Masih mencari lokasi yang sesuai untuk ‘healing’ ke tu? Ha, mari sini Remaja kongsikan satu tempat yang korang boleh healing sepuasnya dengan tenang…
Ya, lokasinya hanya di Pulau Mutiara, Pulau Pinang sahaja! Selain terkenal dengan nasi kandar, negeri ini juga memiliki ‘hidden gems’ yang semakin popular iaitu Boulder Valley Glamping yang terletak di Teluk Bahang, Balik Pulau.
Lokasi yang diselimuti kehijauan alam semula jadi itu adalah destinasi percutian yang sesuai untuk mereka yang ingin beristirehat daripada hiruk-pikuk kota dan mencari ketenangan atau lebih popular dengan istilah terkini ‘healing’.
Paling syok sekali, korang tak perlu dah nak bawa pelbagai peralatan seperti berkhemat tu…. Di sini, semua dah tersedia buat anda!
Ads
Biarpun bilik yang ditawarkan berkonsep kanopi, tetapi Boulder Valley Glamping tidak berkompromi soal keselesaan pengunjung. Tidak keterlaluan jika dikatakan anda seolah-olah berada di hotel lima bintang, namun dikelilingi alam semula jadi.
Saat kaki melangkah masuk ke Boulder Valley Glamping, anda disambut dengan alunan bunyi cengkerik dan aroma hutan yang cukup mendamaikan. Fuh, memang tenang!
Menurut Pengurus Boulder Valley Glamping, Eugene Hoe, terdapat tiga jenis bilik yang ditawarkan kepada pengunjung iaitu Safari Tent, Tented Villa dan Chalet Room yang harganya bermula daripada RM300 sehingga RM800.
Ads
Sungguhpun konsep seperti perkhemahan, kelengkapan asas disediakan antaranya seperti, pengering rambut, ketuhar gelombang mikro, soket elektrik untuk memudahkan pengunjung menggunakan barangan elektronik dan juga bilik mandi serta tandas di dalam setiap bilik.
“Jika pengunjung mahu rasa seperti tinggal di dalam khemah sebenar mereka boleh mengambil Safari Tent yang dikelilingi kanvas, bezanya kelengkapan asas semua ada di dalam bilik termasuk mempunyai perkhidmatan ‘room service’ untuk tempahan makanan.
“Tempat ini juga sering disewa untuk pelbagai acara seperti perkahwinan, fotografi, yoga, Zumba, kem bina semangat (team building) syarikat dan jabatan kerajaan serta pelbagai lagi.
“Biasanya pihak kami akan berbincang dengan pelanggan dan sebolehnya cuba memenuhi permintaan mereka mengikut kesesuaian bajet masing-masing,” ujar Eugene.
Lebih menariknya, sayuran dan ulaman yang dihidangkan dalam makanan di kafe Boulder Valley Glamping ditanam secara organik oleh kakitangannya.
Sekadar informasi, Boulder Valley Glamping mula dibuka pada 2014, tetapi kini pengurusannya telah diambil alih oleh DXN Holdings Berhad sejak 2019.
Buat mereka yang ingin merasai sendiri pengalaman bersama alam semulajadi di sini boleh membuat tempahan menerusi laman web, https://bouldervalleyglamping.com.my .
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Secara literal, warisan negara dapat ditakrifkan sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional juga turut tergolong sebagai aset negara yang harus dipupuk dan dikekalkan.
Dalam usaha meraikan tarian tradisional, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) di bawah kolaborasi Pengajian Konservatori Muzik, Pengajian Seni Persembahan dan Pengajian Seni Liberal baru-baru ini terpanggil untuk menganjurkan Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung”.
Program ini sekaligus dapat memperkasakan pelajar KPSK, UiTM dalam memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.
Menurut Dr. Juriani Jamaludin, Ketua Pengajian Konservatori Muzik, konsert Leluri Gemalai 2023 Bunga Tanjung ini mampu memperkasa dan menyerlahkan bakat para pelajar KPSK kerana hasil dari gabungan ketiga-tiga pengajian ini dapat dijadikan platform awal dałam mempersiapkan pelajar menuju ke alam pekerjaan.
