
Bukan hanya negara Indonesia sahaja yang melalui penukaran bagi ibu negara mereka baru-baru ini, negara jiran utara kita iaitu Thailand turut melakukan perkara yang sama. Thailand tidak menukar ibu negaranya, Bangkok ke lokasi yang baru. Sebaliknya, hanya nama rasminya saja yang bertukar.
Perkara tersebut telah diumumkan oleh Pejabat Diraja Thailand (ORST) di mana nama Bangkok bakal dikenali secara rasminya sebagai Krung Thep Maha Nakhon. Begitupun, nama ‘Bangkok’ masih boleh digunakan oleh orang ramai dan dijadikan sandaran rujukan.
Krung Thep Maha Nakhon dilaporkan sekadar akan digunakan sebagai nama rasmi dan untuk urusan rasmi bandar raya itu. Manakala nama Bangkok akan ditulis dalam kurungan sebagai rujukan.

Selasa lalu, kabinet Thailand telah meluluskan draf pengumuman Perdana Menteri untuk mengemas kini nama negara-negara, wilayah, zon pentadbiran dan ibu negara seperti yang disyorkan ORST.
Sebagai contoh, ORST telah mengemas kini ejaan ibu negara Itali, Rom; ibu negara Myanmar iaitu Yangon pula telah bertukar kepada ejaan Nay Pyi Taw manakala nama negara Nepal pula kini dikenali sebagai Republik Persekutuan Demokratik Nepal.
Buat masa ini, nama Krung Thep Maha Nakhon yang membawa maksud ‘The Great City of Angles’ masih belum diguna pakai dan sedang menunggu proses penelitian jawatankuasa yang menguruskan draf undang-undang. Kabinet Thailand turut meminta agar panel jawatankuasa bertanggungjawab untuk mempertimbangkan pemerhatian lanjut daripada Kementerian Luar.
Untuk pengetahuan, nama Bangkok telah digunakan sebagai nama rasmi ibu negara Thailand sejak diumumkan oleh ORST pada November 2021. Difahamkan, nama Bangkok berasal daripada nama wilayah metropoitan raya ibu negara, Bangkok Noi dan daerah Bangkok Yai.
Jujurnya, kami tidak dapat bayangkan sekiranya nama Kuala Lumpur berubah menjadi sesuatu yang berlainan.
Update terkini tentang isu semasa, dunia hiburan, kecantikan, fesyen dan gaya hidup? Ikuti telegram rasmi Remaja untuk lebih banyak info dan juga peraduan menarik.
Hukuman Berat Menanti Pemabuk & Memandu Melulu! RUU Pindaan Akta Pengangkutan Jalan Sudah DILULUSKAN

Ramai melihat isu kematian melibatkan pemandu mabuk dan secara melulu sering menjadi ancaman kepada pengguna jalan raya. Ditambah akta yang agak lemah di mana pesalah yang menerima hukuman tidak setimpal membuatkan ramai mempertikaikannya.
Namun mulai minggu hadapan, mana-mana pesalah kesalahan raya akan berhadapan menerima hukuman lebih lama dan denda lebih tinggi selepas Rang Undang-Undang Pindaan Akta Jalan Sudah diluluskan.
Ini bermakna, hukuman lebih berat selepas ini.
Dalam satu perkongsian dari Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong semalam di fbnya, beliau memaklumkan RUU itu sudah berjaya dipinda.
Saya mengambil maklum tentang kes pemandu Myvi di Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada 10 Oktober lalu yang telah menyebabkan kematian seorang anggota tentera. Pesalah telah dijatuhi hukuman penjara 6 tahun dan didenda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret semalam di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ramai netizen telah mengeluarkan rasa tidak puas hati mengenai hukuman yang dijatuhkan.
Sejak saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan, isu keselamatan jalan raya merupakan antara perkara yang paling diutamakan dari segi penggubalan polisi dan penguatkuasaan oleh Kementerian Pengangkutan. Antara usaha-usaha yang telah dijalankan termasuk pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memperkenalkan hukuman yang lebih berat supaya dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai. Namun, setiap perkara ada proses yang perlu dilalui.
Pada ketika ini, Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 telah pun diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos 2020 dan Dewan Negara pada 22 September 2020.
Mengikut proses undang-undang, apa jua Rang Undang-Undang yang telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat dan Dewan Negara perlu mendapatkan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam tempoh 30 hari dari tarikh kelulusan parlimen sebelum ianya boleh diwartakan.
Sukacita dimaklumkan perkenan DYMM YDPA baru sahaja diperolehi semalam. Kementerian Pengangkutan akan mewartakan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 pada minggu depan supaya ia menjadi sebahagian undang-undang.
Dalam hal ini, perkara 7(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa “Tiada seorang pun boleh dihukum kerana sesuatu perbuatan atau peninggalan yang tidak boleh dihukum menurut undang-undang pada masa perbuatan atau peninggalan itu dilakukan atau dibuat, dan tiada seorang pun boleh menanggung hukuman yang lebih berat kerana sesuatu kesalahan daripada yang telah ditetapkan oleh undang-undang pada masa kesalahan itu dilakukan.” Maka, pihak pendakwaraya dan mahkamah hanya boleh mengguna pakai Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang belum dipinda bagi kes pemandu Myvi ini.
Untuk makluman, Seksyen 41 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan telah dipinda di mana hukuman sedia ada iaitu penjara selama tempoh tidak kurang daripada 2 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 5,000 dan tidak lebih daripada RM 20,000 telah dipinda kepada hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 5 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 20,000 dan tidak lebih daripada RM 50,000. Tempoh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu juga dipinda dari tempoh tidak kurang daripada 3 tahun kepada tidak kurang 5 tahun bagi sabitan pertama.
Seksyen 44 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah di mana hukuman sedia ada iaitu penjara selama tempoh tidak kurang daripada 3 tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dan denda tidak kurang daripada RM 8,000 dan tidak lebih daripada RM 20,000 telah dipinda kepada hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada 10 tahun dan tidak lebih daripada 15 tahun dan dikenakan denda tidak kurang daripada RM 50,000 dan tidak lebih daripada RM 100,000 bagi sabitan pertama. Tempoh hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu juga dipinda dari tempoh tidak kurang daripada 5 tahun kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dalam sabitan pertama.
Ada juga netizen yang cuba mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan, seolah-olah hukuman bagi kesalahan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah di bawah Seksyen 45 yang membawa denda tidak kurang daripada RM 1,000 dan tidak lebih daripada RM 5,000, dan boleh juga dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 2 tahun selepas pindaan, adalah jauh lebih ringan daripada kesalahan memandu secara melulu di bawah Seksyen 41.
Saya ingin tegaskan di sini bahawa kedua-dua seksyen melibatkan situasi yang berbeza di mana kesalahan di bawah Seksyen 45 tidak melibatkan kematian atau kecederaan.
Sekiranya kematian atau kecederaan diakibatkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah, Seksyen 44 yang disebutkan di atas boleh digunapakai. Pihak pendakwaraya akan memutuskan tuduhan yang sesuai mengikut fakta kes masing-masing.
Akhir kata, Kementerian Pengangkutan amat serius berhubung isu keselamatan orang ramai khususnya melibatkan pemandu yang memandu secara melulu, di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah yang menyebabkan kemalangan jalan raya sehingga mencederakan atau meragut nyawa.
Kepada pemandu di luar sana, tolonglah… Janganlah memandu dalam keadaan mabuk atau di bawah pengaruh dadah. Hargailah nyawa dan keselamatan diri terutamanya pengguna jalan raya lain. Jadilah masyarakat yang bertanggungjawab demi kebaikan bersama.
Tahniah! Politeknik Malaysia Rangkul 9 Pingat Emas Di 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018

