
Pelumba Formula Satu (F1), Kimi Antonelli baru-baru ini meraih perhatian selepas berjaya mencipta sejarah sebagai juara dunia termuda dalam sejarah sukan permotoran itu pada usia 20 tahun. Kejayaan tersebut disahkan selepas beliau menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Mexico City di kedudukan ketiga.
Menurut laporan F1, pemandu Itali yang kini berusia 20 tahun itu berjaya mengesahkan kejuaraan dunia kategori pemandu musim 2026 meskipun masih berbaki empat perlumbaan. Pencapaian tersebut turut menyaksikan Antonelli memecahkan rekod Sebastian Vettel yang sebelum ini muncul juara dunia pada usia 23 tahun pada 2010.
Lebih membanggakan, Antonelli turut menjadi pelumba Itali pertama yang memenangi kejuaraan dunia F1 sejak Alberto Ascari melakukannya pada 1953. Kejayaan itu sekaligus meletakkan namanya dalam senarai pelumba yang mencipta sejarah dalam arena permotoran dunia.

Menariknya, pencapaian luar biasa tersebut turut mendapat pengiktirafan daripada dua pelumba ternama, Max Verstappen dan Lewis Hamilton yang berkongsi podium bersamanya di Mexico City.
Verstappen menyifatkan kejayaan Antonelli meraih gelaran dunia pada musim keduanya dalam F1 sebagai sesuatu yang cukup mengagumkan, lebih lagi apabila beliau mampu mengekalkan konsistensi serta menewaskan rakan sepasukan yang lebih berpengalaman.
Pada masa yang sama, Verstappen turut meluahkan rasa bangga terhadap kemampuan pelumba muda itu mengendalikan tekanan sepanjang musim, selain menyifatkannya sebagai individu yang sememangnya layak bergelar juara. Sementara itu, Hamilton menganggap peluang berkongsi podium bersama Antonelli ketika dia meraikan kejuaraan dunia pertamanya sebagai satu detik cukup istimewa dan sukar dilupakan.

View this post on Instagram
Dalam perlumbaan GP Mexico City berkenaan, Verstappen yang mewakili Red Bull berjaya meraih kemenangan buat kali keenam di litar berkenaan. Perlumbaan bagaimanapun terpaksa dihentikan sementara selepas bendera merah dikibarkan pada pusingan ke-46 susulan insiden pelanggaran melibatkan jentera Valtteri Bottas yang merempuh tembok di selekoh pertama akibat masalah suspensi bahagian kanan.
Bottas dilaporkan berjaya keluar daripada jentera tanpa bantuan sebelum mendapatkan pemeriksaan perubatan lanjut sebagai langkah berjaga-jaga. Perlumbaan kemudian disambung semula dengan Verstappen mendahului Charles Leclerc, Hamilton, Antonelli, Lando Norris dan George Russell sebelum kedudukan tersebut kekal sehingga ke garisan penamat.
Selepas GP Mexico City, saingan F1 dijadualkan diteruskan di Brazil dan Las Vegas sebelum menuju ke dua pusingan terakhir di Qatar serta Abu Dhabi. Bagaimanapun, status penganjuran kedua-dua perlumbaan berkenaan dilaporkan masih belum dimuktamadkan susulan ketidakstabilan yang berlaku di rantau Asia Barat.
Sumber: F1
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!










