
Kisah menyayat hati melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina terus mendapat perhatian ramai. Terbaru, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan wujudnya elemen buli, pengabaian dan gangguan seksual dalam kes kematian remaja berusia 13 tahun itu.

Menurut beliau, hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapati ketiga-tiga elemen berkenaan telah dikenal pasti dan kini disiasat secara menyeluruh. Tegasnya lagi, isu sebegini tidak boleh sesekali ditutup atau dipandang ringan kerana sekolah seharusnya menjadi tempat paling selamat buat anak-anak menimba ilmu.
“Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah sepatutnya menjadi tempat selamat untuk anak-anak kita,” katanya.
Kes ini kini diserahkan kepada Peguam Negara untuk menentukan hala tuju seterusnya, termasuk kemungkinan pendakwaan ke atas pihak-pihak terlibat.
Punca Kematian Menyayat Hati
Sekadar makluman, punca kematian Allahyarhamah Zara Qairina adalah akibat kecederaan otak yang berlaku kerana kekurangan oksigen serta aliran darah ke otak. Arwah ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran bangunan asrama perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Renungan Buat Ibu Bapa
Tragedi ini wajar menjadi peringatan kepada kita semua sebagai ibu bapa. Anak-anak yang bersekolah, khususnya di asrama, berhadapan pelbagai cabaran emosi dan sosial. Isu buli, pengabaian dan gangguan seksual bukanlah perkara kecil – ia boleh memberi kesan trauma seumur hidup, malah mengundang tragedi seperti yang menimpa arwah Zara Qairina.
Kita perlu:
Peka dengan perubahan emosi dan tingkah laku anak. Jika anak kelihatan murung, takut ke sekolah atau menyendiri, ia mungkin tanda ada masalah yang disembunyikan.
Ajarkan anak berani bersuara. Anak-anak perlu tahu mereka boleh berkongsi rasa dengan ibu bapa atau guru tanpa takut dimarahi.
Sentiasa berhubung dengan pihak sekolah. Komunikasi terbuka antara ibu bapa dan guru penting untuk memantau keselamatan serta kesejahteraan anak-anak.
Semoga kisah sedih ini membuka mata kita semua untuk lebih cakna dan proaktif dalam melindungi anak-anak. Al-Fatihah buat Allahyarhamah Zara Qairina. 🌸
Sumber Sinar Harian
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
