Pertama sekali REMAJA ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Politeknik Malaysia dan pelajarnya yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa selepas menggondol sejumlah 14 pingat di 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018!
Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada pelajar-pelajar lelaki dan wanita Politeknik Malaysia dilaporkan telah selamat pulang ke tanah air semalam.
Kejayaan meraih sebanyak 9 pingat emas, 3 pingat perak dan 2 pingat gangsa turut mencuri perhatian Menteri Pendidikan, Maszlee Malik. Beliau telah memuat naik ucapan tahniah menerusi Twitter-nya.
“Politeknik Malaysa sekali lagi mengharumkan nama negara dengan merangkul 14 medal di 23rd FIRA RoboWorld Cup 2018 di University of Feng Chia, Taiwan. Kemahiran dan pengetahuan kalian dalam teknologi robot begitu membanggakan. Tahniah semua dan saya doakan kalian terus berjaya”.
Ini bukanlah kali pertama pasukan Politeknik Malaysia meraih kejayaan seumpama ini. Pada kejohanan edisi 2016 yang berlangsung di Beijing, China pasukan negara berjaya merangkul sebanyak 18 pingat dengan 6 pingat emas, 8 pingat perak dan empat pingat gangsa.

Manakala pencapaian pada tahun lalu yang berlangsung di Kaohsiung, Taiwan, skuad negara membawa pulang sebanyak 4 pingat emas.
Kejayaan meraih 9 pingat emas pada edisi kali ini membuktikan peningkatan yang cukup ketara telah berjaya dipamerkan oleh mereka. Mereka yang layak digelar Wira dan Wirawati negara di kejohanan bolasepak robot ini merrupakan inspirasi buat golongan remaja dan muda yang mempunyai minat dalam bidang kejuruteraan robotik.
Antara pingat emas yang diraih oleh Politeknik Malaysia di kejohanan terulung ini ialah menerusi kategori Hurocup Triple Jump, Androsot Soccer dan Robosot Soccer.
Untuk pengetahuan kamu, Federation of International Robot Soccer Association (FIRA) telah mula menganjurkan pertandingan bolasepak robot dan beberapa jenis sukan robot yang lain bermula dengan edisi pertamanya pada tahun 1996.
Matlamat utama FIRA ialah untuk menggalakkan kajian dalam bidang robotik, penbelajaran mesin, visi komputer dan kecerdasan buatan (A.I) dengan menggunakan robot sebagai platform utama. Manakala matalamat kedua mereka pula menggalakkan pelajar dalam bidang teknologi kejuruteraan mencabar kreatviti serta menyediakan mereka dengan pelbagai cabaran sebelum melangkah ke dunia kerjaya.

Sekali lagi, setinggi-tinggi ucapan tahniah buat Politeknik Malaysia di atas kejayaan ini. Semoga kejayaan luar biasa ini menjadi inspirasi buat pelajar-pelajar dan juga golongan remaja yang mempunyai aspirasi serta cita-cita dalam bidang robotik.
Foto: Politeknik Malaysia
“Cemas Tembakan Dilepaskan Selepas Solat”, Pelajar Malaysia Terperangkap Kongsi Rusuhan Di Sudan

Gara-gara pihak kerajaan menaikkan harga roti yang menjadi beban ekonomi kepada rakyat, negara Sudan sejak hampir dua minggu lalu menjadi huru-hara apabila rakyat mula merusuh dan memprotes tindakan tersebut.
Perusuh dan penunjuk perasaan membanjiri jalan raya Khartoum dan sekitar bandar lain dan menuntut Presiden Sudan, Omar al-Bashir meletakkan jawatan. Sehingga kini 8 rakyat Sudan maut akibat rusuhan ini selain ramai cedera.
Namun apa yang mencemaskan di sebalik insiden rusuhan di negara tersebut, keselamatan 105 orang pelajar Malaysia yang menuntut di negara Sudan dilihat agak membimbangkan. Pelajar dikatakan “terperangkap” ekoran penutupan universiti yang disebabkan pergolakan yang berlaku di Khartoum, Sudan sejak 19 Disember lalu.

