Sumber gambar: pexels.com/祝 鹤槐

Kerap kali kita dapati penggunaan kata “apa” dalam ayat seperti “Apa yang membimbangkan saya ialah keselamatan ibu di kampung”. Begitu juga halnya dengan penggunaan kata “siapa” dalam ayat “Pihak kami akan menyiasat siapa yang bertanggungjawab menyebarkan berita palsu tersebut”. Maksud bagi kedua-dua ayat tersebut memang dapat difahami dengan jelas.

Walau bagaimanapun, penggunaan kata “apa” dan “siapa” dalam kedua-dua ayat tersebut tidak tepat. Hal ini demikian kerana kata “apa” dan “siapa” yang merupakan kata ganti nama diri tanya telah digunakan dalam ayat penyata, bukan ayat tanya.

Kata ganti nama diri tanya ialah kata nama yang berfungsi untuk menanyakan hal benda, perkara atau manusia. Kata ganti nama diri tanya ‘apa’ merujuk benda atau perkara, “siapa” merujuk orang, dan “mana” pula merujuk benda dan orang.

Oleh itu, kata ganti nama diri tanya ini tidak boleh digunakan dalam ayat penyata sebaliknya perlu digunakan dalam ayat tanya. Penggunaan kata ganti nama diri tanya yang betul ditunjukkan dalam ayat contoh yang berikut:

1. Bahan-bahan untuk membuat kek buah ini apa? (Apa menanyakan hal benda)
2. Guru kelas kamu tahun ini siapa? (Siapa menanyakan hal orang, iaitu guru)
3. Basikal gadis manis itu mana? (Mana menanyakan hal benda)

Dalam ayat 1 hingga 3 di atas, kata ganti nama diri tanya digunakan dengan betul, iaitu dalam ayat tanya. Di samping itu, kata ganti nama diri tanya juga boleh digunakan dalam ayat penyata jika kata ganti nama diri tanya tersebut mengalami proses penggandaan untuk membawa maksud rujukan tidak tentu atau penegasan. Hal ini ditunjukkan dalam ayat contoh yang di bawah:

1. Ambillah apa-apa yang ada di dalam bakul itu.
2. Pihak penguat kuasa akan mengambil tindakan terhadap siapa-siapa yang melanggar Tatacara Pengendalian Piawai semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
3. Belilah mana-mana baju yang awak suka di butik ini.

Berdasarkan perbincangan di atas, ternyata kata “apa” dan “apa-apa” perlu digunakan dalam jenis ayat yang betul, iaitu “apa” dalam ayat tanya manakala “apa-apa” dalam ayat penyata.

Penyiaran artikel ini merupakan kerjasama Majalah Remaja bersama Dewan Bahasa Dan Pustaka. Artikel ini ditulis oleh DR. RABAHYAH BINTI TAHIR

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI