
Inkues dedah warden arah pelajar angkat Zara Qairina sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar pada awal pagi 16 Julai lalu. Kes ini terus menarik perhatian kerana pelbagai fakta baharu terungkap sepanjang prosiding.
Ketua Warden, Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru Bahasa Arab kepada Zara Qairina, memberitahu Mahkamah Koroner bahawa sepanjang beliau bertugas, arwah tidak pernah membuat aduan mengenai sebarang masalah di asrama. Zara Qairina yang berusia 13 tahun ketika itu, tinggal di Asrama Qurratu Ayun tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain di bawah seliaannya.

“Saya Nampak Zara Masih Bernafas”
Azhari berkata, beliau menerima panggilan kecemasan daripada pengawal keselamatan pada jam 3.04 pagi. Ketika tiba di lokasi, beliau melihat Zara Qairina terbaring di longkang asrama dalam keadaan tidak sedarkan diri, namun kelihatan bernafas seperti tidur berdengkur.
Ketika itu, lima pelajar dan pengawal keselamatan sudah berada di tempat kejadian. Azhari kemudian mengarahkan mereka mengangkat arwah ke kawasan terlindung dan rata sejauh kira-kira 20 meter dari lokasi asal. Selepas membantu mengangkat, barulah beliau perasan ada kesan darah di bucu longkang serta kecederaan pada pergelangan kaki kiri mangsa.

Hubungi 991 & Pengetua
Beliau segera menghubungi talian kecemasan 991 pada 3.17 pagi untuk mendapatkan bantuan perubatan, sebelum memaklumkan Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan pengetua sekolah. Azhari juga cuba menghubungi ibu bapa arwah, namun panggilannya tidak berjaya.
Panggilan kedua dibuat ke talian 991 pada 3.47 pagi, sebelum ambulans tiba menghantar Zara Qairina ke hospital. Malangnya, arwah meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Queen Elizabeth, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri.
Inkues & Arahan AGC
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis. Malah, sebelum itu, AGC turut mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur arwah pada 8 Ogos bagi membolehkan bedah siasat penuh dilakukan.
Tanda Tanya Terus Timbul
Pendedahan dalam inkues ini menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk soal prosedur kecemasan di asrama serta keputusan untuk mengangkat mangsa sebelum ambulans tiba. Ramai ibu bapa dan pelajar sebaya meluahkan rasa simpati terhadap keluarga arwah serta menanti keputusan inkues bagi merungkai kebenaran dan memberi keadilan buat Zara Qairina Mahathir.
Sumber : Harian Metro, Sinar Harian
BACA LAGI : Inkues Zara Qairina: Dituduh Curi, Warden Arah Pelajar Cuci Darah – Fakta Mengejutkan Minggu Kedua
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup?
Ikuti Telegram, Instagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Ini baru lah gaya hidup remaja.
REMAJA kini di
Download sekarang!