Penuntut Pengajian Islam Pengkhususan Sirah dan Dakwah, Universiti Antarabangsa Afrika, Muhammad Syamim Sazli, 24, berkata rusuhan terbabit menyebabkan kebanyakan mereka tidak dapat menghabiskan peperiksaan yang sedang berlangsung.
Katanya, jadual peperiksaan banyak tertangguh membantutkan rancangan untuk pulang ke tanah air.
“Setakat ini, seramai 10 penuntut sudah membeli tiket kapal terbang, namun kita dimaklumkan peperiksaan hanya dijangka selesai pada 16 Januari ini.
“Justeru, tiada pilihan selain menunggu penyusunan semula jadual kerana kita hanya boleh balik selepas selesai peperiksaan. Kita sedang menunggu keputusan Kementerian Pendidikan Tinggi Sudan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi wartawan semalam.


Mengulas lanjut, Muhammad Syamim berkata, pengalamannya berdepan dengan detik cemas rusuhan selepas menunaikan solat Jumaat minggu lalu agak mencemaskan.
Katanya, puluhan das tembakan dan gas pemedih mata yang dilepaskan oleh anggota keselamatan untuk menyuraikan sekumpulan jemaah yang berkumpul dan melaungkan slogan penentangan terhadap kerajaan sekarang.
“Setibanya di rumah, kedengaran bunyi tembakan dilepaskan ekoran segelintir perusuh membaling batu kepada anggota keselamatan yang bertugas mengawal keadaan.
“Tidak lama kemudian, keadaan kembali normal, namun ia akan berulang kembali sebelum lokasi rusuhan diubah ke kawasan lain,” katanya.
Sementara itu Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, Mohd Alif Mohd Ludin, berkata kebanyakan rakyat Sudan berpusu-pusu melakukan pengeluaran wang tunai di mesin ATM.
“Pertukaran nilai mata wang dolar Amerika Syarikat ke Pound Sudan juga agak sukar.
“Ada di antara mereka yang menawarkan untuk melakukan pembayaran menggunakan kad debit dan saya perlu membayarnya semula secara tunai semasa ke pusat beli-belah untuk membeli kelengkapan rumah baru-baru ini,” katanya.


Pelajar kita diminta pulang ke tanah air
Sementara itu, Kedutaan Sudan di Malaysia meminta 105 mahasiswa yang terperangkap untuk pulang ke tanah air ekoran penutupan universiti berpunca pergolakan di Khartoum dan beberapa bandar lain sejak 19 Disember lalu.
Dutanya, Mohamad Razdan Jamil, berkata, tidak mustahil situasi boleh menjadi lebih buruk dalam tempoh 24 jam dan pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi menjamin keselamatan mahasiswa terbabit.
“Kita akan minta mereka (mahasiswa) balik kerana universiti ditutup dan keselamatan mereka adalah keutamaan kami buat masa ini. Paling penting, kita akan pastikan mereka semua selamat terlebih dahulu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya”
” Mahasiswa turut diingatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan politik dan menjauhkan diri dari tempat awam yang boleh menjejaskan keselamatan, katanya ketika dihubungi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhannya terdapat 150 rakyat Malaysia yang menetap di Sudan merangkumi mahasiswa, diplomat dan ahli perniagaan.
Katanya, terdapat lima syarikat Malaysia yang beroperasi di Sudan iaitu PETRONAS, Nursyh Engineering Co Ltd, Hanas Services Co Ltd, DSV AL Anwar Trillion Gold Mining dan Beauty Bar.
“Rakyat Malaysia yang ingin melancong ke Sudan dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga. Beberapa lokasi berisiko tinggi seperti Omdurman, Souq Al-Araby di Khartoum, Madani, Atbara dan Port Sudan sewajarnya dielakkan bagi memastikan tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya.
SUMBER : HARIAN METRO