Hiburan

I.M MONSTA X Bikin Satu Arena Menangis! Cukur Rambut Atas Pentas Sebelum Ke Latihan Wajib Tentera

Share

Baru-baru ini, kemunculan mengejut penyanyi K-Pop sensasi, I.M MONSTA X di atas pentas konsert jelajah MONSTA X 2026 ‘THE X : NEXUS’ di KSPO Dome, Olympic Park, Seoul nyata membuatkan ribuan peminat terpaku. Detik penuh emosi itu menjadi antara momen paling tidak disangka apabila penyanyi rap tersebut mencukur rambutnya secara spontan di hadapan MONBEBE, sekaligus mencetuskan suasana hiba di dalam arena.

Difahamkan, saat paling menyentuh perasaan berlaku pada hari terakhir konsert apabila I.M atau nama sebenarnya Im Chang-kyun (30) mencukur rambutnya di atas pentas, di hadapan ribuan MONBEBE sehingga mencetuskan suasana penuh emosi dan arena konsert bertukar menjadi lautan air mata. Dalam keadaan sebak, beliau sempat berkongsi kata-kata ikhlas kepada para peminat.

“Ini adalah persembahan terakhir saya sebelum menjalani wajib tentera. Walaupun belakang saya masih sakit, saya tetap tidak dapat mengelakkannya. Kekuatan cinta anda memang luar biasa,” katanya sambil menahan tangisan.

BACA: MONSTA X Kembali Ke Malaysia Selepas 7 Tahun, Bakal Hangatkan Kuala Lumpur Mac Ini!

Pada masa yang sama, I.M turut mendedahkan bahawa walaupun pernah menghentikan aktiviti sebanyak dua kali sepanjang tahun 2025, dirinya sebenarnya tidak pernah benar-benar berehat.

“Saya sentiasa melakukan sesuatu, dan sebabnya adalah MONBEBE. Saya akan mengambil rehat seketika daripada 10 tahun perjalanan MONSTA X,” ujarnya lagi.

Detik emosi itu diteruskan apabila ahli-ahli MONSTA X lain tampil ke hadapan dan bergilir-gilir mencukur rambut I.M. Sorakan nama I.M daripada para peminat yang menangis menjadikan momen tersebut antara saat paling mengesankan dalam sejarah konsert kumpulan itu.

Terdahulu, I.M pernah menghentikan aktiviti buat sementara waktu akibat masalah kesihatan belakang, namun beliau kembali menyertai konsert di Seoul dan kehadirannya bukan sahaja melengkapkan persembahan kumpulan itu, malah memberi makna istimewa buat peminat yang telah lama menantikan kemunculan penuh MONSTA X.

Sekadar info, MONSTA X secara rasmi membuka jelajah dunia MONSTA X 2026 ‘THE X : NEXUS’ sejak 30 Januari hingga 1 Februari lalu sebelum bergerak ke destinasi lain termasuklah Kuala Lumpur pada Mac ini. Konsert pembukaan selama tiga hari itu menyaksikan kumpulan berkenaan bertemu kira-kira 20,000 peminat setia mereka, MONBEBE, sekaligus menandakan permulaan baru buat perjalanan global MONSTA X.

Jelajah ‘THE X : NEXUS’ merupakan jelajah dunia solo pertama MONSTA X dalam tempoh hampir empat tahun, selepas kali terakhir mereka mengadakan jelajah ‘MONSTA X : NO LIMIT’ di Seoul pada tahun 2022. Kepulangan mereka ke pentas besar ini nyata dinanti-nantikan, terutama selepas tempoh panjang yang dipenuhi aktiviti individu dan perkhidmatan ketenteraan beberapa ahli.

Untuk rekod, I.M dijadualkan lapor diri ke pusat latihan tentera pada 9 Februari ini bagi menjalani latihan asas sebelum memulakan perkhidmatan sebagai anggota tentera aktif. Peminat di seluruh dunia kini menantikan hari kepulangannya, sambil terus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi sepanjang tempoh tersebut.

Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti TelegramInstagram dan TikTok rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.

Published by
ZOE