
Baru-baru ini, kumpulan K-Pop terkenal, IVE meraih perhatian apabila mencetuskan satu fenomena unik dalam industri hiburan Korea menerusi konsert mereka. Bukan sekadar persembahan biasa, ‘fan-concert’ yang berlangsung selama dua hari pada 21 dan 22 Mac lalu itu tampil dengan satu inisiatif yang jarang dilihat sebelum ini.
Menerusi sebuah perbincangan di forum atas talian, seorang warga internet berkongsi tentang kewujudan kawasan khas yang dijadikan sebagai “titik kumpul” untuk ibu bapa dan anak-anak selepas konsert berakhir. Perkara ini dianggap sebagai sesuatu yang baharu dalam dunia K-Pop, malah pertama kali diperkenalkan dalam acara melibatkan IVE.
Menerusi konsert ‘DIVE into IVE’ itu sememangnya menarik kehadiran peminat dari pelbagai lapisan umur. Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah jumlah peminat kanak-kanak dan remaja yang hadir dalam skala yang sangat besar.
Difahamkan, golongan peminat muda ini dikenali sebagai ‘Baby Dive’, dan mereka bukanlah sekadar kelompok kecil. Malah, kehadiran mereka dilihat mendominasi sebahagian besar daripada jumlah penonton sepanjang konsert tersebut berlangsung.
Disebabkan faktor usia peminat yang masih di bawah umur, pihak penganjur turut mengambil langkah proaktif dengan menyediakan ruang khas bagi memudahkan ibu bapa menjemput anak-anak mereka. Kawasan ini turut berfungsi sebagai tempat selamat untuk kanak-kanak menunggu penjaga masing-masing selepas acara tamat.
BACA: Kembali Bertemu Peminat Di Malaysia! IVE Bakal Hangatkan Kuala Lumpur April Tahun Hadapan
Inisiatif ini secara tidak langsung memperlihatkan tahap keprihatinan yang tinggi terhadap keselamatan peminat, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Ia juga menunjukkan bagaimana industri K-Pop semakin berkembang dengan mengambil kira keperluan peminat daripada pelbagai peringkat umur.
Untuk rekod, IVE cukup dikenali dengan lagu-lagu popular seperti ‘I AM’, ‘After LIKE’ dan ‘LOVE DIVE’. Populariti mereka yang meluas menyebabkan kumpulan ini mempunyai peminat daripada kalangan pelajar sekolah rendah hingga menengah, sekaligus menjadikan ‘fandom’ mereka terkenal apabila terdiri dari pelbagai golongan usia.
Sementara itu, di media sosial, ramai peminat K-Pop lain turut memberikan reaksi positif terhadap inisiatif tersebut. Ada yang menyifatkan situasi itu sebagai momen yang comel kerana melihat sokongan ibu bapa terhadap minat anak-anak mereka. Tidak kurang juga yang berharap agar IVE terus menjadi contoh yang baik kepada peminat muda serta menginspirasikan penyanyi lain untuk mengambil langkah serupa.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.