Siapa sangka dari sebuah sekolah rendah di kawasan desa, lahir bakat luar biasa yang mampu menggegarkan pentas dunia dan mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
Tiga murid Orang Asli dari Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tereh, Kluang, Johor mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih pingat emas Kategori Idea Kreatif (Tingkatan Rendah) pada Olimpiad Robot Antarabangsa ke-27 (IRO 2025) yang berlangsung di Gold Coast, Australia.
Kejayaan Murid Orang Asli Robotik Antarabangsa Jadi Perhatian Dunia
Kejayaan murid Orang Asli robotik ini menjadi lebih bermakna apabila mereka berjaya menewaskan pasukan dari 15 buah negara lain menerusi ciptaan robot unik berbentuk “rover” yang direka khas untuk mengkaji permukaan planet Marikh.
Robot tersebut dibangunkan berasaskan konsep penerokaan angkasa lepas dan dilengkapi sistem sensor yang membolehkannya bergerak serta mengesan halangan dengan tepat, selari dengan keperluan pertandingan peringkat global.
Latihan Konsisten Jadi Kunci Kejayaan
Menurut guru pengiring pasukan, Muhammad Fakhri Che Lah, pencapaian luar jangka itu merupakan hasil latihan berterusan dan persediaan rapi yang dilakukan sepanjang tahun, meskipun murid-murid ini datang daripada latar belakang sekolah luar bandar.
“Sepanjang tempoh latihan, murid-murid membangunkan pelbagai reka bentuk robot berasaskan tema angkasa. Daripada situ, mereka memilih reka bentuk paling sesuai untuk dipertandingkan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selepas kepulangan kontinjen negara.
Ads
Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan pembelajaran secara praktikal dan pendedahan awal kepada teknologi memainkan peranan penting dalam membentuk keyakinan serta kemahiran murid.
Ciptaan Robot Rover Dalam Masa Empat Jam
Salah seorang ahli pasukan, Vyonnie Jezzy James Marcel, 12, mengakui tidak menyangka pasukannya mampu muncul juara memandangkan cabaran pertandingan yang menuntut ketepatan, kreativiti dan kepantasan.
“Memang mencabar. Masa yang diberi empat jam, tapi kami berjaya siapkan robot dalam tiga jam setengah. Robot itu menggunakan dua sensor utama iaitu high screen line dan ultrasonic,” katanya.
Pengalaman tersebut bukan sahaja menguji kemahiran teknikal, malah membina semangat kerja berpasukan serta daya tahan mental dalam kalangan murid.
Program Inklusif STEM Ubah Persepsi
Dalam perkembangan sama, Pengarah Jabatan Pembelajaran dan Pusat Satelit Petrosains, Norhana Hamim, menyifatkan kejayaan murid Orang Asli robotik ini sebagai bukti jelas keberkesanan pendekatan inklusif menerusi program Petrosains Tech4All dalam memperkasa pendidikan STEM.
Ads
“Apa yang kita saksikan hari ini sangat bermakna. Ia membuktikan bahawa apabila anak-anak ini diberikan platform yang betul dan sokongan yang sesuai dengan latar belakang mereka, mereka mampu bersaing di peringkat global,” ujarnya.
Tambah beliau, pencapaian ini secara tidak langsung menepis stigma lama bahawa pelajar Orang Asli tidak mampu menyerlah dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Untuk rekod, kontinjen Malaysia ke IRO 2025 melibatkan 15 pelajar Orang Asli daripada lima buah sekolah rendah, yang turut membawa pulang pingat gangsa serta tiga Anugerah Teknikal hasil kerjasama strategik antara Petrosains, Kementerian Pendidikan Malaysia dan Offshore Petroleum Industry Training Organisation (OPITO).
Kejayaan murid Orang Asli robotik ini bukan sekadar pencapaian pertandingan, malah menjadi simbol harapan bahawa bakat luar biasa boleh lahir dari mana-mana, asalkan diberi peluang, kepercayaan dan sokongan berterusan.
