Wabak corona virus yang menyerang dunia seakan tidak ada tanda-tanda akan berhenti. Setakat ini lebih 750,000 penduduk dunia sudah djangkiti dan kadar kematian juga mencatatkan angka bukan sedikit.

Pasti  ramai orang yang sedang risau dengan pandemik Covid-19. Ini kerana virus ini  merupakan suatu perkara baru dalam dunia perubatan, kita juga sedang mempelajari satu demi satu fakta baru tentang jangkitan ini dari hari ke hari. Setakat tempoh sehingga Mac 2020, kita dapat lihat kadar kematian sekitar 1% daripada semua kes yang dilaporkan.

Namun, peratusan ini mungkin lebih tinggi kerana terdapat beberapa negara yang tidak mempunyai kapasiti untuk menyaring kebanyakan kes yang sebenarnya dialami dalam sempadan mereka atas pelbagai faktor kekangan semasa.

Beberapa laporan dari China dan negara-negara Eropah telah dapat mengenal pasti beberapa kumpulan yang berisiko tinggi. Satu fakta yang boleh membuatkan ramai orang lega adalah sekitar 80% kes akan sembuh tanpa memerlukan rawatan yang kompleks dan ramai juga dalam kelompok ini yang tidak mengalami apa-apa gejala yang merbahaya.

Namun begitu, pesakit-pesakit tanpa gejala atau dengan gejala yang ringan mempunyai lebih kebarangkalian untuk menjangkiti kumpulan yang berisiko tinggi. Dengan lebih ramai orang yang dijangkiti, kita amat risau sekiranya bilangan ini tidak dapat ditampung sepenuhnya oleh kapasiti servis kesihatan kita. Atas sebab itu, kita harus mengambil langkah berjaga-jaga yang drastik untuk melindungi kumpulan yang berisiko tinggi.

Laporan China & Negara Eropah Dapati 3 Golongan Ini Paling Berisiko Tinggi Hadapi Kematian Jika Positif COVID-19
Beberapa laporan dari China dan negara-negara Eropah telah dapat mengenal pasti beberapa kumpulan yang berisiko tinggi. Antaranya golongan berusia, ada sejarah penyakit kronik serta obesiti/ sejarah merokok

Berikut adalah kumpulan berisiko yang harus kita semua cuba lindungi:

1) Golongan berumur

Hampir semua pemerhatian dari kadar kematian di pelbagai kawasan di China menunjukkan sesuatu yang konsisten. Kebanyakan kes kematian atau kes-kes yang lebih kritikal melibatkan kumpulan usia yang lebih tinggi. Pemerhatian awal di Wuhan yang membandingkan kes-kes yang dibenarkan discaj dan kes-kes kematian mendapati purata umur kes-kes kematian adalah 17 tahun lebih tua.

Negara Itali juga dikenali sebagai antara negara Eropah yang mempunyai kumpulan warga tua tertinggi di benua tersebut. Kebanyakan institusi kesihatan global bersetuju golongan berumur 65 tahun ke atas menghadapi risiko untuk kesan yang lebih serius mahupun kematian.

IKLAN

2) Sejarah penyakit kronik

Definasi penyakit kronik adalah penyakit jangka panjang yang memerlukan kawalan dan sukar/tidak dapat diubati. Secara lazimnya, kita mendengar tentang penyakit seperti kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Pemerhatian daripada Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) China yang menilai kesemua pesakit yang diuji positif dengan Covid-19 menunjukkan kesemua pesakit dengan sejarah penyakit-penyakit yang disebut di atas adalah lebih berisiko tinggi sekiranya menghidap Covid-19. Tambahan lagi, sejarah masalah kesihatan pernafasan (respiratori) dan juga barah (kanser) juga dilihat mempunyai lebih risiko sebagai kes kritikal/kematian.

Terdapat juga masalah kesihatan lain seperti penyakit autoimmune yang memerlukan rawatan dengan ubatan steroid/kawalan imuniti dan pesakit HIV (terutama yang belum mendapat rawatan anti-viral atau tidak patuh dengan ubatan) yang juga perlu berjaga-jaga.

