
Kumpulan pop terkenal, KATSEYE baru-baru ini meraih perhatian selepas diumumkan bakal membuat persembahan di pentas Victoria’s Secret Fashion Show 2026 yang akan berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 18 Oktober ini.
Difahamkan, kumpulan yang dibentuk menerusi kerjasama gergasi K-pop HYBE dan label rakaman Amerika Syarikat, Geffen Records itu dipilih sebagai salah satu artis yang bakal menghiburkan penonton pada acara fesyen berprestij berkenaan.
Victoria’s Secret Fashion Show yang mula dianjurkan sejak 1995 sememangnya sinonim dengan gabungan pertunjukan fesyen dan persembahan artis popular dunia. Antara nama besar yang pernah menghiasi pentas acara tersebut termasuk Taylor Swift, Rihanna dan Lady Gaga.

Menariknya, KATSEYE bukan satu-satunya bintang yang bakal membuat persembahan pada edisi kali ini apabila mereka akan berkongsi pentas bersama penyanyi pop Kanada, Tate McRae, rapper terkenal Amerika Syarikat, Megan Thee Stallion, serta penyanyi genre ‘country’ yang sedang meningkat naik, Megan Moroney.
Pemilihan KATSEYE dilihat hadir ketika populariti kumpulan tersebut semakin berkembang di peringkat antarabangsa. Malah, majalah muzik Amerika Syarikat, Billboard, turut menyorot peningkatan mendadak kumpulan itu selepas EP ketiga mereka berjudul ‘WILD’, berjaya menduduki tangga pertama carta Billboard 200 pada Ogos lalu.
Dalam masa sama, lagu ‘Animal’ terus menunjukkan prestasi positif apabila berada di kedudukan ke-30 carta Billboard Hot 100 dan mencatatkan minggu kesembilan berturut-turut dalam carta tersebut. Lagu berkenaan turut mencapai kedudukan ke-14 dalam carta Pop Airplay, sekaligus menjadi pencapaian tertinggi KATSEYE setakat ini.

Tidak terhenti di situ, KATSEYE kini turut mengorak langkah lebih besar menerusi jelajah ‘The Wildworld’, iaitu jelajah arena pertama mereka. EP ‘WILD’ juga masih bertahan dalam Billboard 200, manakala karya terdahulu mereka, ‘BEAUTIFUL CHAOS’, terus mencatat kehadiran dalam carta berkenaan.
Untuk rekod, KATSEYE membuat kemunculan di Amerika Syarikat pada 2024 menerusi strategi “multihome, multigenre” HYBE yang membawa pendekatan latihan dan pembangunan artis K-Pop ke pasaran luar Korea. Sejak debut, kumpulan itu semakin mendapat pengiktirafan apabila menerima pencalonan Grammy Awards bagi kategori Best New Artist dan Best Pop Duo/Group Performance.
BACA: Cipta Sejarah, Sofia Jirau Gadis Down Syndrome Pertama Jadi Model Victoria’s Secret
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram, TikTok dan Threads rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!


















