“Kami Reda, Tapi Takkan Diam” –Keluarga Tuntut Keadilan Buat Arwah Zara Qairina

Share

Pemergian tragik seorang pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir, 13, terus menjadi tanda tanya besar dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

Apa sebenarnya yang berlaku pada malam 17 Julai itu?

Menurut perkongsian yang menyentuh hati oleh seorang ahli keluarga mangsa dikenali sebagai Syira Leizel di Facebook, Zara disifatkan sebagai seorang anak yang lembut hati, taat solat, dan tidak pernah mengeluh meskipun dikatakan sering dibuli di sekolah.

“Kami menulis kronologi ini bukan dengan tangan yang kuat, tetapi dengan tangan yang menggigil sambil air mata menitis tanpa henti.

“Ini bukan sekadar catatan, tetapi helaian terakhir kasih sayang kami buat seorang anak yang tidak sempat kami selamatkan,” tulisnya penuh emosi.

Keluarga percaya bahawa pemergian remaja ini bukan disebabkan oleh kemalangan atau terjatuh sendiri, tetapi wujud unsur mencurigakan

di sebalik insiden malang itu.

Mereka turut menegaskan bahawa perkongsian mereka bukan untuk menuding jari, sebaliknya demi menuntut keadilan buat arwah Zara.

“Kami merayu sepenuh jiwa kepada sesiapa yang membaca, tolong jangan tinggalkan komen yang menyakitkan. Tolong jangan persoalkan hal peribadi keluarga yang tiada kaitan. Kami terlalu sedih untuk menjawab anda. Kami hanya mahu anak kami dikenang dengan maruahnya.

“Kami reda. Tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata. Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran,” tambahnya.

“Zara Selalu Mengadu…”

Zara dikatakan seorang pelajar yang berdisiplin, sopan dan sangat tabah biarpun terpaksa berdepan tekanan di asrama. Antara pengalaman pahit yang didakwa dihadapi Zara termasuk kehilangan barang peribadi, dipaksa belanja, malah gangguan fizikal dan seksual daripada pelajar lain.

Difahamkan juga, Zara pernah memberitahu ibunya bahawa dia tertekan kerana terpaksa mencatat nama pelajar yang tidak solat, selain pernah dipanggil oleh pelajar senior tertentu.

“Zara sering memberitahu keluarganya bahawa pada pukul 2 hingga 3 pagi, ramai budak masih berjaga. Ada yang makan, berbual, berkumpul dalam bilik air atau ruang bawah untuk mendobi,” tulis Syira.

Pendedahan ini jelas bercanggah dengan dakwaan awal bahawa semua pelajar sedang tidur ketika kejadian berlaku. Maka, persoalan pun timbul:

jika ramai yang masih bangun ketika itu, kenapa tiada siapa nampak atau dengar apa-apa?

“Zara Jatuh Dari Tingkat Tiga…”

Lebih menyayat hati, Syira menjelaskan bahawa sekitar pukul 3 pagi, ibu Zara telah menerima panggilan dari warden sekolah memaklumkan bahawa Zara terjatuh dan sedang koma.

“Ibu kandung diberitahu kaki dan tangan Zara patah. Tiada pengetua atau guru lain yang bercakap, warden yang menelefon. Zara jatuh dari tingkat tiga bangunan asrama perempuan.

“Ketika dijumpai, kepala terkulai dalam longkang, kaki kanan terjulur lurus, manakala kaki kiri terlipat pelik dan tangan terlentang, muka menghadap ke depan dalam keadaan terlentang. Tiada darah kelihatan di kepala atau badan hanya darah di tapak kaki kiri yang luka terbelah,” jelasnya.

Buat keluarga, keadaan mayat Zara dan beberapa perkara lain menimbulkan keraguan yang sangat besar.

“Kami tidak percaya Zara jatuh sendiri. Zara mungkin didorong secara paksa, dipaksa keluar dalam ketakutan, dicampak dalam keadaan pengsan atau lebih memilukan, dia dicederakan terlebih dahulu dan kemudian dijatuhkan untuk menutup sesuatu.

“Apa pun kebenarannya, Zara mati dalam situasi yang tidak normal. Dan sekarang… semua orang bertindak seolah ini kematian biasa. Kami tidak akan benarkan itu berlaku,” tegas Syira.

Pihak Berkuasa Sedang Jalankan Siasatan

Kes yang berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh di Sabah ini telah mencuri perhatian ramai selepas tular di media sosial. Zara yang dirawat di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu.

Susulan kejadian, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek turut mengeluarkan kenyataan menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau turut meminta agar masyarakat menghormati privasi keluarga mangsa dan memberi ruang penuh kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan siasatan.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

SUMBER: FB Syira Leizel

Published by
Fath