
ADHD sering menjadi topik yang mengelirukan bagi ramai ibu bapa, terutama apabila anak menunjukkan tahap keaktifan yang luar biasa.
Ramai yang sukar membezakan sama ada anak mereka sekadar aktif atau sebenarnya mempunyai keadaan Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD).
Perkara inilah yang dikongsikan oleh isteri kepada usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri iaitu Datin Seri Shahida apabila beliau mendedahkan bahawa anak keempatnya, Yusoff Al Qardawi, mempunyai keadaan ADHD kanak-kanak.
Menurut Shahida atau nama penuhnya Nur Shahida Mohd Rashid, 41, Yusoff merupakan seorang kanak-kanak yang sangat aktif dan mempunyai sikap yang agak berbeza berbanding adik-beradiknya yang lain.
Perkongsian itu dibuat menerusi ruangan komen di platform Threads selepas seorang pengguna bertanya tentang ciri-ciri kanak-kanak ADHD dan bagaimana untuk membezakan antara anak yang aktif dengan anak yang benar-benar mempunyai ADHD.
Pengguna tersebut menulis bahawa dia sukar membezakan sama ada anak yang terlalu aktif sebenarnya normal atau mempunyai ADHD.

Pertanyaan itu kemudian mendapat perhatian Shahida yang tampil berkongsi pengalamannya sendiri sebagai ibu.
“Lasaknya Lain Macam” – Pengalaman Shahida Dengan Yusoff
Menurut Shahida, walaupun dia mempunyai beberapa orang anak lelaki yang sememangnya lasak, namun tahap keaktifan Yusoff sangat berbeza sehingga jelas kelihatan kelainan pada dirinya.
Shahida menjelaskan bahawa anaknya itu sangat berani, tidak mempunyai rasa takut dan sering melakukan perkara yang tidak dijangka.
Malah Yusoff juga tidak gemar ditekan atau dikawal terlalu ketat kerana dia mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi.
“Hi anak saya Yusoff pun ada ADHD. Saya ramai anak lelaki, semua lasak tapi Yusoff lasaknya lain macam. Dia tak ada rasa takut, dia tak suka ditekan-tekan dan dia suka buat benda yang kita tak jangka,” tulisnya.
Tambah Shahida lagi, ketika Yusoff masih kecil sekitar usia satu hingga dua tahun, anaknya itu sangat aktif sehingga hampir setiap hari mengalami benjol di kepala akibat terjatuh atau terlanggar sesuatu ketika bermain.
“Masa umur 1-2 tahun dia hari-hari ada benjol di kepala,” kongsinya lagi.
Perkongsian jujur Shahida itu menarik perhatian ramai kerana ia memberi gambaran sebenar tentang cabaran membesarkan anak dengan ADHD terutama bagi ibu bapa yang mungkin sedang melalui situasi yang sama.
Jika dilihat menerusi perkongsian keluarga mereka di TikTok, telatah Yusoff yang sangat aktif sering mencuit hati netizen. Dia juga kelihatan gemar menyakat, bermain dan bergurau dengan adik-beradiknya sehingga membuat ramai yang terhibur.
View this post on Instagram
Apa Itu ADHD Kanak-Kanak?
ADHD atau Attention Deficit Hyperactivity Disorder merupakan sejenis gangguan perkembangan neurologi yang biasanya berlaku sejak usia kanak-kanak. Keadaan ini boleh mempengaruhi cara seseorang memberi tumpuan, mengawal tingkah laku dan mengurus tahap tenaga mereka.
Kanak-kanak yang mempunyai ADHD biasanya sukar memberi tumpuan dalam tempoh yang lama dan mudah terganggu dengan persekitaran di sekeliling.
Mereka juga sering menunjukkan tahap keaktifan yang sangat tinggi serta sukar duduk diam dalam jangka masa yang lama.
Selain itu, mereka juga cenderung bertindak secara impulsif tanpa berfikir panjang dan kadangkala menghadapi kesukaran untuk mengawal emosi atau tingkah laku dalam situasi tertentu.
Walau bagaimanapun, tidak semua kanak-kanak yang aktif mempunyai ADHD. Ada kanak-kanak yang sememangnya mempunyai tenaga yang tinggi dan sifat ingin tahu yang kuat sebagai sebahagian daripada proses perkembangan normal.
Dengan pemahaman yang betul tentang ADHD, ibu bapa dan guru boleh membantu kanak-kanak mengurus tenaga, emosi dan tingkah laku mereka dengan lebih baik supaya mereka dapat membesar dengan keyakinan serta potensi yang optimum.
Terdahulu, Datuk Seri Aliff Syukri dan Datin Seri Shahida mendirikan rumah tangga pada Ogos 2007.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Ammar Ahyan, Qadejah El Zahra, Ibraheem Adham, Yusoff Al Qardawi, Raudah Arshiyah dan Luqman Al-Hakim.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!




