3) Obesiti/sejarah merokok

IKLAN

Kaitan dengan dua faktor risiko di atas adalah kurang jelas. Kerana jumlah pesakit yang diuji positif adalah terlalu tinggi dan ramai antara mereka terlalu serius, data tentang sejarah merokok berdarkan kiraan pek/tahun dan data tepat BMI pesakit-pesakit ini amat sukar diperolehi. Kajian yang berbeza juga menggunakan definasi perokok yang berlainan berdasarkan kiraan pek/tahun menjadikan data ini sukar untuk diperhalusi untuk masa kini.

Namun begitu, pemerhatian awal di Itali dan China menunjukkan penglibatan kes kritikal dan kematian kaum lelaki melebihi kaum wanita dan orang dewasa berbanding kanak-kanak yang agak selari dengan populasi perokok di kedua-dua negara. Pemerhatian ini cukup untuk kita memberitahu para perokok yang mereka mempunyai risiko yang lebih tinggi. Begitu juga dengan kadar obesity dan kebrangkalian populasi ini untuk memiliki masalah kesihatan lain seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

JADI APA YANG KITA PERLU LAKUKAN?

1) Lindungi warga tua, samada ahli keluarga ataupun dalam kejiranan kita. Kurangkan keperluan untuk mereka keluar buat masa ini dan kita bantu mereka dapatkan bahan keperluan mereka. Dalam masa yang sama memastikan jarak sosial dan nasihat kebersihan tangan sekiranya berinteraksi dengan mereka.

2) Ramai orang muda kita alpa dengan kepentingan saringan kesihatan. Tahun demi tahun, kita melihat umur pesakit yang diberi diagnosis kencing manis dan tekanan darah tinggi beransur semakin muda kerana pilihan gaya hidup yang tidak sihat.

IKLAN

Diet yang tidak seimbang dan kekurangan aktiviti fizikal hanyalah sebahagian daripada masalah yang menyumbang kepada pemerhatian ini. Tambah teruk, ini adalah golongan yang tidak tahu tentang risiko mereka sendiri. Gunakan masa anda di rumah untuk menyusun semula diet yang lebih seimbang dan cuba lakukan aktiviti fizikal sedikit demi sedikit untuk kembali ke berat badan ideal. Selepas reda wabak ini, cari masa untuk lakukan saringan kesihatan anda.

3) Berhenti merokok. Kalau anda ada masa untuk bimbang yang virus ini adalah teori konspirasi sesuatu negara, bukankah rokok itu teori konspirasi lebih besar yang menyumbang kepada masalah jantung, angin ahmar, pelbagai jenis barah, masalah pernafasan dan sekarang kita tambah lagi golongan berisiko untuk apa-apa jangkitan kuman? Tiada kebaikan yang dating daripada merokok.

4) Juga yang lebih penting, ikut nasihat pihak berkuasa untuk mengurangkan risiko jangkitan dan cuba untuk memutuskan rantaian jangkitan di negara kita. Kebersihan tangan, etika batuk dan penjarakan social adalah nasihat yang sangat penting dan semua ini hanya akan berjaya sekiranya setiap antara kita memainkan peranan masing-masing.

Semoga dengan keprihatinan pihak berkuasa dan peranan anda semua menjalankan tanggungjawab anda, kita dapat mengatasi wabak Covid-19 yang sedang melanda ini.

#inisainsbeb #DrSid
Ilustrasi: #azarimy

Rujukan:
1. Wu Z, McGoogan JM. Characteristics of and important lessons from the coronavirus disease 2019 (COVID-19) outbreak in China: summary of a report of 72314 cases from the Chinese Center for Disease Control and Prevention.
JAMA2020. doi:10.1001/jama.2020.2648 pmid:32091533

  1. Zhou F, Yu T, Du R, et al. Clinical course and risk factors for mortality of adult inpatients with COVID-19 in Wuhan, China: a retrospective cohort study.
    Lancet2020. doi:10.1016/S0140-6736(20)30566-3 pmid:32171076
  2. Livingston E, Bucher K. Coronavirus Disease 2019 (COVID-19) in Italy.
    JAMA2020. doi:10.1001/jama.2020.4344. pmid:32181795
  3. Jordan Rachel E, Adab Peymane, Cheng K K. Covid-19: risk factors for severe disease and death BMJ 2020; 368 :m1198

Sumber : Ini Sains Beb

 

Ini baru lah gaya hidup remaja. REMAJA kini di seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI