Jika Paksa Pasangan Lakukan Hubungan Kelamin, Polis Jelaskan Ia Satu Kesalahan & Boleh Kena 5 Tahun Penjara

Share

Rogol adalah satu perbuatan paksaan tanpa kerelaan dari mangsa. Jenayah kekerasan ini bukan saja mendatangkan trauma berpanjangan tetapi memori ini akan terus kekal hingga ke akhir hayat mangsa.

Jenayah rogol tidak hanya terjadi kepada kanak-kanak, remaja mahupun wanita dewasa. Ada juga kes yang mendapat perhatian masyarakat kerana mangsanya terdiri dari warga emas yang sudah hilang kudrat untuk melawan.

Sebahagian kes rogol, pelakunya langsung tidak dikenali mangsa. Ianya terjadi secara rambang. Tapi ada juga  kes  hubungan suka sama suka namun disebabkan mangsa bawah umur, pelakunya tetap didakwa.

Berkongsi tentang jenayah rogol, apa yang didedahkan oleh dua pegawai polis wanita ini  iaitu Inspektor Nurul Akma binti Khalid, 32 tahun dan ASP Radhiah  binti Mamat, 36 tahun dari Bahagian Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak Ibu Pejabat Kontijen Kuala Lumpur (IPK Kuala Lumpur) pasti mengejutkan semua orang.

Perlakuan suami isteri yang disangka halal sehingga lahir zuriat keturunan  rupanya boleh disabitkan sebagai jenayah seksual jika hubungan kelamin dilakukan secara paksa tanpa ada kerelaan dari isteri.

Hubungan suami isteri boleh bertukar menjadi detik ngeri jika wujud unsur paksaan

Terkejutkan dengan kenyataan inikan! Suami mungkin menyangka, mereka boleh mendatangi “ladang untuk bercucuk tanam” tanpa ada batasan masa dan waktu tetapi ia boleh bertukar kepada perlakuan jenayah tanpa diduga.

Menyebut jenis-jenis  keganasan yang biasa terjadi pada wanita, perkongsian awal dari Inspektor Nurul Akma ini sudah pasti cukup mengejutkan.

Katanya, sepanjang bertugas di Unit D 11 iaitu Siasatan Seksual Wanita & Kanak-Kanak sejak 5 tahun lalu, dia  banyak menerima aduan suami memaksa isteri melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan.

Apabila aduan dibuat, kes akan disiasat di di bawah Seskyen 375 A Kanun Keseksaan. Jika siasatan mendapati wujudnya paksaan dalam hubungan kelamin ini, suami boleh didakwa atas jenayah rogol terhadap isteri. Hukuman penjaranya 5 tahun. Ini berbeza kalau kalau seseorang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa kepada hukuman 20 tahun penjara dan sebatan.

Jika ada paksaan, ia satu perlakuan jenayah biar pasangan suami isteri – Inspektor Nurul Akma

Kongsi Inspektor Nurul Akma lagi, dia pernah berhadapan satu siasatan membabitkan pasangan yang dalam proses hendak bercerai.

Suatu malam, suaminya datang ke rumah dan mengajak isterinya untuk mengadakan hubungan kelamin. Ia juga salah satu cara suami ini untuk memujuk isterinya menerimanya semula kerana dia enggan  menceraikan isterinya.

Disebabkan keengganan isteri menerima pelawaan mengadakan hubungan seksual secara sukarela, suaminya  telah menampar, mencengkam kedua belah tangannya dengan ganas dan seterusnya melakukan hubungan seksual tanpa kerelaan.

Adakala wujud konflik antara suami isteri hingga timbul perlakuan ganas – pix sumber internet

Keesokkan harinya isteri ada membuat aduan di balai polis. Siasatan mendapati tubuhnya ada kesan lebam akibat ditampar. Pemeriksaan doktor juga mendapati berlaku kemasukan benda tumpul ke kemaluannya.

Kes ini kita siasat di bawah Seksyen 375 A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun.

Jelas Inspektor Akma lagi, sebarang bentuk paksaan boleh dikira sebagai jenayah rogol biarpun pelakunya adalah suami isteri yang sah hukum pernikahannya.

“Ya dalam hukum Islam mengatakan hubungan suami isteri itu halal tetapi dalam undang-undang, sebarang bentuk paksaan adalah perlakuan jenayah,” katanya yang mahu semua lelaki memandang serius isu ini.

Mungkin kedengaran lucu tetapi tidak ramai yang tahu, melakukan hubungan kelamin dengan paksaan adalah satu jenayah di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN : Pegang-Pegang Konon Nak Gurau, Awas Ya Korang Boleh Disabitkan Atas Kesalahan Cabul

Hukuman jadi lebih berat

Mulai Julai tahun ini, kerajaan sudah mewartakan, sebarang jenayah yang dilakukan terhadap kanak-kanak di bawah usia 18 tahun, bentuk hukumannya menjadi lebih lama berbanding sebelum akta ini dikuatkuasakan.

Mengulas penubuhan Mahkamah Khas Jenayah Seksual  Kanak-Kanak di Putrajaya, jelas ASP Radhiah, di bawah Akta Jenayah Seksual Kanak-Kanak 2017 yang diwartakan 7 Julai 2017 yang lalu,  mahkamah ini ditubuhkan khas bagi mendengar perlakuan jenayah bagi kanak-kanak di bawah usia 18 tahun.

jangan takut membuat aduan dan segera bertindak – ASP Radhiah

Sebagai contoh,  kalau sebelum akta ini diwartakan, hukuman bagi kesalahan mencabul kanak-kanak, seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, pelakunya boleh dihukum penjara 10 tahun. Tetapi selepas diwartakan, hukuman boleh meningkat  sehingga 20 tahun penjara,” katanya yang sudah lebih 10 tahun berkhidmat dalam pasukan polis.

Dalam pada itu, kedua-dua pegawai polis wanita ini turut menasihati para wanita mahupun remaja untuk terus segera bertindak seandainya menyedari diri mereka diperlakukan tanpa kerelaan.

“Jangan tunggu lama atau memilih untuk berdiam diri kerana ada hak dari segi peruntukan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak dan wanita. Jangan malu kerana semakin lama dipendam, pelakunya mungkin menjadi lebih aagresif.

“Kalau bukan kepada kita, dia mungkin melakukan jenayah yang sama kepada orang lain pula. Jadi hal ini akan berterusan dan tiada kesudahan,” kata keduanya.

Menasihati remaja di luar sana untuk segera bertindak jika menyedari wujud perlakuan jenayah, kata ASP Radhiah, mereka boleh segera ke balai polis kerana setiap aduan akan diterima.

 

 

 

 

 

 

IKLAN