
Baru-baru ini, penyanyi tersohor Indonesia, Krisdayanti mencipta sejarah di luar pentas muzik apabila berjaya meraih pingat perak dalam acara Women’s Single Weapon Routines pada Kejohanan Dunia Kungfu ke-10 yang berlangsung di Emeishan, China.
Kejohanan berprestij anjuran Persekutuan Wushu Antarabangsa (IWUF) itu telah menghimpunkan penyertaan atlet dari seluruh dunia bagi mempertandingkan pelbagai kategori seni mempertahankan diri tradisional China termasuk senjata, tangan kosong dan rutin klasik.
Acara yang diadakan dari 14 hingga 20 Oktober itu turut disertai wakil-wakil dari Indonesia, termasuk Krisdayanti, sekaligus memperlihatkan keterlibatan beliau sebagai figura seni dalam bidang sukan pada peringkat global.

Menerusi satu perkongsian di media sosial, Krisdayanti atau pemilik nama sebenar Kris Dayanti Trenggono (51), yang juga Ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) RI, memuat naik gambarnya memegang pingat perak dan sijil penghargaan sambil menitipkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyokongnya.
Pelantun lagu ‘Menghitung Hari’ dan ‘Yang Kumau’ itu juga menyifatkan penyertaannya sebagai satu penghormatan besar kerana dapat mewakili Indonesia di pentas antarabangsa dalam bidang yang amat diminatinya.
Dalam pada itu, kejayaan beliau dalam sukan tersebut telah mencuri perhatian peminat dan rakan artis yang memenuhi ruangan komen dengan ucapan tahniah dan rasa bangga terhadap pencapaian beliau itu.

Sebelum ini, Krisdayanti dikenali sebagai antara penyanyi wanita paling berpengaruh di Indonesia sebelum melibatkan diri secara aktif dalam arena politik. Kini, beliau membuktikan kemampuan dalam bidang baru, khususnya seni mempertahankan diri.
Pada masa yang sama, kemenangan dalam acara senjata tunggal wanita ini bukan sahaja mengharumkan nama Indonesia di persada dunia malah menjadi inspirasi kepada penggiat seni mempertahankan diri selain memperluas definisi kejayaan seorang figura seni di peringkat antarabangsa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!


