Hal ini sekaligus menyumbang kepada kerancakan dan kepelbagaian acara dalam memartabatkan seni budaya tempatan.
“Kemasyhuran sesebuah negara bergantung kepada manifestasi seni dan budayanya kerana ianya memainkan peranan penting dalam membangunkan sesebuah bangsa dan negara yang beridentiti,” komen Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim yang turut merangkap rakan media rasmi konsert tersebut.
Jelaslah bahawa melibatkan Portal Majalah Remaja yang fokusnya kepada golongan remaja amatlah bersesuaian dalam usahasama memperjuangkan kelestarian seni budaya tradisional tanah air.
”Konsert Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” akan berlangsung pada 14 dan 15 Julai bertempat di Dewan Konsert Seri Budiman, UiTM Shah Alam. Konsert bermula pada pukul 8:30 hingga 10:30 malam.
Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung” adalah satu persembahan pentas yang mengangkat budaya muzik dan tarian tradisional Melayu seperti Asli, Inang, Zapin, Joget, Caklempong, Gamelan dan Canggung.
Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan adalah Bunga Tanjung (Asli), Zapin Panglima (Zapin Dayung), Inang Paku Lanang (Inang), Umpan Jinak Di Air Tenang (Joget), Ala Canggung (Canggung), Merbau Caklempong, Perang (Gamelan), Rajuk Rindu (Kontemporari Zapin) dan Ghazal Seri Mersing.
Untuk rekod, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) akan terus berusaha dalam memastikan penghasilan graduan seimbang yang kompetitif di peringkat nasional dan global serta memperkasa jaringan strategik dengan alumni dan industri, seterusnya dapat menyerlahkan potensi pelajar, tenaga kerja dan sekaligus membentuk modal insan yang mampu bersaing di masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut berkenaan program Leluri Gemalai 2023 “Bunga Tanjung”, boleh hubungi Nazifa, di talian 011 – 61314830 atau rujuk laman media sosial rasmi Instagram @chronicleproduction23.
+++Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Hari ini, 1 Mac 2022 kita menyambut Israk dan Mikraj.
Antara hari mulia dan bermakna buat orang Islam. Malah, ada beberapa buah negeri yang bercuti seperti Negeri Sembilan, Kedah dan juga Perlis sementara negeri-negeri lain bekerja seperti biasa. Di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj, apa yang kita perlu tahu tentang peristiwa hari ini yang menjadi satu peristiwa penting untuk kita fahami.
Foto Via Pexels
Untuk makluman, peristiwa Israk & Mikraj adalah sebuah cerita yang benar lagi sahih. Peristiwa yang menunjukkan bukti kenabian Nabi Muhammad s.a.w. Ia dikuatkan dengan ayat al-Quran & hadis sahih dalam darjat yang tertinggi. Tiada seorangpun Muslim yang mengingkari peristiwa itu, kerana ia adalah ujian dalam menentukan pendirian umat Islam.
Bulan Rejab termasuk dalam empat bulan Haram, atau bulan mulia dalam Islam.
Tiga bulan lainnya ialah Muharram, Zulkaedah dan Zulhijjah. Buktinya ada pada ayat 36, Surah Al-Taubah di dalam Al-Quran.
Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan, maksud Rejab ialah agung (Lata’if al-ma’arif, hlm. 117). Oleh sebab itu, bulan Rejab adalah bulan yang agung dan mulia.
Antara keistimewaan bulan Rejab ialah berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj yang menurut majoriti ulama, berlaku pada 27 Rejab.
Jadi adakah kita patut melakukan apa-apa amalan khas menjelang tarikh 27 Rejab ini?
Menurut tulisan yang dimuat naik di laman Facebook JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia), TIDAK.
Dalam tulisan itu, Dr.Arieff Salleh Rosman, Felo Fatwa JAKIM telah menjelaskan bahawa tiada amalan khusus dalam bulan Rejab yang dilaporkan daripada Rasulullah SAW dari hadis sahih.