Ia juga menjadi inspirasi kepada generasi muda di seluruh negara bahawa keterbatasan geografi dan latar belakang bukan penghalang untuk melakar kejayaan di peringkat dunia.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Sumber : Siakap Keli & Bernama
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Pada era digital sekarang di mana frasa ‘content is king’ semakin popular dalam kalangan masyarakat, sesetengah daripada kita yakin untuk memuat naik sebarang kandungan tanpa memikirkan risiko di sebaliknya.
Jika ada antara korang perasan sejak kebelakangan ini, semakin ramai tenaga pengajar di sekolah yang memuat naik foto mahupun video memaparkan kertas soalan peperiksaan pelajar mereka sendiri yang dibiarkan kosong atau terisi dengan jawapan lucu dan salah.
Mungkin niat cikgu-cikgu tersebut adalah untuk berkongsi sesuatu yang berpotensi untuk tular di media sosial. Begitupun, budaya memuat naik jawapan pelajar ke dunia maya ini sebenarnya mengundang rasa bimbang terhadap kredibiliti seseorang guru itu sendiri dalam mendidik anak bangsa.
Perkara itu telah menarik perhatian pempengaruh muda tempatan, Zhiddin Aziz yang baru-baru ini menyeru agar guru-guru di Malaysia untuk menghentikan budaya tersebut.
Zhiddin Aziz merupakan alumni Fakulti Penulisan Kreatif & Filem, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA). Sepanjang bergelar penuntut di sana, Zhiddin turut berkhidmat secara separuh masa sebagai wartawan RTM dan menjadi pengacara bagi majlis-majlis rasmi.
“Saudara perasan tak sekarang bila ada kuiz, kemudian pelajar itu sekadar mengisi baris. Haa, guru itu pun ambil gambar kemudian muat naik dan menyatakan bahawa generasi Z dan alfa sekarang makin lemah padahal itu lumrah.
“Mana-mana generasi pun, mana-mana pelajar pun kalau tak boleh jawab soalan memang kita akan jawab saja apa yang kita tahu. Kadang-kadang, salin semula soalan. Bezanya, zaman kita itu tiada cikgu yang viralkan.
“Bukan apa, bila trend ini (jika) dibiar berulang, budak-budak rasa itu kelakar, rasa itu gemilang. Lalu mereka berani mengulang.
“Perkara itu lebih elok selesai di dalam bilik darjah. Adakah kita mengharapkan masyarakat internet akan mendidik? Tidak, mereka hanya mengherdik,” ulasnya.
Zhiddin, 22 yang juga merupakan anak kepada pengacara terkenal, Allahyarham Aziz Desa juga membuat perbandingan mengenai cabaran yang dihadapi oleh generasi sekarang berbanding generasi pelajar dahulu dan berpendapat setiap zaman mempunyai cabaran tersendiri.
“Zaman kita, mahu tidak mahu ada jadual kelas tambahan dan ada ujian memaksa untuk kita bertahan.
“Kalau nak dibuat perbandingan, saya rasakan zaman mereka lebih kuat kerana perlu hidup dengan menghadap bermacam-macam godaan. Kita pula lupa memotivasikan mereka sehingga generasi mereka jadi benar-benar lembik dan hilang kepercayaan diri,” tambahnya lagi.
Bagi penulis, tenaga pengajar seharusnya bertindak matang dalam mendidik para pelajar untuk memperbaiki kelemahan diri dan tidak menjadikan kelemahan tersebut sebagai sumber tularkan profil sendiri di alam maya atau kerana taksub mengejar ‘clout’.
Berfikirlah secara rasional agar nilai pendidikan kita menerusi peperiksaan yang dilangsungkan terus dipandang serius.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Kelas Pertama Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S.) yang membawa gelaran Datin Paduka Seri kepada Cik Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Istiadat kurniaan ini berlangsung setelah beliau sempurna diijabkabulkan dengan Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor pada 2 Oktober 2025 di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang.
