“Jangan Putus Asa Mencuba, Ini Permulaan Untuk Semua”- Pesan Tengku Hassanal Kepada Lepasan SPM

Share

Comelnya Tengku Hasanal ketika kecil, itu yang terdetik dihati penulis saat melihat gambar yang dimuatnaik oleh Tengku Mahkota Pahang itu di laman Instagramnya. Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang kini berusia 26 tahun berkongsi memori ketika baginda memulakan persekolahan rendah di Sekolah Kebangsaan St. Thomas, Kuantan.

Dalam hantaran itu baginda berkongsi, “Di sinilah tempat saya belajar membaca, menulis dan mengira. Di sinilah juga, saya belajar bahawa pencapaian datang dalam pelbagai bentuk; sesiapa sahaja boleh berjaya dalam bidang tersendiri.

Tengku Hassanal dalam persalinan sekolah rendah sedia memulakan kelas

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada mereka yang baru sahaja mendapat keputusan SPM. Alhamdulilah, apa pun jua keputusan yang diperolehi majulah kehadapan, merintangi segala cabaran.

“Dalam kegagalan, ada sinar untuk memperbaiki diri, dalam kejayaan, ada ruang untuk menjadi lebih baik. Anda tidak bersendirian, khidmat nasihat dan bantuan sentiasa bersama dalam keluarga dan rakan-rakan. Orang yang segan selalu rugi. Jangan malu untuk meminta pertolongan dan nasihat.

“Jangan putus asa untuk mencuba, inilah permulaan untuk anda semua. Langkah ke hadapan mengejar impian dengan semangat yang baru. Majulah Kehadapan, Mengejar Kejayaan.”

Dalam gambar yang dimuatnaik itu, kelihatan DYMM Permaisuri Agung menemani anakandanya cantik dalam persalinan kurung rona biru berbunga merah jambu. Selain itu ayahanda baginda DYMM Yang Dipertuan Agong turut ada bersama.

DYMM Raja Permaisuri Agong memakaikan tanda nama kepada Tengku Hassanal


Mendapat pendidikan di sekolah kerajaan bersama-sama dengan rakyat jelas menonjolkan sisi keluarga DiRaja ini yang mempercayai dengan sistem pendidikan kebangsaan selain memberi kelebihan untuk bakal Sultan Pahang ini duduk bersama dengan rakyat jelata.

Selepas menamatkan pengajian sekolah rendah di Malaysia, Tengku Hasanal kemudiannya menyambung peringkat sekolah menengah di Caldicott School dan Sherborne School yang terletak di United Kingdom. Baginda kemudiannya mendapat pengajian tinggi di Geneva School of Diplomacy and International Relations.

Sumber gambar: Instagram @this.7

IKLAN