Amalan tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah di bulan Rejab adalah sebahagian kecilnya bersandarkan kepada hadis lemah (daif) dan kebanyakannya adalah hadis palsu (maudhuk).
‘Ata; seorang ulama tabi’in menjelaskan, Nabi Muhammad saw melarang daripada berpuasa penuh sebulan bulan Rejab agar ia tidak dijadikan sebagai perayaan sebagaimana yang dilakukan oleh orang Arab Jahiliyyah (Ibnu Rajab, Lata’if al-ma’arif, hlm. 11).
Ibnu Hajar al-‘Asqalani menjelaskan, “Larangan daripada berpuasa sebulan penuh pada bulan Rejab adalah berkaitan dengan individu yang melakukannya kerana terpengaruh dengan amalan orang Arab jahiliyyah yang begitu mengagungkan bulan Rejab.”
“Tetapi jika seseorang itu berpuasa sunat sama seperti bulan lain tanpa menganggap puasa bulan Rejab adalah lebih utama daripada bulan lain, tidak mengkhususkan puasa hari tertentu bulan Rejab bagi mendapat ganjaran tertentu, maka amalan itu tidak menjadi kesalahan.”
“Begitu juga individu yang menghidupkan malam bulan Rejab dengan beribadah sebagaimana dia beribadah pada malam bulan lain.”
“Tetapi jika seseorang beribadah sunat hanya pada bulan Rejab sahaja dengan anggapan ia khusus untuk bulan Rejab, maka ia adalah amalan yang dilarang.” (Tabyin al-‘ajab, hlm. 49).
Foto Via Pexels
Namun, Tidak meraikan tidak bermaksud anda tidak perlu mempercayai terjadinya Israk dan Mikraj ya.
Allah SWT telah menurunkan satu surah khas di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ untuk menceritakan tentang peristiwa ini.
Menurut laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, peristiwa ini bukan sahaja berlaku dengan roh Nabi SAW semata-mata seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak, namun ia juga berlaku pada roh dan jasad Firman Allah :
Maksudnya : “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”
(Surah Al-Isra’ : 1)
SOLAT 5 WAKTU
Jangan lupa juga, salah satu perkara penting yang terbit daripada peristiwa Israk Mikraj adalah arahan solat fardu lima waktu.
Kisah ini diceritakan di dalam hadis sahih berkenaan Israk Mikraj yang panjang. Kata Anas Bin Malik bahawa ketika Nabi SAW menceritakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda menyebut juga :
Maksudnya : “ Kemudian diwajibkan ke atas aku 50 kali solat setiap waktu. Maka aku kembali dan melepasi Musa. Maka Nabi Musa bertanya apa yang telah diperintahkan terhadap engkau?. Nabi SAW menjawab : Aku diperintahkan dengan 50 kali solat pada setiap hari. Kata Nabi Musa : Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 50 kali solat pada setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba dengan semaksimum mungkin pada Bani Israil. Kembalilah semula pada Allah dan minta keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Kata Nabi SAW : Maka aku kembali lalu Allah kurangkan sepuluh daripada jumlah yang diberikan. Nabi SAW menyebut : Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda sebut perkara yang sama. Lalu aku kembali kepada Allah dan Dia mengurangkan sepuluh lagi. Lalu aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan lagi perkara yang sama. Lalu aku kembali lagi kepada Allah dan Dia mengurangkan lagi sepuluh. Aku kembali kepada Nabi Musa dan Baginda menyebutkan perkara yang sama. Lalu aku kembali semula kepada Allah dan aku diperintahkan dengan 10 kali solat setiap hari. Aku kembali lagi dan Nabi Musa menyebut perkara yang sama. Aku kembali menemui Allah dan aku diperintahkan dengan solat 5 kali pada setiap hari. Maka aku kembali kepada Nabi Musa. Nabi Musa berkata : Wahai Muhammad, engkau diperintahkan dengan apa?. Kata Nabi SAW : Aku diperintahkan dengan solat 5 kali setiap hari. Nabi Musa berkata: Sesungguhnya umat engkau tidak akan mampu untuk melakukan 5 kali solat setiap hari. Aku telah cuba pada orang sebelum engkau dan aku telah cuba untuk melakukannya pada Bani Israil semaksimum mungkin. Kembalilah kepada Allah dan mintalah keringanan daripada-Nya untuk umatmu. Nabi SAW bersabda : Aku telah minta sehingga aku menjadi malu untuk meminta kurang akan tetapi aku redha dan aku berserah. Apabila aku berlalu ada suara yang menyeru : Aku telah jalankan kewajipanku dan Aku telah kurangkan bebanan hamba-Ku.”
