
Seorang penuntut universiti swasta di Kuala Lumpur berusia 24 tahun yang sedang menjalani latihan industri maut dalam insiden letupan gas di kawasan penyelenggaraan kampus berkenaan yang terletak di Bukit Damansara, Isnin lalu.
Seorang lagi penuntut berusia 19 tahun dilaporkan berada dalam keadaan koma, manakala sembilan mangsa lain mengalami kecederaan pelbagai tahap.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus memaklumkan, pelajar yang berada dalam keadaan koma tersebut mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan dalam otak dan retak pada tengkorak kepala akibat letupan gas tersebut.
Mangsa masih belum sedarkan diri dan sedang menerima rawatan rapi di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Dua Mangsa Lain Cedera Parah
Maklum Datuk Fadil lagi, daripada sembilan mangsa lain yang tercedera, dua daripadanya mengalami kecederaan serius dan juga masih menerima rawatan di hospital.
Seorang daripada mereka merupakan penyelia kontraktor berusia 54 tahun yang mengalami kecederaan parah termasuk serpihan besi yang tertanam di dalam badan. Beliau kini berada dalam keadaan separuh sedar dan sedang menunggu untuk menjalani pembedahan di HKL.
Seorang lagi mangsa ialah pekerja kantin universiti yang dikenalpasti sebagai seorang warga Indonesia berusia 22 tahun.
Sementara itu, mangsa-mangsa cedera lain telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar.

Letupan Gas Akibat Sistem Penghawa Dingin
Laporan media sebelum ini memaklumkan kejadian letupan gas yang berlaku sekitar jam 11.40 pagi itu berpunca daripada sistem penghawa dingin di kawasan penyelenggaraan sebuah universiti swasta.
Tragedi ini mencetuskan kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di kampus khususnya melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan serta penggunaan sistem gas.
Pelajar dan ibu bapa berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian letupan gas ini serta memastikan langkah pencegahan lebih ketat dilaksanakan.
Langkah keselamatan yang lebih komprehensif dilihat penting bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang dan memastikan keselamatan warga kampus sentiasa terjamin.
Sumber : Kosmo
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!




















