
Terbaru, selepas pencapaian yang memberangsangkan, filem K-Pop Demon Hunters dilaporkan bakal menerbitkan sekuel selepas beberapa spekulasi mengenai perancangan mengenai masa depan francais itu menjadi bualan di media sosial.
Menurut laporan media antarabangsa, penulis lagu filem tersebut, Mark Sonnenblick mengesahkan bahawa sekuel kini dalam proses pembangunan.
Namun, penonton dijangka perlu menunggu lebih lama kerana penerbitan animasi mengambil masa panjang dan hanya disasarkan untuk tayangan sekitar 2029.
Sebelum ini, laporan Bloomberg pada November lalu mendedahkan bahawa Netflix telah memuktamadkan perjanjian dengan pengarah Maggie Kang dan Chris Appelhans serta Sony Corp untuk menghasilkan filem kedua dan kerjasama ini menyusul selepas kejayaan luar biasa filem pertamanya.
Bukan setakat itu, dua lagi sekuel tambahan turut dilaporkan dirancang bagi membentuk trilogi lengkap. Pada masa sama, projek ‘live action’ dan muzikal pentas juga difahamkan berada dalam fasa pembangunan awal.
Sejak ditayangkan, K-Pop Demon Hunters mencipta fenomena budaya pop antarabangsa serta mencatat sejarah sebagai filem paling banyak ditonton dalam sejarah Netflix.
BACA: Artis K-Pop Akan Semakin ‘Mendonia’ Selepas Kemenangan Huntr/x Di Grammy 2026?
Trek utamanya yang berjudul Golden, turut memberi impak besar dalam industri muzik global apabila lagu tersebut berjaya memecahkan rekod carta antarabangsa, meraih Anugerah Grammy dan menerima pencalonan Oscar bagi kategori Lagu Asal Terbaik.
Pelancaran figura rasmi pula dilihat sebagai langkah pemasaran strategik oleh Netflix dan Sony sekaligus memperkukuh jenama francais tersebut menjelang perancangan projek susulan.
Sementara itu, menerusi perancangan sekuel yang semakin jelas, K-Pop Demon Hunters dilihat berpotensi berkembang sebagai francais jangka panjang.
Jika semuanya berjalan lancar, peminat mungkin dapat menyaksikan bab baharu animasi ini menjelang 2029.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.