Riwayat Al-Bukhari (3887)
Potongan daripada hadis yang panjang ini menjelaskan bagaimana perintah solat 5 waktu sehari semalam diwajibkan.
Dan menurut tulisan laman web Mufti Wilayah ini lagi, kisah Israk dan Mikraj khususnya berkenaan pengurangan daripada 50 kali solat kepada lima kali solat setiap hari menzahirkan kehendak Allah SWT agar agama ini khususnya solat yang menjadi tiang agama mudah untuk diamalkan bukannya menyusahkan sehingga dicuaikan.
Bayangkan jika solat 50 waktu dilaksanakan, sudah pasti akan mewujudkan perasaan yang berat di kalangan umat Islam dan menyebabkan adanya kecuaian terhadap perintah-perintah lain khususnya mengimarahkan bumi.
Pengurangan sehingga menjadi lima kali solat setiap hari menjadikan umat Islam lebih produktif dan tidak ada alasan lagi untuk tidak melaksanakan perintah solat.
Yang dapat kami simpulkan di sini adalah mudah– tiada satu amalan khusus pun yang perlu dilakukan untuk memperingati peristiwa Israk Mikraj.
Tetapi ingatlah, solat lima waktu yang perlu umat Islam kerjakan setiap hari adalah peringatan terbaik Israk Mikraj pernah dialami oleh Rasulullah SAW dan bukan hanya sebuah kisah dongeng semata.
Serta pengurangan waktu solat merupakan tanda kasih Allah SWT yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang kepada hamba-hambanya.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Tiada siapa yang mampu menolak takdir Ilahi. Itulah yang dilalui oleh keluarga kepada graduan Doktor Falsafah (PhD) dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA), Allahyarham Wan Ruslan Wan Yusoff, yang pergi dijemput Ilahi pada 16 Mac 2025, sebelum sempat meraikan kejayaan menamatkan pengajian di peringkat tertinggi itu.
Namun, semangat arwah terus hidup dalam hati insan tersayang. Dengan penuh ketabahan, Julina Jamil, melangkah ke pentas utama Majlis Konvokesyen UMPSA Ke-20 hari ini untuk menerima Anugerah Anumerta bagi pihak arwah suaminya.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Pro-Canselor UMPSA, Tan Sri Dato’ Sri Abi Musa Asa’ari Mohamed Nor pada sesi pertama majlis tersebut.
Menurut Julina, beliau tidak menyangka akan diberi penghormatan sebesar itu bagi pihak arwah yang sentiasa gigih menuntut ilmu hingga ke akhir hayatnya.
“Ini merupakan salah satu impian Allahyarham untuk menuntut ilmu di peringkat tertinggi. Allahyarham seorang yang suka mencabar diri dan tidak pernah berhenti mencari ilmu baharu.
“Ketika orang lain masih belum mengenali apa itu Kecerdasan Buatan (AI), beliau sudah mula menulis dan membangunkan programnya sendiri,” ujarnya penuh bangga.
Julina turut menambah bahawa beliau sendiri menjadi saksi kepada perjuangan arwah suaminya dari awal hingga akhir.
“Arwah sempat menghantar tesis pra-viva pada 20 Disember 2024, namun takdir menentukan segalanya apabila beliau menghembuskan nafas terakhir akibat Cardiogenic Shock Secondary to Advanced Heart Failure,” ujarnya lagi.
Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan detik penuh emosi apabila lima penerima menerima Anugerah Anumerta sebagai tanda penghargaan universiti terhadap semangat juang mereka dalam menuntut ilmu.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
SUMBER: UMPSA News
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!