
Bintang K-Pop popular, J-Hope baru-baru ini membuktikan bahawa sambutan ulang tahun tidak semestinya tentang kek dan hadiah mewah apabila beliau memilih untuk meraikan hari lahirnya yang ke-32 dengan cara lebih istimewa serta bermakna dengan menyumbangkan 200 juta Korea Won kepada Seoul Asan Medical Center dan 100 juta Korea Won kepada institusi pendidikan.
Menurut pihak hospital, dana tersebut akan digunakan untuk menyokong pembangunan hospital kanak-kanak termasuk penambahbaikan fasiliti dan persekitaran rawatan, perkhidmatan rawatan di rumah untuk pesakit kanak-kanak dalam keadaan kritikal serta program pemulihan psikologi buat mereka yang sedang berjuang melawan penyakit.
Dalam kenyataannya, J-Hope atau pemilik nama sebenar Jung Hoseok berharap agar kanak-kanak dapat mengatasi kesakitan yang dialami dan terus memasang impian cerah ke arah masa depan yang penuh harapan. Beliau turut menyatakan bahawa sumbangan itu adalah tanda penghargaan kepada peminatnya, ARMY atas sokongan berterusan yang tidak pernah putus.

Menariknya, ini bukan kali pertama bintang global tersebut menghulurkan bantuan kepada hospital sama. Pada tahun 2022, beliau menyumbang 100 juta Korea Won, diikuti 200 juta Korea Won pada 2025 untuk hospital kanak-kanak dan sekali lagi 200 juta Korea Won pada tahun ini. Secara keseluruhan, jumlah sumbangannya kini mencecah 500 juta Korea Won (kira-kira RM1,350,000) satu angka yang cukup besar dan konsisten.
Pada masa yang sama, pelantun lagu ‘Mona Lisa’ dan ‘Killin’ It Girl’ itu turut meraikan ulang tahunnya dengan satu lagi inisiatif penuh makna apabila menyumbangkan 100 juta Korea Won kepada beberapa institusi pendidikan bagi menyokong para pelajar yang memerlukan.
Organisasi kebajikan kanak-kanak Green Umbrella memaklumkan bahawa dana tersebut akan disalurkan sebagai biasiswa kepada pelajar di Gwangju International High School dan Jeonnam Girls’ Commercial High School. Bantuan ini bertujuan memastikan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan dapat terus fokus terhadap pelajaran tanpa dibebani masalah kewangan.

View this post on Instagram
Difahamkan, sejak 2019 hingga 2023, J-Hope secara konsisten menyalurkan biasiswa kepada pelajar yang menghadapi kesukaran ekonomi. Malah, melalui sumbangan terbaru ini beliau secara rasmi menjadi ahli ke-14 “Green Noble Trinity Club”, iaitu kumpulan penderma bernilai ultra-tinggi di bawah Green Umbrella dengan jumlah sumbangan melebihi 1 bilion Korea Won.
Sejak 2018 juga, beliau aktif membantu pelbagai golongan rentan termasuk pesakit yang memerlukan kos rawatan serta kanak-kanak daripada keluarga terjejas akibat pandemik COVID-19.
Sementara itu, menurut Pengerusi Green Umbrella, Hwang Young-ki, menyatakan penghargaan terhadap konsistensi J-Hope yang setiap tahun berkongsi kasih pada hari ulang tahunnya. Jelas sekali, bagi penyanyi ini, ulang tahun bukan sekadar momen peribadi tetapi peluang untuk menyebarkan harapan dan memberi impak nyata kepada generasi masa depan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!






























