darjah Satu 6 Tahun
Sementara itu, Pengukuran Pembelajaran bagi pelajar Tingkatan 3 pula dijadualkan bermula pada tahun 2027 dengan melibatkan lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah.
“Kedua-dua pengukuran ini akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan (LP) secara berpusat. Nama lain bagi pengukuran ini adalah Matriks Pembelajaran Malaysia,” katanya.
Di samping itu, beliau turut menjelaskan, pelaksanaan penilaian baru ini merupakan sebahagian daripada usaha reformasi pendidikan negara yang bersifat menyeluruh dan berani, sejajar dengan aspirasi RPN 2026–2035.
BACA: KPT Ambil Alih Tingkatan Enam & Matrikulasi Bermula 2026, Status Prauniversiti Berubah
BACA: Pendidikan Percuma OKU IPTA: Langkah Berani & Inklusif Kerajaan Demi Masa Depan Lebih Adil
Tambahnya, reformasi tersebut memberi penekanan kepada pengukuhan jati diri dan kenegaraan, mempertingkat intervensi pendidikan pada peringkat awal kanak-kanak, serta memartabatkan peranan guru sebagai tunjang sistem pendidikan.
Pada masa yang sama, Rancangan Pendidikan Negara turut memberi penekanan kepada usaha memperkasa sistem pendidikan tinggi supaya menjadi lebih terangkum dan adil, termasuk dengan membuka akses yang lebih luas kepada pelajar daripada golongan miskin, pelajar berkeperluan khas serta bakat terbaik negara tanpa mengira latar belakang.
Selain itu, ikhtiar tersebut dilihat bukan sekadar tertumpu kepada perubahan struktur atau dasar pendidikan semata-mata, sebaliknya bertujuan melahirkan generasi yang berakar kukuh pada nilai dan jati diri, yakin terhadap identiti nasional, cekal dalam menghadapi perubahan semasa, serta berkeupayaan mengangkat masa depan Malaysia berteraskan ilmu, adab dan ihsan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.