Dalam kenyataan rasmi oleh akaun Selangor Royal Office, ia memaklumkan bahawa gelaran rasmi konsort kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor adalah Yang Mulia Datin Paduka Seri Afzaa Fadini binti Dato’ Abdul Aziz.
Menerusi kenyataan rasmi ini juga, rakyat telah melihat busana yang digayakan oleh Datin Paduka Seri Afzaa Fadini hari ini rekaan Adila Long.
FOTO: Instagram // Selangor Royal Office
Terdahulu seawal jam 7 pagi hari ini, rakyat Selangor terutamanya mula membanjiri pekarangan bagi menyaksikan perarakan sempena istiadat pernikahan Diraja.
Setelah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah diarak menaiki kenderaan Rolls Royce sejauh 1.2 kilometer, Istiadat Pernikahan Diraja telah disempurnakan di Masjid Istana Diraja, Istana Alam Shah, Klang yang diketuai oleh Mufti Selangor Dato’ Setia Dr Anhar Opir.
Tidak lama lagi, istiadat persandingan diraja dan majlis santapan diraja bagi memuliakan perkahwinan Raja Muda Selangor pula akan diadakan di Balairung Seri dan Balai Santapan Diraja, Istana Alam Shah pada 22 Oktober depan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!
Baru-baru ini, penganjur Good Vibes Festival (GVF), Future Sound Asia (FSA) telah membuat tuntutan mahkamah dan mendakwa kumpulan The 1975 secara sengaja melanggar undang-undang Malaysia walaupun sudah diberi peringatan berkali-kali.
Acara yang sepatutnya disambut bagi meraikan ulang tahun ke-10 Good Vibes Festival (GVF) tahun lalu menjadi mimpi ngeri buat FSA apabila hari kedua dan ketiga festival terpaksa dibatalkan.
Ia susulan insiden membabitkan kumpulan rock British, The 1975 yang telah melakukan aksi-aksi bertentangan dengan garis panduan ketika membuat persembahan di atas pentas.
Selepas setahun dari tarikh kejadian berkenaan, The 1975 telah di saman sebanyak 2.4 Juta Dollar (RM 11.07 Juta) oleh pihak GVF, yang mana jumlah itu hanya kurang sedikit berbanding tuntutan asal sebanyak 2.6 Juta Dollar (RM 11.99 Juta).
“Aksi mereka (The 1975) telah memberi kesan kepada artis tempatan dan para peniaga kecil di Malaysia yang bergantung kepada festival tersebut bagi peluang kreatif dan punca pendapatan” – Future Sound Asia
Menerusi firma guaman Steven Thiru & Sudhar Partnership, FSA memfailkan tuntutan tersebut di Mahkamah Tinggi United Kingdom. Pihak penganjur itu juga mendakwa kumpulan The 1975 secara sengaja melanggar undang-undang Malaysia walaupun setelah berkali-kali peringatan diberikan.
Dalam pada itu, mereka turut memetik persetujuan bertulis oleh vokalis Matty Healy bahawa kumpulannya akan mematuhi semua peraturan dan garis panduan tempatan.
Antara undang-undang yang dilanggar oleh kumpulan berkenaan adalah memaki, menghisap rokok dan mengambil minuman keras di atas pentas, menanggalkan pakaian, serta bercakap tentang politik atau agama.
Ini juga termasuk aksi bercium di khalayak ramai yang dilakukan oleh Matty Healy dengan pemain bass, Ross MacDonald.
Dilaporkan tuntutan mahkamah tersebut turut menyatakan bahawa The 1975 mempertimbangkan untuk tidak membuat persembahan, tetapi mengambil keputusan untuk mencabar undang-undang dengan memainkan setlist yang berbeza daripada perancangan awal.
Terdahulu, The 1975 telah mengecam polisi kerajaan Malaysia mengenai LGBT ketika melakukan persembahan di GVF 2023. Vokalis, Matty turut bertindak tidak senonoh dengan mencium MacDonald, memegang botol arak dan melakukan aksi meludah ketika di atas pentas sehingga menyebabkan keseluruhan persembahan malam itu dihentikan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!