
“Anak saya pergi sekolah dengan senyuman tapi pulang dengan linangan air mata.”
Itu antara luahan yang dikongsikan ibu bapa susulan kertas peperiksaan Matematik Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan calon, apabila ramai mendakwa soalan yang ditanya sukar dan di luar jangkaan.
Menurut sumber, sejurus tamat peperiksaan, media sosial dibanjiri perkongsian pelajar yang meluahkan rasa kecewa, penat dan hilang harapan. Ada yang mengakui tidak meletakkan harapan tinggi, namun tetap tidak menyangka cabaran yang dihadapi jauh lebih berat daripada jangkaan.

Pelajar Akui Hilang Harapan Selepas Kertas Kedua
Menerusi hantaran pengguna Threads @Swifflyyy, dia secara terbuka mengakui tidak mengharapkan keputusan yang baik selepas selesai menjawab kedua-dua kertas peperiksaan Matematik Tambahan.
“Ketika menjawab kertas peperiksaan pertama Matematik Tambahan, saya memang tak mengharapkan dapat keputusan yang cemerlang kerana susah.
Jangkaan saya bahawa kertas peperiksaan kedua untuk subjek itu boleh dijawab kerana kertas pertama yang sudah susah turut mengecewakan apabila kebanyakkan soalan yang berkias-kias,” katanya.
Luahan itu mendapat perhatian ramai pelajar lain yang turut berkongsi pengalaman hampir sama.

Media Sosial Dibanjiri Luahan Tekanan Emosi
Luahan sama turut dikongsikan pelajar lain di TikTok. Pengguna @Z3usboi mempertikaikan tahap kesukaran kertas peperiksaan tersebut sehingga menyifatkannya sebagai terlalu menekan emosi calon.
“Siapa yang menggubal kertas peperiksaan Matematik Tambahan ini memang tiada hati perut ke? Teruk dibantai,” katanya dalam satu hantaran yang meraih ribuan tontonan.
Reaksi pelajar ini secara tidak langsung membuka ruang kepada ibu bapa untuk turut bersuara apabila melihat sendiri keadaan emosi anak-anak mereka selepas keluar dari dewan peperiksaan.
Ibu Bapa Luah Simpati & Kebimbangan
Ramai ibu bapa meluahkan rasa simpati dan bimbang terhadap kesihatan mental anak-anak mereka yang terkesan selepas peperiksaan tersebut.
“Anak saya balik daripada sekolah, menangis sehingga merah mata. Sampai terpaksa hubungi saya untuk mengambilnya di sekolah,” kongsi seorang ibu, @Kacangketot.
Seorang lagi pengguna, @Animatunsaadiah, mengakui dia sendiri takut untuk bertanya keadaan anaknya selepas peperiksaan.
“Saya sebagai ibu pun risau nak tanya anak saya. Takut dia pun antara yang tak boleh nak jawab kerana ramai kata susah. Kasihan pula sedangkan dah belajar bersungguh-sungguh.”
Kertas Pertama Bertahan, Kertas Kedua ‘Tewas’
Tidak kurang juga ibu bapa yang berkongsi pengalaman anak mereka yang masih mampu bertahan pada kertas pertama, namun ‘tewas’ pada kertas kedua.
“Semalam, anak saya telefon kata yang kertas pertama masih mampu nak menjawab walaupun susah. Tapi kertas kedua memang tiada harapan,” luah @Azlina.
Situasi ini jelas menggambarkan tekanan luar biasa yang ditanggung oleh calon SPM, khususnya bagi subjek yang terkenal dengan tahap kesukaran tinggi seperti Matematik Tambahan.

SPM Bukan Penentu Mutlak Masa Depan
Untuk rekod, peperiksaan SPM 2025 yang bermula pada 3 November lalu dijadualkan berakhir pada 23 Disember ini.
Di sebalik perdebatan tentang tahap kesukaran soalan, satu perkara yang jelas ialah tekanan yang ditanggung calon SPM bukan kecil. Menangis selepas peperiksaan bukan tanda kelemahan, sebaliknya reaksi jujur apabila usaha bertahun-tahun diuji dalam tempoh beberapa jam.
Buat calon yang sedang berjuang, ingatlah bahawa SPM bukan penentu mutlak masa depan. Apa yang lebih penting ialah sokongan, empati serta keyakinan bahawa setiap remaja mempunyai laluan hidupnya sendiri.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!















