
Baru-baru ini, Malaysia mengukir kejayaan cemerlang apabila mendominasi ASEAN TVET Friendly Match 2025 dengan meraih tujuh pingat emas daripada sembilan kategori kemahiran vokasional yang dipertandingkan dalam bidang berkaitan sektor kemahiran vokasional.
Pertandingan serantau yang berlangsung dengan penyertaan 12 negara ini menyaksikan Malaysia muncul sebagai juara dalam bidang Penerapan Bata, Pertukangan Kayu, Pertukangan Kabinet, Pembinaan Digital, Pendawaian Elektrik, Paip dan Pemanasan serta Kimpalan.
Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, beliau menyifatkan kejayaan ini sebagai simbol semangat serantau dan komitmen kolektif ke arah masa depan ASEAN yang inklusif dan berdaya saing.
“Pertandingan ini membuktikan kemahiran adalah enjin pembangunan sesebuah negara. Misalnya, Dari Batu Bata ke Rekabentuk Digital, dari Pendawaian Elektrik hingga Penyaman Udara, setiap bidang kemahiran yang dipertandingkan bukan hanya menguji kepakaran teknikal, tetapi daya tahan mental, kreativiti penyelesaian masalah dan komitmen kepada kecemerlangan profesional,” katanya.
Tambah beliau, pertandingan ini menggunakan piawaian WorldSkills Occupational Standards (WSOS) sebagai asas penilaian, menjadikannya medan latihan penting menjelang WorldSkills ASEAN di Manila dan WorldSkills Asia di Taipei.
Dalam pada itu, Datuk Seri Abdul Rahman turut menegaskan misi Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam TVET termasuk memadankan kemahiran dengan kehendak industri serta memperluas mobiliti tenaga kerja teknikal.
“Malaysia komited menjadi peneraju harmonisasi TVET serantau, selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN 2025: Inklusiviti dan Kelestarian,” jelasnya lagi.
Sementara itu, penerima pingat emas Penerapan Bata, Misto Mikin (18) berkata, antara cabaran utama ialah menyusun bata untuk paten ‘I Love TVET’ dalam masa 18 jam yang menguji fizikal dan mental.
“Saya teruja dengan kemenangan ini. Ia jadi pendorong untuk saya berjuang di WorldSkills di Taipei nanti,” kata pelajar IKM Kota Kinabalu itu.
Pada masa yang sama, Luqman Nurhafizi Abdul Kadir dari WISDEC Banting pula menyifatkan penyertaan dalam kategori Pertukangan Kayu sebagai peluang bernilai dan kemenangan emas membuka laluan ke peringkat antarabangsa.
“Paling bermakna apabila saya meraih pingat emas mengalahkan peserta dari negara lain yang hebat sekaligus membuka peluang saya mara ke peringkat seterusnya di Manila,” ujarnya.
Sekadar info, ASEAN TVET Friendly Match 2025 dianggap sebagai pemangkin kepada peningkatan profil sektor pembinaan dalam ekosistem TVET, dengan sembilan kategori kemahiran dipertandingkan dalam persekitaran intensif berstandard antarabangsa.
Untuk pengetahuan, antara pemenang utama yang mengharumkan nama Malaysia di pentas ASEAN TVET 2025 termasuklah Misto Mikin (Penerapan Bata), Khairul Idham (Pertukangan Kabinet), Luqman Nurhafizi (Pertukangan Kayu), Muhamad Nashrul (Pembinaan Digital), Muhammad Haziq (Pendawaian Elektrik), Muhammad Adam Haris (Kerja Paip dan Pemanasan), serta Muhammad Haris Irfan (Kimpalan) dimana kesemuanya berjaya membawa pulang pingat emas dan membuktikan bahawa anak tempatan bukan sahaja mahir, malah mampu bersaing di peringkat serantau dengan penuh keyakinan dan kelas tersendiri.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.