
Gambar Hiasan AI
Kemas katil terlalu awal boleh undang resdung, satu fakta yang ramai tidak tahu walaupun tabiat tersebut sering dianggap sebagai tanda disiplin sejak kecil. Dari zaman sekolah lagi, ramai antara kita dibiasakan untuk melipat selimut dan mengemas katil sebaik sahaja bangun tidur.
Katil yang kemas sering dikaitkan dengan permulaan hari yang produktif dan teratur. Namun begitu, dari sudut kesihatan, tabiat ini sebenarnya tidak semestinya memberi kebaikan seperti yang disangka.
Menurut perkongsian Public Health Malaysia (PHM), tabiat mengemas katil sejurus bangun tidur tidak digalakkan kerana boleh menyumbang kepada masalah alahan. Malah, sains membuktikan bahawa perbuatan ini berpotensi mencetuskan resdung, terutamanya pada waktu pagi.
PHM menjelaskan bahawa semasa tidur, tubuh manusia akan menghasilkan peluh dan wap air walaupun dalam keadaan cuaca sejuk atau bilik berhawa dingin. Dalam tempoh yang sama, berjuta-juta sel kulit mati akan gugur dan melekat pada cadar, bantal serta tilam.
Sel kulit mati ini menjadi sumber makanan utama tungau habuk, sejenis mikroorganisma halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Apabila katil terus dikemas sebaik bangun tidur, haba dan kelembapan akan terperangkap di bawah selimut dan cadar.
Keadaan ini menjadikan katil seperti ruang lembap tertutup yang sangat ideal untuk pembiakan tungau habuk. Najis tungau inilah yang sering mencetuskan simptom seperti bersin, hidung gatal, hidung tersumbat dan mata berair, iaitu tanda awal resdung dan alahan.
Jika katil dibiarkan tidak dikemas seketika, udara segar dan cahaya matahari akan membantu mengeringkan kelembapan pada tilam dan cadar. Tungau habuk tidak mampu hidup dalam persekitaran kering dan akhirnya mati akibat dehidrasi.
Dalam erti kata lain, mengelakkan kemas katil terlalu awal membolehkan katil ‘bernafas’ dan secara tidak langsung membantu mengurangkan populasi tungau habuk tanpa perlu semburan bahan kimia atau pembersihan berlebihan.
Tabiat ini memberi kesan yang lebih ketara kepada individu yang mempunyai masalah kesihatan seperti:
– Resdung (sinusitis)
– Asma
– Ekzema
– Alahan bersin dan hidung gatal terutama waktu pagi
Bagi golongan ini, persekitaran bilik tidur yang lembap boleh memburukkan simptom dan menjejaskan kualiti tidur dalam jangka panjang.
Public Health Malaysia tidak menyarankan bilik dibiarkan sepah sepanjang hari. Sebaliknya, satu kaedah mudah dan praktikal dicadangkan untuk diamalkan.
Bangun tidur dan buka tingkap atau pasang kipas bagi melancarkan pengudaraan. Biarkan selimut terselak dan katil terdedah seketika. Gunakan masa tersebut untuk mandi, gosok gigi dan bersiap seperti biasa.
Selepas kira-kira 30 minit, barulah kemas katil dengan rapi. Kaedah ini membolehkan kelembapan kering terlebih dahulu sebelum selimut dilipat, sekali gus mengurangkan risiko pembiakan tungau habuk.
Kesimpulannya, mengemas katil tetap penting untuk kekemasan dan keselesaan, tetapi masa yang tepat memainkan peranan besar. Jadi selepas ini, jika katil masih belum dikemas sejurus bangun tidur, jangan terus rasa bersalah, mungkin itu sebenarnya langkah kecil untuk menjaga kesihatan.
BACA LAGI : Bersin & Gatal Hidung Akibat RESDUNG, Atasi Dengan Petua Semula Jadi Ini!
Sumber: Public Health Malaysia